Swasta boleh mula persaraan 60 tahun

Majikan yang mahu melaksanakan umur persaraan baru kakitangan swasta daripada 55 kepada 60 tahun, boleh berbuat demikian mulai sekarang.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata walaupun kerajaan belum menetapkan tarikh atau tempoh tertentu untuk penguatkuasaan Rang Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012, majikan sememangnya digalak berbuat demikian sekarang. Pada masa sama, beliau berkata, kementerian akan menemui pelbagai pihak berkepentingan termasuk Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi membincangkan isu terbabit.
“Majikan yang mahu melaksanakan lebih awal, silakan. Namun, perkara berkaitan undang-undang untuk mewajibkan aspek tertentu seperti isu ini, perlu mengambil kira pandangan majikan dan pekerja. Justeru, bukan mudah untuk dilaksanakan dengan segera.

“Kita perlu ambil masa dan kena bincang dengan semua pihak berkepentingan sebelum keputusan muktamad dicapai,” katanya kepada pemberita selepas taklimat media berhubung perkembangan Projek Permulaan Kedua (EPP2) di bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) Perkhidmatan Perniagaan, semalam.

Di bawah Rang Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang diluluskan Parlimen, baru-baru ini, umur bersara wajib bagi pekerja sektor swasta dinaikkan kepada 60 tahun dan majikan tidak boleh memaksa pekerja bersara sebelum mencapai usia itu.

Mengulas lanjut, Dr Subramanian berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung had umur bagi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja selepas membenarkan had umur persaraan minimum bagi pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun.
Terdahulu beliau berkata, EPP2 di bawah NKEA Perkhidmatan Perniagaan ialah membina pembekal penyumberluaran berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Sektor itu membuka kira-kira 2,210 peluang pekerjaan baru dan menjana eksport perkhidmatan bernilai RM318 juta pada suku pertama 2012 iaitu peningkatan 50.2 peratus dari segi jumlah pekerjaan baru dan sembilan peratus nilai eksport perkhidmatan, berbanding 2010.

- BERITA HARIAN Swasta boleh mula persaraan 60 tahun

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.