Tindakan tegas terhadap penjawat awam beli ijazah palsu

Tindakan tegas akan dikenakan terhadap penjawat awam yang didapati membeli ijazah palsu, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata polis masih menyiasat perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang memilih jalan mudah tanpa perlu menghadiri kuliah, mengambil ujian dan menghantar kertas kerja untuk memperolehi ijazah.

"Setakat ini tiada kes melibatkan penjawat awam yang terlibat di dalam pembelian ijazah palsu. Jika hasil siasatan mendapati ada di antara penjawat awam yang terlibat, tindakan tegas akan diambil serta merta," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Program Transformasi Pegawai ke Luar Negara di Kuala Lumpur.

Program lima hari itu dihadiri 117 penjawat awam yang bakal melanjutkan pelajaran ke beberapa universiti di luar negara dalam tempoh terdekat bagi peringkat Sarjana dan Sarjana Muda.

Sebelum ini, media melaporkan ijazah itu dikeluarkan atas nama lima universiti luar negara termasuk tiga yang disahkan tidak wujud.

Lima universiti itu ialah University Of Rockhampton (tidak wujud), Harvey International University (tidak wujud), Cannington Brook University (tidak wujud), Glastonbury University (United Kingdom) dan Charles Molnar University (Hungary).

- SINAR HARIAN Tindakan tegas terhadap penjawat awam beli ijazah palsu

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.