Betulkah Niat Puasa Kita?

Oleh MOHD SYAHMI YEM
Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi di University at Buffalo, New York, USA. Beliau berkongsi karya di http://theblackbook90.blogspot.com

TIBALAH satu lagi Ramadan untuk kita. Satu bulan penuh rahmat, penuh keberkatan dan juga peluang meningkatkan prestasi ibadah.

Anggaplah bulan ini sebagai satu titik perubahan untuk kita, daripada buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik. Satu isu yang menonjol dalam dunia tarbiyah setiap kali menjelang Ramadan, adalah kefahaman dan kecintaan terhadap bulan puasa itu sendiri. Jadi bukanlah sesuatu yang perlu bagi saya untuk memberi pendapat tentang isu ni, kerana ia sudah terlalu banyak dibicarakan di internet.

Saya cuma ingin ketengahkan satu perkara; niat kita berpuasa. Saya pernah terbaca dalam satu artikel bahawa "Orang Malaysia memang suka buat ibadah sunat, walhal ibadah wajib ditinggalkan".

Perkara ini, pada hari-hari biasa pun, banyak berlaku depan mata kita. Sebagai contoh, ada yang berpuasa sunat Isnin dan Khamis walaupun solat fardu kadang-kadang ditinggalkan (contohnya, kita sangat susah untuk bangun menunaikan Solat Subuh). Ada juga yang bersedekah beratus-ratus ringgit tetapi zakat tidak ditunaikan. Niat sebenar? Berpuasa untuk menjimatkan duit, bersedekah untuk mendapat pujian. Takkan berguna puasa dan infak itu. Sia-sia.

Konsep menyambut Ramadan sebagai bulan puasa adalah tidak adil. Ramadan bukan bulan untuk berpuasa semata-mata. Kita sepatutnya menyambut Ramadan sebagai satu medan pertarungan satu-dengan-satu (one-on-one) dengan nafsu kita. Jika tiada syaitan pada bulan Ramadan, kenapa masih ada orang yang buat jahat? Kenapa masih ada yang mencuri, menipu, apatah lagi ponteng puasa?

Apabila tiada syaitan, yang tinggal hanya nafsu kita. Kita berperang dan bertarung dengan nafsu saban hari - bermula dari saat bangun daripada tidur, sampailah waktu kita pejam mata untuk tidur. Berpuasa adalah untuk menahan nafsu, bukan untuk menahan lapar dan dahaga semata-mata. Berpuasa adalah untuk menjaga hati, lidah dan perbuatan. Berpuasa adalah untuk mengenal erti penat lelah, memahami dan mensyukuri nikmat yang melimpah ruah daripada Allah SWT. Berpuasa adalah untuk syurga yang hakiki.

Betulkan semula niat kita. Bukan cuma sekadar menyatakan lafaz, dan menahan diri daripada makan dan minum, tetapi fahami erti sebenar berpuasa. Barulah ibadah itu akan terkesan, lalu membawa kepada istiqamah selepas Ramadan. Bercakap tentang istiqamah, apabila mendengar orang menyebut 'Ramadan Kareem', kita digalakkan menjawab dengan 'Allahu Akram'. Maksudnya, 'Ramadan yang mulia, Allah lebih mulia'.

Ingatlah pesanan Imam Hassan Al-Basri: "Jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana) jangan menjadi hamba Ramadan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadan)"

Ingatlah juga pesanan dari Rasulullah SAW - daripada Umar bin Khathab RA berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya segala amalan itu tergantung pada NIATnya. Dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang ia niatkan. Maka barang siapa yang hijrahnya kerana Allah dan rasulNya, ia akan sampai pada Allah dan RasulNya. dan barang siapa hijrahnya menuju dunia yang akan diperolehnya atau menuju wanita yang akan dinikahinya, ia akan mendapatkan apa yang dituju." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalau setakat baca niat puasa, dan esoknya cuma tahan makan dan minum, budak darjah satu pun mampu buat! Kita tak nak ibadah puasa kita sia-sia. Rasulullah SAW bersabda, "Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga." (Riwayat an-Nasaei)

Puasa kita mungkin sah pada mata manusia. Tapi mungkin tidak sampai ke Arasy Allah. Mungkin tak tercapai maksud dan tujuan utama berpuasa. Jadi betulkanlah niat kita. Tahanlah marah. Tak perlu cakap benda-benda yang tak penting. Hentikanlah mengumpat. Sekalipun bercakap benda yang sia-sia mampu membatalkan puasa anda.

Daripada Abu Hurairah RA katanya bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Pengakuan jujur, saya sendiri pun susah nak menjaga benda-benda macam ini. Niat adalah sesuatu yang memakan masa untuk diterapkan. Tapi apa salahnya mula sekarang? Kita makin tua, hidup makin singkat. Entah-entah esok lusa kita mati. Insya-Allah, makin kurang usia di dunia, makin kurang dosa kita.

Kalau niat anda rumit untuk diperbetulkan, tak apa. Puasa dulu. Ikut ajaran Islam. Macam orang nak pakai tudung, pakai dulu. Nanti akan datang satu 'hadiah' daripada Allah, yang cuma Allah boleh bagi. Bila dapat 'hadiah' itu, insya-Allah. Anda akan rasa manisnya iman bila niat kita betul-betul fisabilillah. Kita bukan sekadar tahu sebut, kita akan tahu rasa. Nak rasa? Cubalah sendiri.

Jadi, sebelum tidur malam ini, kita baca niat puasa dulu. Tak, bukan sekadar baca, tapi cuba kita rasa. Rasa niat puasa. Rasa suasana Ramadan. Rasa indahnya keberkatan. Rasa kepuasan melawan nafsu. Menang dengan diri sendiri.

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya." (Riwayat Hadis Bukhari dan Muslim)

Mari kawan-kawan, kita berpesta ibadah. Salam alaik~

- MSTAR Betulkah Niat Puasa Kita?

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran