Pengajaran daripada pilihan raya kecil Singapura

Oleh GeoStrategis Institut

KEPUTUSAN pilihan raya kecil Singapura yang baru selesai beberapa hari lalu menyaksikan calon pembangkang dari Parti Pekerja (WP) mengekalkan kerusi daerah Hougang adalah satu keputusan tidak diduga kerana Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah berkeyakinan tinggi merampas kembali kerusi tersebut.

Memang tidak dinafikan bahawa pengundi Hougang telah lama bersama-sama dengan pembangkang iaitu sejak dua dekad lepas. Tetapi memandangkan strategi yang disusun oleh pemimpin PAP untuk menambat hati pengundi adalah begitu rapi, keputusan pilihan raya tersebut seakan-akan memberi isyarat ada sesuatu yang masih tidak kena.

Semenjak keputusan pilihan raya umum tahun lepas yang menyaksikan kemerosotan undi popular PAP menyusut ke paras terendah 60 peratus, kerajaan PAP telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan keluhan dan rasa tidak puas hati pengundi.

Bukan sahaja keputusan pilihan raya umum yang membuatkan PAP tersentak, tetapi juga pada pilihan raya presiden pada Ogos lalu yang hampir menyaksikan calon PAP, Tony Tan tewas telah memberi isyarat bahawa sesuatu yang drastik perlu dilakukan oleh mereka.

Selama ini kerajaan PAP hanya memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi republik tersebut tetapi strategi tidak disusun supaya limpahan nikmat dapat dikecapi oleh semua peringkat rakyat. Ini adalah kerana hanya golongan berpendapatan tinggi yang meraih keuntungan dari pertumbuhan pesat menyebabkan sebahagian besar rakyat Singapura lain tersepit kerana kos sara hidup yang melambung tinggi.

Begitu juga dengan kebanjiran pekerja asing sama ada yang berkemahiran atau tidak juga menjadi isu sensitif kerana sebahagian besar peluang pekerjaan dibolot oleh golongan ini. Walaupun hampir 123,000 peluang pekerjaan telah dibentuk pada tahun lepas, malangnya lebih 70 peratus pekerjaan tersebut disambar oleh pekerja asing.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong telah bekerja keras untuk merapatkan jurang di antara rakyat berpendapatan tinggi dan rendah dengan membina lebih banyak perumahan mampu milik, memperbaiki sistem pengangkutan awam dan mengurangkan kos perubatan. Beliau juga telah mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada pekerja asing untuk memberi isyarat bahawa kesejahteraan rakyat Singapura sentiasa diutamakan.

Walaupun jumlah undi calon PAP telah meningkat sebanyak tiga peratus berbanding pilihan raya umum 2011, tetapi peningkatan tersebut adalah terlalu kecil berbanding dengan usaha yang telah dilakukan untuk memikat pengundi Hougang.

Sebab utama mengapa pengundi Hougang masih tidak mahu beralih kepada parti pemerintah adalah kerana persepsi serong bahawa PAP adalah sebuah organisasi yang begitu eksklusif dan ahli politik dalam Kabinet kerajaan adalah golongan istimewa. Walaupun gaji menteri telah dikurangkan tetapi secara puratanya jumlah pendapatan menteri Kabinet Singapura adalah antara yang tertinggi di dunia.

Kebanjiran pekerja asing yang merangkumi sehingga satu pertiga jumlah penduduk Singapura telah menyebabkan rakyat pulau tersebut merasa begitu tersisih dan keadaan menjadi lebih buruk apabila kepimpinan PAP ditafsir sebagai tidak menangani isu tersebut secara langsung, yakni kesan dari perlaksanaan dasar tidak dirasai oleh rakyat.

Memang benar kerajaan PAP telah menyediakan dasar peringkat nasional sebagai strategi menangani rungutan ekoran pengajaran keputusan pilihan raya umum 2011. Tetapi masalahnya adalah jika kesan pelaksanaan tersebut tidak dikecapi secara langsung oleh rakyat Singapura, maka keputusan yang telah dibuat oleh pengundi Hougang adalah tidak mengejutkan.

Bantuan kewangan perlu disalurkan secara langsung kepada golongan yang paling memerlukan. Umpamanya untuk mengurangkan kos sara hidup, dasar nasional diperlukan untuk menangani isu tersebut dalam jangka masa panjang. Tetapi dalam masa kini, bantuan kewangan atau rebat perlu juga disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Walaupun jumlah bantuan kewangan tersebut mungkin dianggap kecil dan tidak bermakna oleh golongan kaya, tetapi bagi mereka yang memerlukannya akan menghargai setiap bentuk bantuan yang dihulur.

Begitu juga kerajaan PAP perlu dilihat sebagai memberi layanan yang sama rata kepada semua rakyat Singapura. Daerah Ang Mo Kio mempunyai kemudahan awam yang begitu sempurna dan lengkap berbanding Hougang walaupun kedua-duanya adalah bersebelahan. Memang benar Ang Mo Kio telah diwakili oleh calon PAP buat sekian lama, tetapi perbezaan kemudahan fizikal yang begitu ketara membuatkan pengundi Hougang begitu tersisih dengan arus pembangunan perdana.

Persepsi bahawa pemimpin politik bekerja untuk rakyat dan bukan sebaliknya adalah kritikal dan sebab itu hubungan secara langsung dengan berbagai peringkat rakyat tidak kira sama ada yang tua atau muda, kaya atau miskin perlu dilangsungkan.

Senario politik Singapura telah menyerlahkan bahawa pertumbuhan ekonomi yang pesat jika tidak direncanakan supaya manfaatnya dapat dirasai oleh kumpulan sasaran, maka kesemua kemakmuran tersebut sebenarnya tidak memberi sebarang makna.

Kepimpinan PAP sebenarnya mempunyai masa yang agak panjang sebelum terpaksa menghadapi pilihan raya kerana mandat yang diperolehi hanya baru setahun digunakan. Masih belum terlambat untuk melakukan beberapa perubahan pendekatan yang perlu diamalkan.

Dalam hal ini tidak keterlaluan jika disarankan supaya strategi kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga diterokai oleh kepimpinan PAP kerana konsep mendekati dan merahmati semua lapisan rakyat secara langsung telah lama diamalkan.

- UTUSAN Pengajaran daripada pilihan raya kecil Singapura

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran