Kristal Langkawi



BAHANG api di dalam tanur yang digunakan untuk membakar, begitu pantas dirasai sebaik kaki mula melangkah ke bengkel pembuatan kristal di Kompleks Kraf Langkawi, Pulau Langkawi.

Beberapa pekerja begitu tekun menjalankan tugas masing-masing. Keringat yang mengalir di dahi hingga membasahkan kemeja T yang dipakai langsung tidak dipedulikan, sebaliknya mereka terus ligat menyiapkan tempahan yang diterima.

Salah seorang daripada mereka ialah Mohd. Zaidi Zinol, 33, yang sedang membentuk kraf seekor angsa sambil duduk di sebuah kerusi.

Adunan kristal pada sebuah besi khas yang sudah dilebur dan berada pada suhu 1,100 darjah Celcius itu nampak seperti mudah dibentuk. Dalam tempoh kurang seminit, sebentuk angsa kecil yang comel berjaya disiapkan Zaidi.

Proses itu secara kasarnya nampak sangat mudah kerana tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Namun, hakikatnya ia memerlukan daya kreativiti dan menuntut ketelitian yang tinggi daripada si empunya badan.

Perkara itu diakui oleh Zaidi yang sudah tiga tahun bekerja di Faizy Crystal Glass Blowing Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik bumiputera yang mengeluar dan memasarkan produk-produk kristal di dalam dan luar negara.

Menurut Zaidi, kerjaya sebagai peniup dan pembuat kristal sering berhadapan dengan cabaran yang menguji ketahanan diri terutama melibatkan kepanasan.

“Bayangkan setiap hari anda perlu menjalani rutin harian bertugas di dalam bengkel dengan kepanasan suhu api yang mencecah sehingga 1,400 darjah Celcius, iaitu suhu yang mampu meleburkan bahan logam.

“Daripada proses melebur hingga membentuk atau mengukir kristal hingga siap untuk dijual, semua tugas itu dilakukan di sana,” ujar Zaidi yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang pembuatan kristal.

Tambah Zaidi, ketahanan mental dan fizikal amat penting bagi mereka yang berminat untuk menceburi kerjaya itu. Jika tidak, lupakan sahaja niat untuk menjadi seorang pembuat kraf kristal yang berjaya.

Risiko kecederaan

Sementara itu, rakan Zaidi, Mohd. Nawawi Mahadzir pula memberitahu, sikap berhati-hati perlu menjadi salah satu ciri utama yang wajib ada dalam diri pekerja pembuat kristal atau mereka akan berdepan risiko mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, Nawawi tidak menafikan bahawa kecederaan tetap berlaku walaupun mereka sudah melakukan kerja dengan penuh cermat dan teliti.

“Sepanjang menjalankan tugas dalam menyiapkan tempahan produk-produk kristal, tidak boleh tidak, saya turut mengalami luka-luka atau kecederaan disebabkan terkena kristal atau besi panas.

“Saya sendiri sudah lali dengan situasi tersebut. Paling kurang dalam sebulan, sekali atau dua pasti akan ‘merasa’. Namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus bergelar peniup dan pembuat kristal.

“Apatah lagi, apabila berjaya menghasilkan hiasan kristal yang cantik, ia menjadi satu kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata,” tutur Nawawi sambil menegaskan bahawa semangat dan minat perlu seiring untuk kekal lama dalam kerjaya tersebut.

Ternyata, butir-butir peluh yang kelihatan di wajah Nawawi seolah-olah melambangkan kekuatan anak muda itu bergelar peniup, pengukir dan pembuat kesenian kristal.

Mula ditubuhkan pada tahun 2000 dengan modal permulaan sebanyak RM30,000, kini Faizy Crystal Sdn. Bhd. semakin dikenali sebagai syarikat pengeluar kristal terkemuka bukan sahaja di Langkawi, bahkan di seluruh Malaysia. Tidak ketinggalan, jenama Faizy Crystal turut mendapat tempat di pasaran antarabangsa.

Pemiliknya, Khairul Faizy Roslan, 42, memberitahu bahawa tempahan yang diterima untuk pasaran luar negara termasuklah dari Singapura, Hong Kong, Bahrain, Maldives, Jepun, United Kingdom dan Jerman.

“Tempahan tersebut biasanya diperoleh hasil daripada lawatan pelancong ke bilik pameran yang disediakan di samping hebahan syarikat perhotelan kepada cawangan di luar negara.

“Kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada pelancong tempatan, pengurusan hotel, jabatan kerajaan dan syarikat korporat,” kata Faizy ketika ditemui Kosmo! sewaktu lawatan media anjuran Kraftangan Malaysia ke Kompleks Kraf Langkawi baru-baru ini.

Berguru di New Zealand

Mengimbau sejarah awal penglibatan Faizy dalam industri kristal, graduan lulusan Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara - UiTM) dalam jurusan Seni Lukis dan Seni Reka itu, pernah dihantar menimba ilmu di New Zealand pada tahun 1991.

Selama tiga tahun setengah mengikuti kursus Glass Blowing (Tiupan Kaca) di negara Kiwi itu, Faizy kemudian pulang ke tanah air dan bekerja dengan Langkawi Kristal yang menaja pengajiannya.

Selepas hampir tujuh tahun bersama Langkawi Kristal, akhirnya Faizy mengambil keputusan untuk berhenti bagi membuka perniagaan sendiri berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

“Alhamdulillah, ternyata tindakan yang dibuat tidak sia-sia apabila melihat kejayaan yang dikecapi jenama Faizy Crystal yang hingga kini telah menghasilkan lebih 1,000 koleksi kristal pelbagai jenis, saiz dan bentuk.

“Terbaharu, kami sedang menyiapkan tempahan replika Masjid Sultan Abu Bakar dari Johor untuk dihadiahkan kepada Perdana Menteri yang berharga antara RM1,000 hingga RM2,000. Bagi tempahan khas, ia pernah mencecah nilai RM8,000 bergantung pada rekaan dan saiznya,” jelas Faizy lebih lanjut.

Dalam pada itu, Faizy turut melahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Kraftangan Malaysia yang banyak membantunya dalam mempromosi, perkembangan produk, pemasaran, khidmat nasihat serta dihantar menyertai kursus yang berkaitan.

Pasir Belanda

Untuk penghasilan kristal, bahan mentah utama yang diperlukan terdiri daripada pasir silika berkualiti tinggi. Ia boleh didapati di pasaran tempatan tetapi jika mahukan konsistensi, ia perlu diimport dari Belanda.

Bahan itu kemudian akan dimasak sebanyak 50 kilogram di dalam tanur untuk dileburkan pada suhu 1,400 darjah Celcius. Suhu itu akan dikekalkan selama 12 jam. Selepas dimasak, ia perlu disejukkan sehingga suhu turun kepada 1,100 darjah Celcius.

Takat itu merupakan suhu yang paling sesuai untuk menghasilkan produk kristal. Seandainya kurang, maka pekerja akan mengalami kesukaran untuk membentuk kristal disebabkan ia sudah menjadi liat.

“Dalam tempoh seminit selepas disejukkan, kristal akan mengeras. Justeru, semua kakitangan perlu melakukan kerja dengan pantas dan spontan. Dalam aspek rekaan pula, saya tidak menetapkan secara khusus tetapi bergantung kepada kreativiti masing-masing.

“Biasanya produk akan dihasilkan daripada inspirasi alam semula jadi seperti flora dan fauna yang terdapat di negara ini,” ungkap Faizy yang pernah menyertai pameran kraftangan di Jepun, Hong Kong, Jerman dan London.

- KOSMO!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran