Penjawat awam digesa ubah mentaliti dan cara kerja

Penjawat awam perlu melakukan anjakan sikap drastik seiring dengan gagasan dan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata penjawat awam tidak seharusnya berasa selesa berada pada takuk lama sehingga pencen dan sentiasa cepat berpuas hati dengan pencapaian serta urusan harian yang biasa. “Penjawat awam perlu menyahut saranan Perdana Menteri sebagai satu cabaran bagi meningkatkan daya saing mereka. Mahu naik gaji tapi sikap pada tahap lama tidak mahu berubah macam mana?

“Kita menyokong untuk menjadikan penjawat awam berpendapatan tinggi tapi mesti seimbangkan pendapatan dengan sikap serta kerja yang dilakukan,” katanya hari ini, semalam.

Kelmarin, Najib berkata, penjawat awam perlu sentiasa mengambil sikap Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) sebagai panduan dalam melaksanakan tugas harian. Sikap itu pula perlu disokong dengan satu lagi akronim - PCI - ‘Productivity, Creativity and Inovation’ (Produktiviti, Kreativiti dan Inovasi).

Perdana Menteri yang dikenali ramai sebagai ‘peminat bola,’ turut memberi contoh kejayaan Sepanyol menjuarai Euro 2012 menumpaskan Itali 4-0 yang menurutnya dicapai apabila pasukan itu menampilkan pendekatan baru dengan beraksi tanpa pemain penyerang, sebaliknya bergantung kepada enam pemain tengah untuk menjaringkan gol.

Omar berkata, bahagian latihan dan sumber manusia setiap agensi kerajaan perlu memainkan peranan dalam membentuk minda penjawat awam supaya mampu berfikir di luar daripada kebiasaan bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.

“Dengan menggunakan kaedah bukan konvensional, mekanisme baru bagi menyelesaikan masalah rakyat dan melakukan kerja harian akan terbentuk dan mekanisme ini akan membantu penjawat awam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih baik dan berkesan,” katanya.

- BERNAMA Penjawat awam digesa ubah mentaliti dan cara kerja

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.