Top Ad 728x90

,

2,500 rakyat Malaysia ditahan di penjara luar negara

Seramai 2,500 rakyat Malaysia ditahan di penjara luar negara atas pelbagai kesalahan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah menyeludup dadah, membunuh, memalsukan kad kredit, kesalahan komersial, mencuri, kesalahan imigresen, menipu serta memalsukan dokumen, dan penyeludupan manusia.

"Antara negara yang mempunyai tahanan rakyat Malaysia ialah Singapura 1,096 orang, Thailand (444), China (231), Indonesia (148), Taiwan (137), Australia (77), Sepanyol (47), Kuwait (33), Vietnam (29), dan Perancis seramai 25 orang," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Chin Su Phin.

Kohilan berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib dan kebajikan rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara, namun tidak akan mencampuri urusan dalaman negara terbabit.

"Kementerian akan berusaha melindungi hak rakyat kita sepertimana termaktub di bawah undang-undang negara tersebut dan juga undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963," katanya.

Menjawab soalan tambahan anggota yang sama mengenai sama ada terdapat undang-undang yang membenarkan banduan rakyat Malaysia untuk dibawa pulang, Kohilan berkata, kementerian sedang merangka mekanisme terbabit.

Beliau berkata, belum ada undang-undang yang membenarkan banduan rakyat Malaysia dibawa pulang, namun kementerian sedang mengkaji dan menyediakan protokol-protokol serta mekanisme pelaksanaan bagi membawa pulang banduan menjalani hukuman di negara ini mengikut Akta Penjara 1995 dan Peraturan Penjara 2000.

"Satu jawatankuasa ditubuhkan oleh Kementerian Dalam Negeri bersama Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Jabatan Penjara untuk menyediakan undang-undang Akta Pemindahan Antarabangsa bagi membawa pulang rakyat yang ditahan di luar negara," katanya.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90