Qada solat fardu jika terlupa atau tertinggal kerana uzur

Oleh Norhanim Syazana Hashim

UMAT Islam hari ini masih ramai yang keliru dan tidak tahu mengenai solat qada. Ada kala kita terlalu letih sehingga tidak sedar atau terlupa untuk solat, tetapi itu tidak bermakna kita boleh meringankan soal kewajipan menunaikan solat.

Oleh itu, setiap solat yang tertinggal wajib diqada. Ulama membahagikan solat yang perlu diqada kepada dua iaitu solat bagi mereka yang tertinggal solat dengan keuzuran dan kedua, solat yang tertinggal tanpa keuzuran.

Ulama fiqah dalam Mazhab al-Syafie, al-Maliki, al-Hanafi dan al-Hanbali sepakat mewajibkan segera mengqada solat wajib yang tertinggal tanpa keuzuran kerana meninggalkan solat tanpa keuzuran syarak adalah berdosa.

Maka dituntut untuk bertaubat dengan segera. Dosa yang bertangguh tanpa bertaubat akan mengundang kemurkaan Allah SWT selagi tidak qada selagi itulah dosanya dikira. Syarat taubat daripada dosa ini ialah mengqada solat yang tertinggal.

Abu Hurairah meriwayatkan satu peristiwa, Rasulullah SAW ketika pulang menunggang unta dari peperangan Khaibar merasa mengantuk sangat sehingga Baginda bersabda: “Wahai Bilal kita telah ditimpa malam.” Maka bilal menunaikan solat beberapa rakaat yang terdaya beliau, manakala Rasulullah SAW dan sahabat terus tidur.

Apabila hampir fajar, Bilal menyandarkan badan pada tunggangannya sehingga Bilal tewas dalam mengantuk. Tiada seorang daripada kalangan sahabat yang terjaga sehinggalah mereka terasa kepanasan matahari, Rasulullah SAW adalah yang terawal bangun lalu Baginda terkejut.

Lantaran Bilal berkata: “Demi ayahku dan ibuku apa yang berlaku pada diriku jugalah yang menimpa dirimu wahai Rasulullah.” Kemudian kesemua sahabat bersiap untuk solat, Rasulullah SAW berwuduk dan menyuruh Bilal iqamat lalu Baginda menunaikan solat fajar dengan mengimami sahabat.
Apabila selesai menunaikan solat, Baginda bersabda: “Barang siapa yang melupai solat maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat.

Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku.” (Surah Tahaa, ayat 14)

Qada solat boleh dilakukan pada bila-bila saja kerana wajib itu kekal. Malah, orang yang tertinggal solat dengan alasan tertidur atau terlupa, wajib segera mengqadanya . Selagi tidak diqada selagi itulah hutang solat tertanggung atas bahunya.

Solat tidak boleh selesai dengan taubat saja. Taubat atas perbuatan alpa atau buat-buat alpa dan terlupa. Taubat bermakna kita berjanji dengan Allah tidak akan mengulangi tabiat suka leka dan tidak bersungguh memelihara solat.

Solat tidak boleh dipandang ringan, dalam keadaan penat sekalipun solat wajib diutamakan dulu. Apabila kita mengutamakan perkara lain dulu sebelum solat kemungkinan besar boleh menyebabkan kita lupa untuk menunaikan solat.

Mengenai persoalan bolehkah mengqada solat Subuh selepas habis waktunya sedangkan selepas subuh adalah waktu haram mendirikan solat.

Hadis Rasulullah SAW daripada ‘Uqbah bin Amir’ yang bermaksud: “Baginda Rasulullah telah menegah kami dari menunaikan solat dan mengebumikan jenazah pada tiga waktu berikut iaitu ketika terbit matahari sehingga naik tinggi, ketika matahari berada di ufuk dan ketika terbenamnya matahari” (Hadis riwayat Muslim)

Solat yang diharamkan selepas solat fajar ialah solat sunat, adapun solat fardu tidak ditegah daripada melakukannya kerana selagi mana matahari tidak terbit selagi itu waktu itu waktu solat subuh.

Fuqaha kalangan mazhab al-Syafie, al-Maliki dan al-Hanbali mengharuskan qada solat pada waktu ditegah.

Dr Wahbah al- Zuhailiy menukilkan pandangan fuqaha dengan menyimpulkan, “Harus mengqada solat fardu yang tertinggal pada bila-bila masa, sama ada waktu itu ditegah daripada melakukan ibadat ataupun pada waktu biasa, ia bermaksud qada’ solat boleh dilakukan bila-bila saja”

- BERITA HARIAN Qada solat fardu jika terlupa atau tertinggal kerana uzur

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.