RAHSIA LULUS TEMUDUGA KERJA

Kepada calon yang sedang mencari kerja boleh mendapatkan Pakej Rahsia Lulus Temuduga Kerja.
Klik di sini --> http://www.ashadee.net/go/50249/myadha?tid=myadha

Gaji, pangkat punca bukan Melayu tak minat sertai sektor awam

on Tuesday, June 12, 2012

Gaji dan pangkat merupakan antara sebab utama mengapa bukan Melayu kurang berminat menyertai sektor awam, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman.

Beliau berkata, bukan Melayu khususnya kaum Cina mahukan gaji yang tinggi dan terus menjawat jawatan yang bertaraf pegawai bila menyertai sektor awam.

"Mereka ini (bukan Melayu) banyak berkelulusan tinggi yang nak terus dapat jawatan dan gaji tinggi.

"Mereka juga melihat sektor awam sebagai tempat yang agak terhad bagi mereka untuk kenaikan pangkat dan gaji," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas laporan berkaitan kurangnya penyertaan kaum Cina dalam sektor awam.

Sebuah akhbar berbahasa Mandarin, Oriental Daily pada Khamis lepas melaporkan memetik kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tan Sri Mahmood Adam bahawa lebih 1.12 juta permohonan sebagai penjawat awam diterima tahun lepas dan hanya 2.1 peratus terdiri daripada pemohon berbangsa Cina.

Osman berkata, proses kenaikan pangkat yang mengambil masa yang lama turut menjadi punca bukan Melayu kurang berminat menceburi sektor awam.

"Misalnya, sesetengah daripada mereka yang merungut tidak diberi peluang dinaikkan pangkat walaupun sudah lebih daripada 10 tahun berkhidmat dan terpaksa mengambil peperiksaan serta menghadiri kursus yang banyak.

"Ini merupakan syarat untuk kenaikan pangkat sektor awam, mereka sepatutnya memahaminya dengan memberikan kerjasama mematuhi arahan yang telah ditetapkan dalam sektor awam dan bukannya melepaskan peluang begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata faktor kurangnya minat bukan Melayu menyertai sektor awam boleh dilihat dengan jelas apabila bilangan pemohon bukan Melayu khususnya kaum Cina menyertai pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sangat kecil.

"Malah, kita boleh lihat pada masa sekarang jarang sekali masyarakat Cina yang berkecimpung dalam pasukan beruniform kerana menganggap skop pekerjaan yang susah dan gaji yang sedikit," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tang Ah Chai berkata, golongan Cina tidak berminat menyertai sektor awam kerana tidak memahami skop perkhidmatan dan mempunyai pandangan negatif terhadap sektor itu.

Beliau berkata, kerajaan sering menggalakkan golongan bukan Melayu untuk menyertai sektor awam dengan pelbagai usaha seperti mengadakan ceramah kerjaya, pameran dan sebagainya tetapi masih tidak berkesan.

"Saya cadangkan adakan usaha untuk membawa mereka (bukan Melayu) melawat jabatan kerajaan di seluruh Malaysia terutamanya yang melibatkan pentadbiran kerajaan pusat di Putrajaya untuk mereka memahami skop perkhidmatan awam itu sendiri," katanya.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata sejarah merupakan antara faktor bukan Melayu tidak berminat menyertai sektor awam.

Beliau berkata pada zaman penjajahan British lagi rakyat sudah dibahagikan pengkhususan pekerjaan mengikut kaum, iaitu Melayu memasuki sektor awam, Cina dengan kegiatan ekonomi dan India terlibat dengan pertanian serta perladangan.

"Apabila tradisi ini sudah dilanjutkan, maka mereka akan menganggap sektor awam ini hanya untuk golongan kaum Melayu sahaja. Masyarakat Cina lebih cenderung dalam bidang ekonomi.

"Mereka lebih berminat untuk menceburi dalam bidang perniagaan dan ekonomi kerana sektor ini dapat menjana keuntungan dalam masa yang singkat".

— BERNAMA
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© MY ADHA - Jawatan Kosong dan Info Pegawai Tadbir Diplomatik PTD | Hakcipta Terpelihara 2008 - 2014
D.I.Y Themes ByBelajar SEO