Top Ad 728x90

,

Kempen kitar semula di sekolah


JEMIMA LAURENCE baru mencecah umur 12 tahun. Masih di bangku sekolah rendah, tetapi Jemima sudah memahami kepentingan mengitar semula sampah dalam kehidupan harian.

Bakal menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akhir tahun ini di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, kanak-kanak itu akan membawa semua sampah berupa kotak minuman ke kantin sekolah.

Terdapat sebuah mesin kitar semula kotak minuman berwarna biru di kantin sekolahnya dan setiap kotak yang dimasukkan dikira. Jemima merupakan pelajar paling banyak mengitar semula iaitu sebanyak 48 keping sejak awal tahun ini.

Seorang rakan Jemima, Fatin Najihah Zulkifli, 12, pula menyifatkan mesin tersebut sangat mudah digunakan kerana hanya perlu menekan butang.

Seterusnya, dia hanya perlu mengikuti langkah yang dipaparkan pada skrin, imbas kod bar dan masukkan ke dalam laluan yang disediakan.

Sepanjang tiga bulan lalu, Fatin sudah mengumpul 43 buah kotak minuman yang dikitar semula dan menjadi antara pesaing kepada Jemima.

“Paling banyak dalam sehari, saya akan membawa tiga kotak minuman kadang-kadang tiada,” kata Jemima ketika ditemui di sekolahnya baru-baru ini.

Ibu Jemima, Monica Liwan, 41, menyifatkan sikap berlumba-lumba untuk mengitar semula kotak minuman sangat baik.

Dia yang bekerja sebagai guru di sekolah tersebut berkata, kini murid-murid di situ sudah ada inisiatif sendiri apabila ternampak sampah bersepah-sepah terutama kotak minuman hasil daripada kempen yang dijalankan.

“Malah ada yang membawa bekas kotak minuman dari rumah dan berebut-rebut mahu mengitarnya,” kata wanita itu.

Mesin kitar semula yang disediakan merupakan hasil kerjasama Nestle (Malaysia) Berhad dan Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd.. Kerjasama itu dimulakan sejak tahun lalu.

Mesin-mesin itu ditempatkan di lima buah sekolah selain 14 buah cawangan pasar raya Tesco. Hasilnya, 324,000 kotak telah dikumpul sepanjang dua bulan kempen dijalankan.

Rentetan daripada sambutan itu, pihak Nestle dan Tetra Pak mengadakan sekali lagi kempen tersebut tetapi melibatkan jumlah sekolah yang lebih banyak.

Dijangka seramai 43,000 pelajar terlibat dalam program kitar semula itu apabila 20 buah mesin diletakkan di sekolah-sekolah berbeza.

Merangsang semangat

“Pihak kami percaya pembelajaran alam sekitar yang mapan harus bermula sejak muda dan lebih baik mendidik kesedaran tersebut dalam suasana sekolah,” kata Pengurus Perniagaan Nestle, Teo Heng Keat.

Bagi merangsang semangat murid-murid untuk mengitar semula kotak minuman, setiap pelajar diberi sekeping kad yang mencatatkan bilangan poin pada setiap kotak kitar semula.

Rekod disimpan pada kad tersebut apabila mereka menggunakannya ketika mengitar semula pada mesin itu.

Setiap 40 kotak yang dikitar semula, mereka akan mendapat sekotak minuman Milo yang mempunyai isipadu 200 mililiter.

Pada kemuncak kempen, tiga buah sekolah dan 10 orang murid yang mencatatkan kutipan tertinggi akan diberi hadiah.

Kotak minuman terutama keluaran Tetra Pak merupakan objek yang sangat rumit kerana mempunyai tujuh lapisan yang diperbuat daripada bahan fiber, polietilena dan kepingan aluminium.

Ia direka mengekalkan keaslian dan mutu minuman yang terkandung di dalamnya selain memastikan tiada pencemaran.

Namun, apabila ia dikitar semula, pelbagai barang yang dapat dibuat seperti produk berasas kertas dan plastik serta papan klip. Kotak Tetra Pak juga 100 peratus boleh dikitar semula.

- KOSMO!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90