Sam D’Lloyd meninggal dunia



JAKARTA: Penyanyi utama kumpulan D’Lloyd yang popular pada era 70-an, Syamsuar Hasyim atau lebih dikenali sebagai Sam meninggal dunia pagi semalam selepas dimasukkan ke hospital selama dua hari.

Penyanyi berusia 64 tahun yang terkenal dengan lagu Oh Di Mana, Cinta Hampa, Semalam Di Malaysia dan Mengapa Harus Jumpa itu meninggal dunia pada 7.15 pagi waktu tempatan, di Rumah Sakit Islam Cempaka Putih, di sini akibat sakit jantung dan barah paru-paru.

“Penyanyi D’Lloyd, Sam meninggal dunia di Rumah Sakit Islam Cempaka Putih,” kata isteri pemain gitar kumpulan berkenaan, Titiek Bartje Van Houten melalui satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dipetik Tempo.com, semalam.

Jenazah penyanyi berkenaan dikebumikan di Tempat Pemakaman Umum (TPU) Tanah Kusir, di sini pada jam 12 tengah hari, semalam.

Kumpulan D’Lloyd asal yang ditubuhkan awal 1970 dianggotai tujuh ahli termasuk Sam sebagai penyanyi utama, Bartje Van Hauten sebagai ketua kumpulan dan pemain gitar utama, Andre Kasiman Gultom (flute dan saksofon), Chairul Daud (drum), Budiman Palunggun (keyboard), Sangkan Panggabean (bass) dan Yustian (gitar kedua).

D’Lloyd terus aktif membuat persembahan, malah sebelum dimasukkan ke hospital, Sam bersama kumpulannya sempat mengadakan konsert di Johor, Malaysia, 12 Mei lalu walaupun keadaan kesihatannya tidak berapa baik. Penyanyi berkenaan dilaporkan terjatuh ketika membuat persembahannya di Johor.
“Ketika persembahan di Malaysia, dia kata ‘ok saja’ tetapi selepas persembahan lagu kedua, dia terjatuh di pentas,” kata Syair, seorang anggota keluarga terdekat Sam yang dipetik media Indonesia, semalam.

Bartje berkata, doktor sebelum ini mengesahkan Sam menghidap barah paru-paru.

Katanya, keadaan Sam semakin teruk selepas pulang daripada konsert di Johor, 12 Mei lalu.

Bagaimanapun, selepas mendapatkan rawatan, beliau membuat persembahan di Menteng pada 25 Mei sebelum kesihatannya kembali teruk dan dibawa hospital.

“Sam seorang yang sensitif. Ketika di Johor, beliau mengeluh sakit kaki. Beliau berjumpa doktor tetapi mengambil apa saja ubat kerana mahu cepat sembuh.

“Mungkin itu juga menjadi penyebab sakitnya. Beliau disahkan doktor menghidap barah,” kata Bartje ketika ditemui di Rumah Sakit Islam Cempaka Putih, semalam.

Keadaan kesihatan Sam yang semakin teruk menyebabkan D’Lloyd terpaksa membatalkan empat konsert yang sepatutnya berlangsung di Palembang (8 Jun), Jakarta (22 Jun), Kuching (4 Julai) dan Cirebon (10 Julai).

Tanpa Sam, anggota asal D’Lloyd kini hanya tinggal Bartje dan Chairul.

- BERITA HARIAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran