Graduan Muda Disaran Ceburi Bidang Perniagaan

Golongan muda terutamanya para graduan disaran menceburi dan meneroka bidang keusahawanan kerana ia dilihat sebagaipenyedia ruang terbaik kepada golongan muda untuk memajukan diri sekaligus mengubah landskap ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcob berkata, golongan muda juga perlu bijak mengambil peluang yang disediakan menerusi pelbagai insentif dan program kerajaan seperti Amanah Ikhtiar dan Tabung Ekonomi Usahawan Nasional.

"Golongan muda juga seharusnya tidak mengehadkan diri dengan bekerja makangaji dalam industri tetapi mengembangkan pengalaman dan peluang yang ada didalam industri dengan membuka perniagaan sendiri," katanya kepada pemberitaselepas merasmikan Simposium Keusahawanan Muda Malaysia 2012 (MAJES) di Butterworth, Khamis.

Beliau berkata, adalah satu langkah bijak jika seseorang itu bekerja dalam industri terlebih dahulu kerana dalam tempoh tersebut mereka boleh menimba pengalaman dengan mempelajari selok belok pengurusan dan organisasi sesebuah syarikat, selain membina rangkaian sebelum memulakan perniagaan.

Nor Mohamed berkata, penglibatan golongan muda dalam sektor swasta dan bidang keusahawanan sebenarnya dapat membantu usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

"Sampai satu tahap di mana kerajaan akan memainkan peranan sebagai fasilitator dan sektor swasta sebagai jentera pertumbuhan yang akan membawa negara maju pada tahun 2020 dan selepasnya.

"Jadi apa yang kita perlu sekarang, kita ada modal, kita ada pengalaman, kita ada jenama dan kita perlukan semangat usahawanan. Keusahawanan perlu membawa persaingtan dan membawa bersamanya inovasi, ini yang kita perlukan sekarang untuk terus maju," katanya.

Simposium dua hari anjuran AA Event bersama Enterprise Development Association itu bertujuan memberi peluang kepada usahawan muda untuk membentuk hubungan antara peserta bagi meningkatkan keupayaan perniagaan mereka.

- BERNAMA Graduan Muda Disaran Ceburi Bidang Perniagaan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.