Pereka kereta Ferrari meninggal dunia


MILAN - Pereka bentuk kereta sport Ferrari, Sergio Pininfarina meninggal dunia pada usia 85 tahun di kediamannya di sini semalam.

Punca kematiannya tidak didedahkan tetapi dia pernah sakit sebelum ini.

Sergio dibimbing bapanya, Gian Battista yang merupakan pengasas firma reka bentuk kereta Farina pada tahun 1930-an, untuk menggantikannya sejak beliau masih kanak-kanak.

Dilahirkan pada 1926, beliau menyertai firma keluarga itu selepas memperoleh ijazah kejuruteraan mekanikal daripada Universiti Politeknik Turin.

Sergio dilantik ketua eksekutif Farina pada 1961 dan pengerusi apabila bapanya meninggal dunia pada 1966.

Ketika itu, firma berkenaan telah mencipta nama dalam mereka bentuk kereta bercirikan aerodinamik terkini yang menjadi tumpuan orang ramai.

Nama Farina kemudian ditukar kepada Pininfarina pada 1961 selepas mendapat restu presiden syarikat berkenaan.

Antara kereta terkenal yang direka bentuk firma tersebut termasuk kereta coupe Cisalfa pada 1947 yang kini dipamerkan di Muzium Seni Moden di New York.

Hubungan Pininfarina dengan Ferrari dimulakan oleh Gian Battista pada 1952 dan dipopularkan oleh Sergio sehingga menjadi jenama yang terkenal di seluruh dunia.

Sejak 50 tahun beliau menerajui Pininfarina, pengeluaran kenderaan syarikat itu meningkat daripada 524 unit setahun kepada lebih 50,000 kenderaan.

Selain perkongsian bersejarah dengan Ferrari, Alfa Romeo dan Maserati (kesemuanya dimiliki oleh Fiat), Pininfarina turut mereka bentuk kereta untuk Rolls-Royce dan beberapa jenama luar lain.

Antaranya kereta Chevrolet Corvette Rondine pada 1963, Cadiilac Alante pada 1986, Bentley Azure pada 1996 dan kereta coupe Peugeot 406 pada 1996.

Sergio turut mereka bentuk kereta Fiat 124 Spider keluaran 1986, Ferrari Testarossa pada 1984 dan dan Ferrari Scagliettia pada 2004.

- Reuters

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.