Lajim Ukin lepas jawatan parti, tapi kekal dalam UMNO

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin telah meletak jawatan sebagai ketua Umno cawangan Kerambai Kebatu selepas pendedahan sebelum ini yang beliau tidak akan mempertahankan jawatan sebagai ketua Umno bahagian Beaufort.

Ini, menurut Sabah Times, telah diumumkan Lajim pada hari Sabtu ketika satu majlis menyambut harijadinya yang ke-57.

"Surat peletakan jawatan saya sebagai ketua cawangan Umno telah dihantar kepada setiausaha Umno bahagian Beaufort beberapa hari lalu," beliau dipetik sebagai berkata.

Lajim, yang merupakan timbalan menteri perumahan dan
kerajaan tempatan di peringkat persekutuan, adalah antara pemimpin Sabah yang dispekulasi akan melompat parti untuk menyertai PKR semasa lawatan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah Ahad lepas.

Lajim telah menafikan dakwaan tersebut selepas ia tidak menjadi kenyataan apabila penerbangan Anwar ke Kota Kinabalu tertangguh berikutan cuaca buruk, tetapi berkata "apa saja boleh berlaku".

Di majlis sambutan harijadinya itu, Lajim berkata terdapat desakan supaya beliau keluar Umno dan kerajaan, tetapi menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada tekanan itu.

Bagaimanapun, menurut Sabah Times, beliau mencabar BN dan kepimpinan Umno supaya memecatnya dan bahawa "rakyat Klias dan Beaufort telah bersedia" untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Siapakah mereka untuk menuntut saya berbuat demikian (meletak jawatan). Jika saya telah melakukan kesalahan, maka ia terpulang kepada parti dan kerajaan untuk memecat saya, lagi pun bukan mereka yang menentukan masa depan saya, tetapi penduduk kawasan pilihan raya ini," beliau dipetik sebagai berkata di hadapan kira-kira 5,000 penyokong di kediamannya di Kampung Kaundu Kebatu.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Beaufort itu dilihat membayangkan bahawa beliau mungkin tidak lama terus berada dalam parti lama.

"Langkah pertama adalah untuk tidak mempertahankan kedudukan saya sebagai ketua bahagian, langkah kedua ialah untuk meletakkan jawatan sebagai ketua cawangan, apakah langkah ketiga, kita tunggu dan lihat," beliau dipetik sebagai berkata.

Pengumuman itu dibuat pada hari yang sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Sabah.

- MALAYSIAKINI Lajim Ukin lepas jawatan parti, tapi kekal dalam UMNO

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.