Keputusan EURO 2012 : Perancis 1 England 1 (Kumpulan D)



PERANCIS dan England mengakhiri perlawanan sulung mereka dalam Kumpulan D, yang berlangsung di Stadium Donetsk, dengan terikat 1-1, yang ternyata mengecewakan peminat-peminat kedua-dua pasukan.

Sementara kedua-dua paskan memerlukan kemenangan dan mata penuh, Perancis dan England kelihatan 'gembira' dengan kedudukan seri dan berkongsi mata sebelum melengkapkan dua lagi perlawanan dan menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya.

Bekas ketua England, Graham Taylor dipetik BBC Radio 5 berkata: "Ia keputusan yang baik, tetapi kini kita melangkah ke dalam debat bahawa Perancis lebih banyak menguasai permainan."

"Menghormati kedudukan, mereka seharusnya memenangi permainan ini, tetapi tidak. Kita bermain dalam kejohanan dan (sebenarnya) anda memerlukan tuah," kata Taylor.

Perangkaan awal menunjukkan Perancis menguasai 60 peratus permainan berbanding dengan England.

Pemain pertahanan Everton dari Perancis, Sylvain Distin menerusi Twitter pula berkata, "permainan separuh masa kedua tidak cukup hebat, tetapi sekurang-kurangnya seri menjadikan semua gembira."

Pada babak awal perlawanan, England yang memulakan serangan gagal untuk menghasilkan jaringan. Sebaliknya, asakan bertubi-tubi England akhirnya berhasil apabila tendangan Joleon Lescott membolosi pintu gawang untuk mendahului 1-0 pada minit ke-30.

Perancis yang tersentak dengan jaringan awal England, melakukan asakan bertubi-tubi. Samir Nasri menghasilkan gol untuk mengikat kedudukan pada minit ke-39.

Dalam pertemuan kali ini, Perancis kelihatan banyak menguasai bola.

Kedua-dua pasukan yang turun untuk memburu gelaran utama, dilihat semakin rancak dalam mengasak kubu masing-masing untuk mencari gol kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam Kumpulan D.

Bersambung babak kedua, Perancis semakin mempamerkan penguasaan yang luar biasa apabila sering melakukan hantaran cantik ke gawang lawan dalam mencari gol kedua.

Bagaimanapun, jentera pertahanan England yang kental berjaya mengekang serangan Perancis daripada meraih kemenangan pada perlawanan tersebut.

Gol England sekali lagi diuji apabila rembatan kencang penyerang Perancis, Karim Benzema untuk menambah gol bagaimanapun masih gagal apabila diselamatkan penjaga gol England, Joe Hart pada minit ke-60.

Selepas ini, pasukan tuan rumah, Ukraine akan bertemu Sweden dalam perlawanan kedua Kumpulan D, jam 2.45 pagi.

Perancis turun untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 21 perlawanan sebelum ini. Kedua-dua pasukan pernah bertemu di mana rekod pertemuan terakhir menyaksikan Perancis menewaskan England 2-1 dua tahun lalu.



Barisan pemain Perancis

1 Hugo Lloris
2 Mathieu Debuchy
5 Philippe Mexes
4 Adil Rami
3 Patrice Evra
6 Yohan Cabaye
18 Alou Diarra
15 Florent Malouda
11 Samir Nasri
10 Karim Benzema
7 Franck Ribery

Barisan pemain England

1 Joe Hart
2 Glen Johson
6 John Terry
15 Joleon Lescott
3 Ashley Cole
16 James Milner
4Steven Gerrad
17 Scott Parker
19 Stewart Downing
11 Ashley Young
22 Danny Welbeck

- SINAR HARIAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.