Top Ad 728x90

Tak faham peraturan punca kes mahkamah tertangguh

Oleh Musa Awang
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Peguam adalah pegawai mahkamah, ungkapan yang biasa kita dengar. Bagaimanapun, segelintir saja yang memahami konsep peguam sebagai pegawai mahkamah atau kadangkala disebut 'sahabat mahkamah'. Peguam sebagai pegawai atau sahabat mahkamah membawa maksud mereka bertanggungjawab membantu mahkamah apabila mewakili anak guamnya.

Proses perbicaraan di mahkamah mempunyai peraturannya sendiri. Proses ini rumit, sukar difahami orang awam dan ia bukan dibuat secara suka-suka. Proses perbicaraan terkandung dalam undang-undang bertulis berkenaan tatacara mahkamah.

Kegagalan memahami dan mematuhi proses tatacara perbicaraan akan mengundang kelewatan dalam menyelesaikan kes yang telah difailkan di mahkamah.

Dalam konteks Mahkamah Syariah, kelewatan biasa akan dianggap kelewatan melampau disebabkan hampir keseluruhan kes Mahkamah Syariah membabitkan hal ehwal keluarga yang diselubungi emosi dan semua pihak mahukan penyelesaian pantas dan memihak kepada mereka.

Kehadiran peguam untuk mewakili pihak yang bertelingkah sepatutnya menjadi satu bantuan besar kepada semua pihak termasuk mahkamah yang mengendalikan perbicaraan. Peguam mampu membantu melancarkan proses perbicaraan dan memudahkan mahkamah mendapatkan fakta yang relevan dan bukti yang benar.

Perlu juga diingatkan, tugas peguam adalah membantu menyampaikan dan membentangkan fakta serta bukti kes di hadapan mahkamah. Peguam mampu mengubah sesuatu kes yang lemah menjadi kuat adalah satu tanggapan yang salah.

Sebagai peguam yang ditauliahkan pihak berkuasa negeri, tidak boleh membuat bukti baru atau mengubah fakta kes yang dibicarakan.

Oleh itu, apabila seseorang berhasrat melantik peguam, tujuannya bukan untuk menang dalam permohonan, tetapi bagi melancarkan penyampaian kes di mahkamah supaya berjalan sempurna dan teratur bagi mendapatkan keadilan.

Di Mahkamah Syariah khususnya, sesetengah permohonan atau kes yang dibicarakan bukan setakat selesai dalam mahkamah, tetapi ada kala memberi kesan besar sepanjang hayat seperti permohonan pengesahan cerai atau nikah yang memberi kesan terhadap keturunan.

Maka, memberi fakta bersalahan seperti menafikan perceraian yang telah berlaku atau mengakui nikah yang tidak berlaku, akan memberi kesan besar terutama kepada status anak dan generasi berikutnya.

Oleh itu, semua pihak harus memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing, semoga selepas ini orang ramai lebih memahami tugas seorang peguam sebagai sahabat mahkamah yang membantu mereka berurusan dengan pihak mahkamah.

Adanya bantuan peguam dapat membantu ke di Mahkamah Syariah dikendalikan dengan lebih lancar dan sempurna.

Memahami tugas serta peranan peguam akan menjadikan masyarakat lebih menghargai peraturan perbicaraan yang mesti diikuti di mahkamah. Peraturan bukan untuk melengahkan permohonan atau perbicaraan, tetapi membantu orang ramai memahami prosedur ditetapkan.

Banyak kes lambat selesai atau tertangguh lama disebabkan pihak yang bertelingkah tidak memahami peraturan mahkamah dan gagal menyediakan bukti diperlukan bagi membolehkan perbicaraan berjalan lancar.

Disebabkan tiada pihak yang membantu seperti peguam syarie, maka kes sedang dibicarakan akan berlanjutan. Perbicaraan tidak akan selesai selagi perkara dikehendaki mahkamah gagal dikemukakan pihak bertelingkah.

Kehadiran peguam dapat membantu masyarakat memahami selok- belok kes, situasi ketika perbicaraan serta perkara perlu dilakukan mereka supaya permohonan atau kes berjalan lancar seterusnya mendapat keadilan.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90