Program Rakan Cop ditambah baik

Program Rakan Cop yang bertujuan menggalak penyertaan masyarakat membantu polis memerangi jenayah akan ditambah baik dan diperkukuh setelah terbukti menjadi antara medium yang paling berkesan mengurangkan kadar jenayah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu dapat dilihat daripada 1,538 laporan jenayah yang dihantar ahli Rakan Cop menerusi khidmat pesanan ringkas sepanjang bulan ini, sebanyak 1,013 telah diambil tindakan.

"Pihak polis yakin dengan kemampuan ahli-ahli Rakan Cop dalam menyalurkan maklumat serta mengambil tindakan segera terhadap setiap laporan yang dibuat.

''Sumbangan ahli-ahli Rakan Cop amat penting dalam usaha menangani jenayah," katanya kepada pemberita semasa mengadakan tinjauan mesra di kawasan perumahan Taman Jasmin, Senawang di Seremban.

Hishammuddin berkata, sejajar dengan perbincangan yang dilakukan dalam makmal 2.0 Pelan Transformasi Kerajaan baru-baru ini, beberapa fokus akan diberikan terhadap usaha penambahbaikan dan pengukuhan program Rakan Cop.

Beliau berkata, antaranya menambah bilangan ahli Rakan Cop, menambah perkakasan dan perisian komputer serta penyelarasan unit program itu, di samping memperhebatkan promosi mengenai Rakan Cop dan menyalurkan maklumat jenayah secara berkala kepada ahli-ahli.

Hishammuddin berkata, penambahbaikan itu amat penting terutama dalam menangani trend baru perlakuan jenayah dalam masyarakat.

"Dalam soal ini kita amat perlukan sokongan dan penglibatan menyeluruh daripada setiap ahli dalam Rakan Cop yang berbeza-beza latar belakang, untuk bekerjasama dengan pihak polis," katanya.

Katanya, sejak diperkenalkan 2004, keahlian Rakan Cop kini hampir mencecah 500,000 orang seluruh negara dengan keahlian tertinggi di Perak, diikuti Kuala Lumpur dan Selangor.

Mengenai tinjauan mesra itu, Hishammuddin berkata ia bertujuan memperoleh sendiri maklumat daripada masyarakat mengenai keadaan sebenar dan permasalahan memerangi kejadian jenayah di tempat mereka.

"Di sini saya dapati keadaan kejiranan dan Kelab Rukun Tetangganya sangat bagus dalam melakukan pemantauan, cuma ada beberapa masalah yang kita kenal pasti seperti kawasan gelap, masalah pekerja asing, yang mana kita akan lihat nanti bagaimana untuk memastikan masyarakat di sini selesa," katanya.

- BERNAMA Program Rakan Cop ditambah baik

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.