Khamis, Julai 26, 2012

Fenomena filem mikro di China


FILEM mikro telah merangsang berpuluh-puluh juta penonton dan menawarkan kebebasan berkarya yang sebelum ini mustahil untuk dilakukan. Ia sekali gus melahirkan pembikin filem segera yang hanya menggunakan telefon pintar.

Sehingga hujung minggu lalu, filem-filem dalam internet telah memberi ruang seluas-luasnya kepada individu yang baru belajar mengarah hingga para pengarah.

Semua kandungan yang sebelum ini menjadi mangsa suntingan pihak penapisan kini boleh ditayangkan di laman-laman web yang dihos oleh portal internet.

Bagaimanapun, fenomena yang diperhatikan semakin berkembang pesat dalam tempoh dua tahun lalu itu telah menyebabkan Beijing nekad untuk mengetatkan kawalan terhadap media baharu.

"Filem jenis ini membolehkan hampir setiap orang menjadi pengarah. Saya boleh mempersembahkan pemikiran dan cerita yang saya hajatkan.

"Ia sama seperti penulis blog yang boleh menerbitkan artikel mereka," kata pembuat filem veteran Tanah Besar dan juga calon Anugerah Akademi, Gu Changwei, 54.

Dia mendapat pencalonan Oscar bagi kategori sinematografi melalui filem arahan Chen Kaige bertajuk Farewell My Concubine pada tahun 1993.

Tambahnya, durasi filem-filem mikro tidak melebihi 30 minit dan ditayangkan di seluruh China melalui portal seperti Youku.com dan Sohu.com. Ia amat mudah mendapat bilangan penonton yang ramai.

Pengarah Komunikasi Youku, Jean Shao berkata, kali pertama pergerakan filem mikro mendapat perhatian orang awam adalah apabila filem Old Boys ditayangkan pada tahun 2010. Filem itu ditonton lebih 47 juta kali.

Ia merupakan salah satu filem yang mengambil program bersiri 11 Degrees yang mengandungi 10 judul filem mikro. Keseluruhan jumlah penonton apabila digabungkan mencecah 120 juta orang.

Para pengarah berpendapat, filem mikro memberikan peluang kepada mereka untuk berhubung dengan penonton seluruh negara terutamanya selepas laman YouTube disekat.

Maklum balas

"Saya boleh melihat maklum balas serta-merta sebaik sahaja orang ramai habis menonton. Saya pula boleh mengetahui sama ada ia bagus atau tidak dan melihat bahagian yang perlu diperbaiki.

"Filem-filem mikro mempersembahkan sesuatu yang nyata dan menjadi penghubung komunikasi antara pengarah dengan penonton," kata Changwei.

Dia merupakan salah seorang daripada empat orang pengarah Asia yang menyumbang dalam program sekelompok filem mikro, Beautiful 2012.

Program tersebut mendapat sokongan Persatuan Festival Filem Antarabangsa Hong Kong dan Youku serta ditayangkan di kebanyakan festival filem Asia sejak bulan Mac.

Ia turut menayangkan filem Walker yang meraih perhatian ramai. Filem arahan rakyat Taiwan, Tsai Ming-liang, itu memaparkan perjalanan seorang sami di tengah-tengah bandar Hong Kong.

Revolusi telefon pintar

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan pelaburan Amerika Syarikat (AS), Needham & Company, China merupakan pasaran negara terbesar bagi telefon pintar di dunia.

Lebih kurang 33.1 juta peranti itu dijual pada suku pertama tahun ini berbanding 25 juta buah telefon di AS manakala pihak Pentadbiran Radio, Filem Dan Televisyen China (SARFT) mendakwa seramai 325 juta penduduknya menonton video dalam talian secara berkala.

"Kami menyaksikan teknologi mobil berkembang dengan pantas dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.

"Ia mengubah cara orang ramai memperoleh informasi dan bahan hiburan. Hampir setiap orang memegang telefon pintar dan minat kita terhadap peranti itu semakin meningkat sama seperti orang mula mengalihkan perhatian daripada televisyen ke komputer peribadi.

"Situasi itu sangat cool apabila orang dapat menonton filem ketika berada di luar rumah," kata Pengarah Urusan Festival Filem Antarabangsa Shanghai (SIFF), Tang Liujun.

Tang nyata teruja dengan perkembangan pembikinan filem mikro yang mengangkat pelbagai tema dan mesej.

Pihak industri menganggarkan pengeluaran filem mikro yang dihasilkan di China pada tahun lalu melebihi 2,000 judul berbanding filem arus perdana sekitar 500 tajuk sahaja.

Kandungan tidak sihat

Sebelum ini, kandungan cerita yang dihasilkan oleh pergerakan filem mikro dipantau mengikut panduan yang dirasakan sesuai oleh pihak Youku.

Namun begitu, selepas terdapat peningkatan kebimbangan terhadap perkara itu, kerajaan China berikrar pada minggu lalu untuk bertindak bagi menangani kegilaan tersebut.

Tidak seperti televisyen atau filem yang ditayangkan di pawagam, siri dalam talian dan filem-filem pendek dihasilkan dengan penapisan minimum.

Beijing mengenakan peraturan yang ketat terhadap kandungan yang memberi gambaran negatif pada keadaan politik atau memainkan isu-isu yang membawa kepada masalah sosial.

"Terdapat beberapa peraturan yang wajib dipatuhi pembikin filem seperti isu pornografi, sama seperti filem aliran perdana China. Namun diakui, terdapat lebih kebebasan berkarya dalam aliran filem mikro.

"Kami mendapat 30,000 komen pada filem Walker karya Tsai Ming-liang pada hari pertama dimuat naik," cerita Shao.

Bagi ramai pembikin filem, pergerakan itu kini menjadi hala tuju unik yang menawarkan peluang kreatif seluas-luasnya.

"Ia memberikan saya lebih kebebasan dalam menyampaikan mesej. Tiada tekanan untuk mencapai status pecah panggung dengan filem sebegini," kata Changwei.

- AFP

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts