Perkembangan transaksi wang secara elektronik

Oleh ADLAN JAAFAR

FATIMAH ATAN masih ingat lagi sekitar tahun 60-an. Wanita berusia 63 tahun itu terpaksa beratur panjang di pejabat pos semata-mata mahu membayar bil elektrik.

Ketika itu, pejabat pos sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal jauh dari bandar kerana ia mudah ditemui dan menawarkan pelbagai perkhidmatan.

Menyimpan duit di pejabat pos pada masa itu sangat popular dan lazimnya ramai yang berbuat demikian.

Namun apabila berlaku kesempitan wang pada hujung minggu, ia menjadi masalah besar pula sehingga kadangkala terpaksa mengikat perut sementara menunggu bank dibuka pada hari bekerja.

"Tidak seperti sekarang, ketika itu tidak ada mesin teler automatik (ATM) yang beroperasi 24 jam," kata wanita yang berasal dari Muar, Johor itu.

Bagaimanapun, nilai sekeping RM50 ketika itu sangat besar sehingga mampu membeli pelbagai barangan rumah berbanding sekarang yang disifatkannya sangat mahal.

Lain pula kaedah transaksi yang digunakan oleh Shaiful Nizam Mukhelas, 28. Dia tidak pernah mengenal kesusahan yang ditempuhi oleh Fatimah atau dua generasi sebelumnya.

Sejak setahun lalu, lelaki yang berumur 28 tahun itu menggunakan perkhidmatan perbankan elektronik atau e-banking terutama untuk membayar bil internet dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menggunakan CIMB-click, dia boleh memindahkan wang daripada akaun simpanan ke kad kredit dan tahap kepercayaannya sangat tinggi. Sistem itu bukan sahaja memerlukan memasukkan nama pengguna dan kata kunci malah memerlukan kod unik berbentuk soalan.

Kod jawapan unik yang perlu diisi itu hanya diketahui oleh pemiliknya.

Proses transaksi mudah

Ketika membeli-belah pula, dia lebih gemar menggunakan kad kredit kerana tidak perlu membawa wang yang banyak dan proses transaksi dengan juruwang sangat mudah.

Dalam seminit, Shaiful Nizam dapat melangsaikan semua bayaran bil setiap bulan tanpa perlu beratur panjang. Dia begitu bersyukur dengan semua perkhidmatan yang ada di depan mata tambahan pula lelaki yang menetap di Kajang, Selangor itu tidak memiliki kenderaan.

"Penyata akaun hanya dicetak apabila diperlukan. Ia sangat mesra alam dan bil-bil tidak lagi menyemakkan peti pos setiap bulan," selorohnya disambut hilai tawa yang panjang.

Pembayaran elektronik amat digalakkan oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia sangat efisien, murah, mudah dan selamat.

Walau bagaimanapun, peningkatan penggunaan kaedah pembayaran berasaskan elektronik tidak mungkin dapat menyebabkan penggunaan wang dalam bentuk fizikal pupus sama sekali.

"Cuma, potensi penjimatan kos bagi sesebuah negara kira-kira satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun apabila berpindah sepenuhnya daripada pembayaran berasaskan kertas ke e-pembayaran.

"Selain itu, peratus peningkatan edaran mata wang dijangka lebih stabil berbanding sekarang," kata Pengarah Jabatan Pengurusan dan Operasi Mata Wang, (BNM), Azman Mat Ali.

Pada peringkat awal, masyarakat menukar barang dalam bentuk pemberian hadiah. Ia berlaku kerana mereka sukar untuk menentukan nilai persamaan barang untuk ditukar.

Kulit siput gerus

Sebagai contoh, ketika masyarakat luar berurus niaga dengan pedagang Arab ketika abad kedua Sebelum Masihi. Mereka menukar hadiah antara ketua masing-masing.

Pemberi hadiah akan menyatakan jenis barangan yang perlu diberi sebagai penukaran. Selain itu, mereka turut menukar perkhidmatan. Bagaimanapun, nilainya masih tidak tetap.

Kulit siput gerus mula dijadikan mata wang pada awal abad ketiga Masihi. Mata wang berasaskan sumber asli emas dan bijih timah mula digunakan sekitar abad ke-15.

Kesultanan Pasai merupakan kerajaan pertama menggunakan wang emas manakala mata wang Kesultanan Melaka pula diperbuat daripada bijih timah.

Kedua-dua bahan tersebut tahan lama, ada nilai dan mempunyai kestabilan. Menurut pensyarah kanan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Supian Sabtu, pada zaman itu, semua mata wang yang berasaskan emas dan timah diterima pakai dalam transaksi perdagangan tanpa mengira jenis dan tempat asal mata wang.

"Ia bertepatan dengan prinsip Islam seperti pembayaran jizyah yang membenarkan bayaran dibuat dalam apa bentuk mata wang asalkan diperbuat daripada emas," kata Mohd. Supian ketika ditemui.

Menurutnya, penukaran daripada siput gerus kepada bahan logam berasaskan emas dipengaruhi oleh faktor agama. Kulit siput gerus digunakan dalam aktiviti keagamaan apabila ditemui di kawasan perkuburan.

Emas dan bijih timah pula mula digunapakai selepas kedatangan agama Islam ke Kepulauan Melayu. Pengaruh Islam dapat dilihat pada tempaan gelaran sultan yang memerintah pada permukaan syiling seperti al-Sultan al-Adil, al-Malik al-Adil dan al-Adil.

Wang syiling yang diperbuat daripada sumber asli bumi diperkenalkan oleh pedagang dari China.

Mohd. Supian telah melakukan kajian terhadap wang lama selama empat tahun dan laporan mengenainya setebal 552 muka surat bertajuk, Bentuk Mata Wang Kesultanan di Tanah Melayu, Numismatik dan Arkeologi Abad ke-15 hingga 19 Masihi. Kawasan penemuan dan kajian kebanyakan terdapat di kawasan sungai.

"Pusat perdagangan kerajaan Melayu lama banyak berpusat di tebing-tebing sungai. Wang tampang digunakan sebagai cukai dikenakan oleh pedagang yang menggunakan laluan sungai," terang Mohd. Supian.

Pemalsuan wang

Wang tampang dinilai dengan perbandingan berat iaitu sekati bersamaan 10 tahil. Bagi urus niaga mata wang biasa, sekeping wang mas (nama bagi duit diperbuat daripada emas) sama dengan nilai empat keping mata wang kupang. Wang kupang dan mas dibezakan dengan berat yang berbeza.

Pada zaman moden ini, hanya bank pusat atau pihak tertentu diberi mandat mencetak mata wang.

Bagi BNM, pihaknya menggunakan pencetak-pencetak wang kertas antarabangsa yang mempunyai reputasi tinggi dan melalui proses penilaian tender yang teliti dan ketat.

Kata Azman, kuantiti cetakan wang bergantung pada keperluan semasa bagi setiap denominasi.

"Antara faktor yang diambil kira ialah kadar pertumbuhan ekonomi dan jangkaan kadar inflasi negara. Selain itu, kadar gantian mata wang rosak yang dilupuskan dan keperluan stok rizab turut dipertimbangkan," kata Azman.

Keperluan negara pada masa-masa tertentu dinilai sebelum kelulusan untuk mencetak dikemukakan bagi pertimbangan Lembaga Pengarah BNM.

Konsep pengeluaran mata wang siri keempat pula menggunakan substrat polimer bagi denominasi RM1 dan RM5 kerana penggunaannya yang kerap manakala wang kertas lain menggunakan substrat kapas.

Mata wang yang rosak atau lusuh akan dikeluarkan daripada edaran. Semua wang tersebut akan dimusnah dengan kaedah mericih berdasarkan proses dan produser ketat yang diamalkan oleh BNM manakala wang palsu akan dilapor terus kepada pihak polis.

"Biarpun terdapat kes-kes pemalsuan wang, Malaysia merupakan antara negara yang paling rendah memiliki kes tersebut berbanding negara lain," ungkap Azman.

Berbeza pada zaman Kesultanan Melayu dahulukala, duit dihasilkan oleh sultan yang memerintah sahaja. Setiap kali sultan baharu ditabalkan, baginda akan memerintah semua syiling yang dikeluarkan oleh sultan terdahulu dikumpul.

Terang Mohd. Supian lagi, syiling-syiling akan dilebur dan cetakan tertera nama sultan baharu dibuat. Selain sultan, kerabat sultan turut dibenarkan mencetak duit.

Sebagai contoh, di Terengganu, isteri sultan diberi keizinan mencetak sebanyak 1,000 keping wang setahun untuk kegunaan seperti jual beli.

Wang syiling dilebur oleh pandai besi (panggilan bagi orang pandai memproses besi) di tempat terbuka. Kata Mohd. Supian, ia terbukti apabila duit pada zaman Kesultanan Johor memiliki banyak jenis bahan asing selain bahasa asas.

Acuan berbentuk pokok digunakan bagi membuat bentuk bulat untuk syiling sebelum ditempa.

"Ada cerita ketika kerajaan Melaka jatuh ke tangan Portugis. Mereka mengarak mata wang Kesultanan Melayu itu di seluruh bandar bagi mempertonton kepada orang ramai kerana waktu itu menjadi saat terakhir penduduk Melaka melihat duit tersebut," kata Mohd. Supian sambil menambah ia umpama satu penghinaan terhadap Kesultanan Melaka yang tumbang.

- KOSMO! Perkembangan transaksi wang secara elektronik

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.