Pelakon Bollywood, Rajesh Khanna Meninggal Dunia


MUMBAI: Bintang Bollywood ternama, Rajesh Khanna meninggal dunia pada Rabu kerana menghidap komplikasi pelbagai jenis penyakit. Beliau berusia 69 tahun.

Berita kematian itu disahkan sendiri oleh menantunya Akshay Kumar.

“Saya ingin memberitahu bapa mertua saya sudah tiada lagi. Beliau telah pergi buat selama-lamanya. Saya harap semua pihak dapat berdoa terhadap kesejahteraannya,” katanya seperti dipetik portal newkarala.com pada Rabu.

Pelakon yang dikenali dengan panggilan Kaka itu meninggalkan isteri, Dimple Kapadia dan dua orang anak iaitu Twinkle dan Rinkle.

Rajesh merupakan artis yang berjuang dalam isu-isu kesihatan dalam masa yang lama dan telah dimasukkan ke hospital sejak sebulan lalu.

Pengebumian beliau akan dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi (waktu tempatan) pada Khamis.

Kematian beliau dianggap satu kehilangan besar terhadap dunia perfileman Bollywood kerana kehebatannya dalam industri berkenaan sehingga menjadi fenomena suatu ketika dahulu.

Beberapa selebriti termasuk Amitabh Bachchan, Yash Chopra, Rishi Kapoor, Prem Chopra, Abhishek Bachchan, Anu Malik, Dara Singh Vindu, Sajid Khan, Arbaaz Khan dan Malaika Arora Khan turut menziarahinya.

Pelakon veteran Manoj Kumar memberitahu IANS bahawa beliau sukar untuk menerima kematian Rajesh.

"Saya tidak dapat mempercayai bahawa dia tidak lagi bersama kita. Sebelum ini Dara Singh, kini Rajesh pula,” katanya menerusi satu panggilan telefon.

Rajesh memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan apabila membintangi filem "Aakhri Khat" pada tahun 1966.

Beliau menjadi seorang “superstar” dengan pantas apabila membintangi "Aradhana", "Do Raaste", "Safar" dan "Anand".

Kali terakhir beliau dilihat muncul menerusi iklan komersial di televisyen awal tahun ini.

- MSTAR

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.