Top Ad 728x90

Kembar Siam berjaya dipisahkan di Hospital Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR 27 Julai - Kegembiraan jelas terpancar di wajah bapa kepada pasangan kembar Siam lelaki berusia 15 bulan, Azli Sabran, 40, setelah anaknya selamat dipisahkan menerusi pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 15 Julai lalu.

Kembar tersebut, Muaiman dan Muaimin yang lahir pada 14 April 2011 merupakan pasangan kembar Siam yang mempunyai tiga kaki, bercantum tulang pelvik di bahagian pinggul, tidak mempunyai saluran dubur selain berkongsi usus dan saluran kencing.

Menurut Azli, kedua-dua anaknya itu kini berada dalam keadaan stabil, namun masih lemah ekoran pembedahan tersebut yang turut mengakibatkan luka besar di bahagian badan.

"Sebelum ini, saya dan keluarga amat risau dengan keadaan mereka, namun bersyukur dan lega setelah pembedahan selamat dan perkembangan kesihatan mereka juga adalah positif setiap hari sejak pembedahan itu.

"Namun, mereka masih belum dapat dibawa pulang ke kampung di Felda Pemanis 2, Segamat, Johor memandangkan perlu menjalani rawatan susulan, termasuk pembedahan menampal kulit dalam masa tiga bulan ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di HKL, di sini hari ini.

Muaiman dan Muaimin dipisahkan menerusi pembedahan selama 24 jam melibatkan 19 pakar dari tiga bahagian iaitu Ortopedik, Pembedahan Plastik dan Pembentukan Semula serta Pediatrik selain dibantu lebih 30 jururawat.

Pembedahan yang dibiayai kosnya oleh HKL itu diketuai oleh Pakar Bedah Kanak-kanak, Datuk Dr. Zakaria Zahari.

Menurut Azli, kejayaan pembedahan anak kembarnya itu merupakan berita gembira yang disifatkan sebagai kurniaan Ilahi sempena Ramadan dan paling membahagiakan isterinya, Nazillah Abdullah, 38, yang selama ini mengimpikan anak mereka memiliki kehidupan normal seperti bayi lain.

Katanya, selepas dua hari anaknya dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor, kedua-duanya telah dipindahkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut bagi membolehkan pembedahan dilakukan segera.

"Sejak dalam kandungan iaitu ketika berusia lapan bulan, saya dan isteri telah mengetahui anak yang bakal dilahirkan adalah kembar, namun reda dan menganggapnya sebagai ketentuan Allah.

"Sejarah keturunan kami memang tiada yang dilahirkan kembar. Diharapkan kedua-duanya akan sembuh dan boleh menjalani hidup seperti kanak-kanak lain," katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata, pihaknya akan melakukan pembedahan kecil ke atas pasangan kembar siam itu bagi mengawal sistem kencing dan pembedahan tampalan kulit (skin grafting) untuk merawat luka besar akibat pembedahan terdahulu.

"Untuk tempoh jangka panjang, kedua-dua mereka dijangka menjalani proses pemulihan untuk anggota badan.

"Ini kejayaan terbaru HKL dalam pemisahan kembar siam membabitkan prosedur dan kemahiran yang kompleks tetapi tanpa bantuan mana-mana pakar dari luar negara," katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90