Pelajar Malaysia Di Syria Dibawa Pulang ekoran krisis

Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk memulakan proses pemindahan pelajar Malaysia dari Syria pulang ke tanah air dengan segera memandangkan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata pemindahan itu sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

Pemindahan ini diselaraskan oleh Kementerian Luar Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bersama Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.

Sehubungan itu, Kementerian Luar memohon kerjasama ibu bapa/penjaga untuk menasihati anak-anak mereka yang masih berada di Syria untuk pulang ke Malaysia.

Duta Besar Malaysia dan empat orang pegawai kedutaan akan turut dipanggil pulang buat sementara waktu selepas proses pemindahan pelajar selesai dilaksanakan, kata Anifah dalam satu kenyataan di Putrajaya.

Sehingga kini, kesemua 138 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 128 pelajar dan 10 ekspatriat yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia itu berada dalam keadaan selamat.

Kementerian sekali lagi menggesa kesemua rakyat Malaysia yang masih berada di Syria agar pulang ke tanah air atau meninggalkan negara berkenaan dengan segera, dan bagi mereka yang berhasrat melawat Syria, dinasihatkan menangguhkan lawatan hingga situasi keselamatan kembali pulih.

Kementerian telah membuka Bilik Operasi dan orang awam boleh menghubungi talian 03 - 8887 4570 untuk sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan ini.

- BERNAMA Pelajar Malaysia Di Syria Dibawa Pulang ekoran krisis

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.