Berusahalah didik nafsu di bulan Ramadan

Oleh MOHD ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

BERSEDERHANA ketika berbelanja merupakan tuntutan agama Islam. Oleh itu, umat Islam digesa berjimat cermat dan membeli sekadar keperluan sahaja. Usah diturutkan runtunan nafsu yang secara semula jadi mengajak manusia melakukan perkara buruk lagi ditegah oleh agama. Berusahalah untuk mendidik nafsu sendiri terutama di bulan Ramadan ketika iblis dibelenggu oleh Allah SWT.

Malahan, sikap buruk seperti ini kelihatan lumrah terjadi tatkala berkunjung ke bazar-bazar Ramadan sehingga segala yang dipandang terasa sedap lalu semuanya dibeli. Realitinya ketika berbuka hanya sedikit yang dimakan manakala yang lain terbiar dan terbuang begitu sahaja.

Sebab itu, masyarakat Islam disunatkan berbuka dengan tiga biji kurma ataupun kuih-muih yang manis sekadarnya lalu bangkit mengerjakan solat Maghrib yang difardukan. Atau jika sudah terbiasa menikmati juadah yang berat seperti nasi dan lauk pauk yang pelbagai, nikmatilah secara sederhana sambil tidak lupa menghadiahkan juadah berbuka kepada jiran tetangga yang berhampiran.

Jika sudah kekenyangan dikhuatiri seseorang akan terlepas peluang qiamullail di malam-malam Ramadan yang berlangsung sehingga menjelang waktu subuh. Boleh jadi dengan sebab itu juga terlepas nikmat beribadah pada malam lailatulqadar yang kekal menjadi rahsia Allah SWT sepanjang zaman.

Amalan solat tarawih sebagai contohnya jika berupaya dilakukan dengan istiqamah merupakan antara ibadah qiamullail yang disyariatkan khusus sepanjang Ramadan. Lebih unik lagi amal jama'iy seperti ini tiada pada bulan lain sebagai sebahagian daripada kurniaan Ilahi yang sanggup berkorban masa dan tenaga mengharap keredaan-Nya.

Apa yang lebih penting, setiap individu Muslim perlu memastikan segala yang dimakan adalah yang bersifat halalan tayyiba iaitu halal lagi berkhasiat. Untuk itu, para Muslimin diseru lebih prihatin terhadap apa yang dimakan kerana boleh jadi ia merosakkan ibadah puasa yang dilaksanakan sepanjang hari. Apa guna segala susah payah dan pengorbanan yang dilakukan ketika berpuasa termasuk menahan diri daripada lapar dan dahaga kemudian tiada nilai dan sia-sia belaka.

Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda yang bermaksud "Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga".

Di sudut lain, golongan peniaga Muslim pula diharap tidak mengambil kesempatan dengan rezeki yang melimpah ruah semasa Ramadan sehingga mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan.

Pengusaha restoran dan hotel tertentu juga tidak sepatutnya menangguk di air yang keruh dengan trend berbuka puasa di luar yang menjadi tarikan pada masa kini menerusi penyediaan bufet Ramadan yang tidak mendapat pengesahan sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Budaya boros dan berlebih-lebihan kelihatannya semakin ketara dalam membuat persiapan untuk berhari raya sehingga segala-galanya mesti baharu. Daripada aspek pakaian, perhiasan rumah, barangan perabot, aksesori peribadi, gajet terkini dan tak kurang juga yang mengambil kesempatan bertukar kereta baru.

Dalam hal ini penggunaan kad kredit tanpa keperluan yang mendesak amat dilarang kerana umat Islam tidak digalakkan berhutang kecuali dalam keadaan yang sangat memerlukan. Begitu juga amalan meminjam wang untuk pulang ke kampung berhari raya secara umumnya juga tidak patut diteruskan. Ini kerana boleh jadi hutang persiapan hari raya tahun lalu masih belum berbayar dan kini terpaksa pula berhutang lagi.

Umat Islam sepatutnya memanfaatkan apa yang ada tanpa boros berbelanja melebihi kemampuan. Jika tidak pelbagai keburukan lain bakal menimpa termasuk diisytiharkan muflis.

Atau kalaupun mampu mengadakan segala-galanya perlu diingat di sana ada hak golongan memerlukan sama ada melalui infaq wajib seperti agihan zakat mahupun sedekah sunat daripada orang kaya kepada golongan fakir dan miskin.

Sifat positif berhemah ketika berbelanja termasuk tanggungjawab pemilik harta yang memikul amanah untuk membelanjakan harta kurniaan Allah SWT kepada jalan yang diredai-Nya. Justeru, setiap insan akan ditanya berkaitan pengurusan hartanya lebih tepat lagi daripada mana ia diperoleh dan ke mana akhirnya dibelanjakan.

- UTUSAN Berusahalah didik nafsu di bulan Ramadan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran