Masalah kesukaran tidur kritikal

Kementerian Kesihatan menyifatkan masalah kesukaran tidur di kalangan rakyat di negara ini berada pada tahap kritikal.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, meskipun kerajaan tidak mempunyai statistik tepat mengenai masalah itu namun pihaknya yakin ia berada pada tahap kritikal berdasarkan rekod pesakit ke hospital bagi mendapatkan rawatan berhubung masalah tersebut.

Sehubungan itu tambahnya, kerajaan komited mengatur perancangan membantu orang ramai yang mengalami masalah tersebut dalam memastikan kualiti kehidupan rakyat dapat ditingkatkan.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan orang ramai mengambil serius berhubung jumlah waktu tidur yang diperlukan agar mereka sentiasa berada dalam keadaan bertenaga dan segar.

"Tidur kurang dari lima jam adalah sesuatu yang tidak baik untuk kesihatan kerana ia bukan sahaja mengundang penyakit malah mengurangkan produktiviti serta kebolehan mengingat dan memproses maklumat.

"Begitu juga tidur secara berlebihan. Jadi, orang ramai perlu mengetahui purata jumlah waktu tidur yang sebenar iaitu antara enam hingga lapan jam sehari," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan Kongres Malaysia Antarabangsa ORL-HNS Keempat dan Kongres Masalah Kesukaran Tidur ASEAN Pertama di sini hari ini.

Kongres yang bertujuan berkongsi idea dan perkembangan terkini mengenai penyelidikan masalah tidur dan kaedah rawatannya itu dihadiri lebih 500 delegasi dari dalam dan luar negara termasuk wakil dari United Kingdom, Australia, Hong Kong, Thailand, Korea dan Indonesia.

Menurut Tiong Lai, orang ramai yang mengalami masalah kesukaran tidur termasuk salur pernafasan terhalang (OSA) perlu mendapatkan rawatan pada peringkat awal.

"Antara punca masalah tidur dan OSA ini adalah seperti sering mengalami tekanan darah tinggi, obesiti dan sakit jantung," katanya.

- UTUSAN Masalah kesukaran tidur kritikal

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.