Top Ad 728x90

Kekurangan guru sukar diatasi

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku Kementerian Pelajaran menghadapi masalah untuk memindahkan guru berikutan timbul isu kemanusiaan dan rayuan yang perlu diambil kira.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kekangan penempatan semula menjadi punca utama kementerian tidak dapat memenuhi tuntutan keperluan sebenar, menyebabkan isu kekurangan guru berlarutan.

“Saya kena akui dalam Parlimen, kita menghadapi masalah apabila mengeluarkan arahan perpindahan, ada rayuan, kadang-kadang orang politik memberi surat sokongan (supaya) janganlah pindahkan mereka (guru) kerana diperlukan.

“Jika kita hendak memindahkan si isteri, perlu ambil kira faktor sosial dan keluarga soal ini timbul mengakibatkan kita tidak dapat memenuhi tuntutan sebenar. Jadi isu kemanusiaan berbangkit menyebabkan ada masalah melaksanakannya secara lebih cekap,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

Dalam konteks ini, Muhyiddin berkata, agensi dan jabatan lain turut menghadapi masalah sama dari segi penempatan semula kakitangan mereka, namun berikutan saiz kementerian besar meliputi satu pertiga daripada penjawat awam dengan membabitkan 500,000 guru, isu berkenaan perlu diuruskan secara teliti untuk penyelesaian jangka panjang.

Katanya, ini meliputi aspek pengurusan dan pentadbiran mengenai pengambilan dan penempatan guru, terutama menerusi kajian semula sistem pendidikan negara yang sedang dijalankan, walaupun masalah kekurangan yang berlaku atas faktor seperti persaraan, sakit dan cuti bersalin tidak mungkin dapat diatasi 100 peratus.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90