Talian Prabayar Just 015


MEMILIKI beberapa nombor telefon daripada pembekal rangkaian telekomunikasi berbeza seolah-olah sudah menjadi budaya dalam masyarakat moden masa kini.

Mungkin kebiasaan itu disebabkan faktor keperluan tertentu, misalnya seseorang itu mempunyai kerjaya yang memerlukan mereka berhubung dengan pelbagai pihak daripada peringkat bawahan hingga atasan.

Bagi memudahkan mereka, setiap nombor itu akan dikhususkan sama ada bagi tujuan kerja, peribadi mahupun keluarga atau sanak saudara.

Situasi itu juga secara tidak langsung memerlukan setiap individu mempunyai koleksi telefon bimbit tersendiri. Namun, bagi mereka yang kurang berkemampuan mungkin akan berfikir dua atau tiga kali sebelum mendapatkan lebih daripada satu nombor telefon.

Ini kerana kebiasaannya telefon bimbit hanya boleh menyimpan satu kad SIM dalam satu-satu masa.

Bagaimanapun, perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengendali syarikat telekomunikasi mudah alih prabayar terbaharu, Just 015 Sdn. Bhd. (Just 015) dijangka mampu menarik perhatian ramai kerana ia tidak menawarkan kad SIM.

Sebaliknya, ia menggunakan teknologi filem SIM yang membolehkan pengguna mengekalkan nombor talian sedia ada di samping memiliki nombor baharu daripada Just 015.

Pengarah Operasi Just 015, Faridon Mahmood, 47, berkata, selepas menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama tiga tahun, pihaknya percaya penggunaan filem SIM dilihat lebih praktikal dan mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Penggunaan filem SIM bagi telefon bimbit di negara ini masih baharu dan syarikat kami menjadi pihak pertama yang mengaplikasi teknologi tersebut.

“Berdasarkan keputusan R&D yang dilaksanakan bermula pada tahun 2008, kami yakin ia berpotensi untuk diketengahkan dan mendapat sambutan yang baik,” ujar Faridon ketika ditemui Kosmo! di Cyberjaya baru-baru ini.

Paling menarik, melalui talian prabayar Just 015, pengguna akan menikmati perkhidmatan panggilan percuma tanpa had ke talian yang sama di samping dikenakan caj lebih rendah bagi panggilan ke semua talian berbeza iaitu hanya 15 sen seminit.

Merupakan syarikat yang dimiliki 100 peratus oleh bumiputera, kemunculan Just 015 bertujuan menawarkan talian alternatif kepada pengguna telefon bimbit dengan kadar yang menjimatkan.

“Statistik menunjukkan terdapat kira-kira 30.4 juta telefon bimbit berdaftar di Malaysia dan 70 peratus daripada jumlah itu menggunakan talian prabayar berbanding hanya 30 peratus yang memakai talian pascabayar.

“Justeru, kami menyasarkan untuk memperoleh kira-kira tiga juta pelanggan dalam tempoh dua tahun kerana percaya ia mampu dilakukan. Tambahan pula, Just 015 mempunyai banyak kelebihan untuk dimanfaatkan terutamanya bagi golongan muda,” jelas beliau sambil memberitahu setakat ini terdapat hampir 8,000 pelanggan sejak ia dilancarkan pada akhir tahun lalu.

Kongsi pemancar

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kewangan Just 015, Mohd. Khairuldi Ab. Halim memberitahu, buat masa ini talian tersebut berkongsi rangkaian (sharing network) dengan syarikat telekomunikasi gergasi negara seperti Maxis, Celcom dan DiGi.

“Disebabkan kekurangan kapasiti untuk menyediakan menara pemancar sendiri, talian 015 bekerjasama dengan rangkaian syarikat telekomunikasi utama di Malaysia dalam menawarkan perkhidmatan kepada pengguna.

“Alhamdulillah, ia mendapat respons yang baik daripada pihak berkaitan kerana inovasi yang kami gunakan melalui filem SIM tidak memberi kesan negatif kepada mereka.

“Ini kerana jika pelanggan mahu menggunakan talian 015, mereka perlu mempunyai kredit yang belum tamat tempoh bagi nombor yang dikongsi bersama dalam satu telefon bimbit,” terang Khairuldi.

Tambah beliau, seandainya kredit bagi talian selain 015 sudah habis, maka mereka tidak akan dapat untuk membuat panggilan keluar atau menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Walaupun panggilan ke talian 015 ke 015 percuma, namun ia tetap memerlukan kredit dan tempoh sah yang ada pada talian yang dikongsi. Atas dasar inilah yang menyebabkan syarikat telekomunikasi menerima Just 015 untuk berkongsi rangkaian,” tutur Khairuldi.

Bagi pengguna yang mahu membuat panggilan dail terus antarabangsa (IDD) pula, mereka tidak perlu bimbang dengan kos yang perlu dibayar kerana talian tersebut menawarkan harga yang sangat berpatutan dan tanpa caj perayauan.

Menurut Khairuldi, pihaknya hanya mengenakan caj serendah 10 sen untuk panggilan IDD ke lapan buah negara iaitu India, Bangladesh, Thailand, China, Singapura, Hong Kong, Vietnam, Pakistan dan Amerika Syarikat.

Ini diikuti Indonesia dengan kadar bayaran RM0.20, Kemboja (RM0.15), Iran (RM0.30), Arab Saudi (RM0.32), Nepal dan Filipina (RM0.40) dan Myanmar (RM0.95).

Pek permulaan

Untuk mendapatkan perkhidmatan ini, pengguna perlu membeli pek permulaan i-Pack Just 015 pada harga RM50 dengan nilai panggilan RM10.

Kupon tambah nilai pula boleh didapati pada harga RM10, RM30, RM50 dan RM100. Tarikh luputnya pula mengikut jumlah tambah nilai seperti RM10 untuk sepuluh hari, RM30 (30 hari), RM50 (50 hari) dan RM100 (100 hari).

Talian 015 ini menggunakan lapan digit nombor berbanding tujuh digit bagi nombor talian lain. Ia juga mempunyai sistem pendaftaran online yang bertujuan untuk menyemak penjualan data dan bagi kegunaan pihak polis jika berlaku sesuatu kes.

Dalam pada itu, salah seorang pelanggan Just 015, Umi Salwana Muslimin, 29, tidak ketinggalan berkongsi pengalaman menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh talian tersebut.

“Apabila melihat promosi yang dijalankan oleh talian ini, saya tidak teragak-agak untuk mencuba dengan membeli pek permulaan i-Pack pada harga RM50.

“Memang ia kelihatan agak mahal berbanding pek permulaan kad SIM yang boleh didapati pada harga lebih rendah.

“Bagaimanapun, saya rasa lebih banyak keistimewaan yang boleh didapati terutamanya apabila membuat panggilan ke talian 015 secara percuma tanpa sebarang had masa.

“Menyedari potensi yang ada terhadap Just 015, saya terus mendaftar untuk menjadi ejen penjual (reseller) sebagai langkah menambah pendapatan,” ungkap Umi Salwana yang hadir ke pejabat Just 015 di SME Entrepreneur Centre, Cyberjaya untuk mendapatkan stok i-Pack dan kupon tambah nilai.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.just015.com atau laman sosial www.facebook.com/just015mobile

- KOSMO!

1 comment... add one now

Sajid Ali Sajid Ali 16 August, 2013
conect me i want reload
kaash.43@gmail.com

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.