Malaysia tewaskan Singapura 2 - 0



KUALA LUMPUR 12 JUN - LUKA lama dipendam akhirnya sedikit terubat apabila skuad kebangsaan menumpaskan Singapura 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa malam tadi bagi menamatkan badi lapan tahun tanpa kemenangan ke atas musuh tradisi itu.

Biarpun tidak mampu mengatasi kekecewaan kekalahan timbal balik 6-4 pada aksi kelayakan Piala Dunia pada Julai tahun lalu, jaringan Ahmad Shakir Ali dan Mohd Safiq Rahim sekurang-kurangnya menjadi tonik terbaik buat anak buah Datuk K Rajagobal untuk terus positif dalam misi mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini.

Kemenangan ke atas Singapura yang beraksi dengan 10 pemain selepas Mustafic Fahrudin menerima kad merah di babak kedua adalah yang pertama buat Malaysia dalam 10 pertemuan sejak menumpaskan skuad Singa itu 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Cheras, pada 12 Julai 2004.

Sedikit rombakan dilakukan dalam skuad negara selepas seri 2-2 pada aksi pertama di Stadium Jalan Besar, Jumaat lalu dengan menurunkan Azamuddin Mohd Akil, Amiridzwan Taj Tajudin dan Shakir bagi mengisi posisi Shahurain Abu Samah, Mohd Azmi Muslim dan Mohd Safee Sali.

Beraksi di Stadium Shah Alam, Harimau Malaya tampil agresif dengan melancarkan serangan awal ke kubu Singapura.

Malaysia hampir di depan, namun lambungan Norshahrul Idlan Talaha sekadar melepasi palang gol selepas melakukan hantaran 1-2 dengan kapten, Safiq.

Saat yang dinantikan lebih 20,000 penyokong Malaysia hadir di minit ke-18 apabila Norshahrul yang bergerak di sebelah kiri membuat hantaran kepada Shakir yang bijak menanduk ke belakang yang menewaskan penjaga gol Singapura, Mohamed Hyrulnizam Juma’at.

Satu-satunya percubaan bahaya skuad Singa kendalian jurulatih Serbia, Radojko Avramovic dicipta penyerang berusia 41 tahun, Aleksandar Duric di minit ke-21, namun Khairul Fahmi Che Mat pantas menyelamatkan keadaan.

Malaysia hampir menambah jaringan selepas Azamuddin menyepak masuk bola hasil sepakan sudut, namun pengadil dari Thailand, Teetichai membatalkan jaringan itu atas kesalahan dilakukan pemain Malaysia dalam kotak penalti.

Skuad negara menambah gol kedua pada minit ke-62 selepas Safiq sekali lagi membuktikan status sebagai pakar sepakan percuma dengan rembatan deras yang menerjah ke gawang seperti dilakukannya ketika aksi pertama di Kota Singa.

Keadaan Singapura semakin tertekan selepas terjahan keras Mustafic ke atas Norshahrul membawa padah apabila dia dilayangkan kad merah oleh Teetichai di minit ke-67.

Biarpun beraksi dengan 10 pemain, pasukan pelawat ampuh bertahan untuk kedudukan 2-0 memihak kepada Malaysia.

- HARIAN METRO

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.