Jumaat, Ogos 31, 2012

GO-KL City - Bas percuma untuk warga Kuala Lumpur


Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, kerajaan Persekutuan menghadiah perkhidmatan bas percuma kepada warga kota bagi destinasi tertentu di kawasan pusat bandar bermula 31 Ogos 2012.

Perkhidmatan bas percuma yang dikendalikan oleh Go-KL City Bus itu merupakan langkah terbaharu kerajaan bagi mempromosi pengangkutan awam dalam kalangan orang ramai selain bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pusat Perniagaan Daerah (CBD) di ibu negara.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar (gambar) berkata, perkhidmatan yang menelan kos operasi kira-kira RM4 juta setahun itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 10 juta pengguna pengangkutan awam di ibu negara setiap tahun.

"Go-KL City Bus mempunyai 15 buah bas berwarna ungu melibatkan jarak perjalanan sepanjang 14 kilometer dan 25 hentian bas dalam kawasan CBD. Bas ini mudah dikenali kerana ada logo Go-KL City Bus serta tulisan percuma pada bas berkenaan.

"Bas yang beroperasi bermula pukul 6 pagi hingga 11 malam setiap hari ini dilengkapi kemudahan WiFi, sistem penentuan kedudukan global, sistem kamera litar tertutup dan mesra golongan orang kelainan upaya," katanya pada satu sidang akhbar di sini kelmarin.

Syed Hamid berkata, laluan pertama Go-KL City Bus melibatkan hentian bas di Suria KLCC, Angkasaraya, Pusat Penerangan Pelancongan (Matic), Hotel Concorde, Wisma Hup Seng, The Weld, Wisma Lom Foo Yong, Pavilion, Ain Arabia, Monorel Raja Chulan, Wisma Rohas Perkasa, Citibank dan Wisma Athlan.

Katanya, laluan kedua melibatkan hentian bas di Pasar Seni, Bangkok Bank, Muzium Telekom, Menara Olimpia, Menara KL, The Weld, Wisma Lim Foo Yong, Pavilion, Ain Arabia, Wisma Boustead, Wisma HLA, Simpang Bukit Ceylon, Muzium Telekom dan Kota Raya.

Menurut beliau, sebanyak dua lagi laluan Go-KL City Bus akan diwujudkan di ibu negara pada tahun ini sebelum ia dilaksanakan di bandar besar lain seperti Johor Bahru dan Pulau Pinang bergantung kepada prestasi perkhidmatan itu di Kuala Lumpur.

- KOSMO!

Gunung berapi 140 juta tahun ditemui


HONG KONG - Sekumpulan ahli geologi Hong Kong semalam mendedahkan peta dan tinggalan gunung berapi gergasi yang meletus 140 juta tahun lalu.

Gunung berapi gergasi itu terletak di tenggara Hong Kong.

Diameter gunung tersebut ialah 18 kilometer dan ia dikenali sebagai Gunung Berapi Besar Pulau Tinggi.

Hakisan dan cuaca menyebabkan hanya sedikit tinggalan gunung itu dapat dilihat seperti di Kepulauan Kwo Chau.

Menurut agensi berita Bernama, Jabatan Pembangunan dan Kejuruteraan Sivil Hong Kong membuat pengumuman rasmi tentang penemuan itu semalam.

Seorang jurutera di jabatan itu, Denise Tang berkata, gunung tersebut pernah menghamburkan 1,000 kubik kilometer debu.

- Agensi

Lindungi hak cipta

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

CUBA lihat tudung yang anda pakai, adakah anda tahu siapa pereka asal tudung tersebut? Bagaimana jika anda dituduh sebagai bersubahat dengan penciplak kerana anda tidak tahu sama ada tudung tersebut memang ciptaan asli atau telah ditiru bulat-bulat oleh orang lain? Tentu anda tidak mahu terlibat dengan situasi tersebut bukan?

Persoalannya sekarang siapakah pemilik asal ciptaan tudung tersebut? Adakah anda membeli tudung yang telah mendapat kelulusan pengeluarannya oleh pencipta asalnya.

Bagaimana pula dengan kerepek yang anda makan? Jika anda sendiri mahu menjadi pengusaha kerepek itu adakah anda menjadi pemilik kerepek tersebut?

Persoalan di atas membawa kita pada dua keadaan yang berbeza.

Yang pertama melibatkan pemilikan harta zahir dan yang kedua siapakah yang berhak dikatakan pencipta asal harta tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah (Harta Industri), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Shamsiah Kamarudin berkata, harta intelek adalah hasil ciptaan minda sama ada dalam bentuk reka cipta, simbol, nama dan reka bentuk yang digunakan dalam perdagangan serta karya sastera dan seni.

Manakala komponennya membabitkan paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi, hak cipta dan susun atur litar bersepadu.

"Di bawah undang-undang harta intelek, pemegang salah satu daripada hak intelek yang bersifat abstrak itu mempunyai hak eksklusif tertentu untuk harta intelek yang mereka cipta," kata Shamsiah yang ditemui di pejabatnya yang terletak di Wisma UOA, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Shamsiah, ini merupakan satu isu yang perlu diambil perhatian oleh kumpulan sasaran kerana dengan memiliki sesuatu karya, ia mampu memberikan pulangan berganda kepada pemilik berkenaan menerusi strategi pemasaran atau melalui penjualan hak, pelesenan atau francais sehingga ke pasaran peringkat global.

"Untuk mempromosikan sesuatu produk perlulah ada jenama. Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) contohnya perlu mengambil isu cap dagangan ini sebagai sesuatu yang serius kerana jika tersilap langkah atau cuai mengenainya, ia boleh mendatangkan kerugian kembali kepada pereka asal produk," ujarnya.

Tambah Shamsiah, perlindungan diberi bertujuan mengawal dan melindungi ciptaan seseorang.

Maka orang lain tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan hasil kreativiti orang lain dan mendapat keuntungan ke atasnya pula.

Mengenai cap dagangan pula, beliau menerangkan, ia adalah sebarang tanda yang dapat membezakan barangan dan perkhidmatan seseorang peniaga daripada peniaga yang lain seperti perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau kombinasi daripada unsur berkenaan.

Reka bentuk perindustrian pula merangkumi reka bentuk luaran keseluruhan yang memberi penampilan unik pada sesuatu barang atau produk dihasilkan.

Mengenai permohonan dan proses yang dilakukan, katanya, pemeriksaan dipercepatkan daripada enam bulan kepada tiga minggu.

Manakala pemeriksaan biasa ialah 12 bulan dan tempoh perlindungan pula ialah 10 tahun dari tarikh difailkan dan boleh diperbaharui bagi setiap 10 tahun.

- UTUSAN

Hanya 38 peratus pekerja puas hati dengan pengurusan

Gaya kepimpinan dan pengurusan memainkan peranan penting di tempat kerja dan 38 peratus responden puas hati dengan gaya kepimpinan pengurusan mereka sekarang, kata Kajian Tenaga Kerja Global Kelly Services Inc.

Menurut kajian itu, penilaian yang paling memberangsangkan adalah dari Amerika, yang mana 45 peratus berkata mereka puas hati dengan kepimpinan pihak pengurusan mereka sekarang, jauh mendahului kedua-dua Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) pada 34 peratus dan Asia-Pasifik pada 39 peratus.

Hampir 170,000 pekerja di 30 negara mengambil bahagian dalam kajian itu, termasuk lebih 2,000 di Malaysia, kata Kelly Services dalam satu kenyataan.

"Berbanding dengan negara-negara lain, rantau Asia-Pasifik berada pada kedudukan yang agak baik bagi kepimpinan pengurusan dengan India (65 peratus), Indonesia (58 peratus), Malaysia (58 peratus), New Zealand (52 peratus), Singapura (52 peratus) berada di tempat-tempat teratas.

"Thailand, China, dan Hong Kong menerima markah yang rendah pada masing-masing 44 peratus, 40 peratus dan 38 peratus daripada pekerja," katanya.

Kelly Services berkata pekerka di Asia-Pasifik didapati paling kurang untuk memuji majikan mereka berbanding responden dari wilayah Amerika dan EMEA.

"Bagaimanapun, 60 peratus pekerja di China, Thailand, India dan New Zealand berkata positif tentang majikan mereka, manakala di Malaysia dan Singapura adalah pada 52 peratus dan Indonesia 50 peratus," katanya.

Pengarah urusan Kelly Services, Malaysia, Melissa Norman berkata, salah satu daripada sasaran utama ketua yang efektif adalah untuk menggalakkan pekerja mencapai kecemerlangan.

"Kurang daripada separuh yang dikaji (48 peratus) berkata mereka terinspirasi oleh pihak pengurusan mereka untuk memberikan prestasi terbaik di tempat kerja," kata beliau.

- BERNAMA

Fahami dan hayati maksud sebenar kemerdekaan

Oleh Mohd Ayob Abd Razid
Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.

Penghayatan terhadap erti kemerdekaan menuntut kita mengenali sejarah negara. Ia penting supaya kita dapat memperkukuh jati diri serta mengetahui cabaran yang boleh merentap dan memusnahkan kemerdekaan dan kedaulatan negara tercinta ini.

Sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pernah menyebut bahawa generasi muda hanya akan benar-benar dapat menghayati erti kemerdekaan apabila mereka faham mengenai sejarah negara, kedudukan diri sendiri, kedudukan negara, masyarakat, rantau dan dunia.
Menurutnya, generasi muda tidak harus terlalu terikut arus pemodenan secara membuta tuli. Sebaliknya mereka perlu menyedari dan memahami bagaimana kita sampai kepada kedudukan sekarang. Jika ini dapat difahami secara jelas oleh generasi muda maka akan terbina semangat patriotisme yang membara di dalam sanubari mereka.


Pada hemat penulis, kealpaan dalam memahami sejarah negara boleh mengundang ‘malapetaka’ kerana generasi yang membesar tanpa pengetahuan dan pemahaman terhadap sejarah tanah airnya akan kehilangan jati diri dan semangat patriotisme.

Ini sekali gus boleh meletakkan pembinaan negara bangsa umpama ‘sarang labah-labah’ yang rapuh serta senang dimusnahkan oleh musuh.

Justeru, kita bimbang sekiranya kefahaman terhadap sejarah tanah air tidak dititikberatkan maka tidak mungkin semangat sayang dan cintakan negara itu dapat dibina dalam kalangan generasi muda hari ini.
Oleh itu, mata pelajaran sejarah harus diajar dan dihayati sejak peringkat sekolah rendah lagi.
Subjek sejarah harus dirangka dengan berkesan di peringkat sekolah menengah dan pengajian tinggi supaya setiap warga negara mengenali dan memahami sejarah tanah airnya secara mendalam.

Bayangkan apa akan terjadi kepada bangsa dan tanah air kita pada masa depan sekiranya generasi hari ini yang bakal memimpin negara suatu hari nanti tidak mengenali sejarah serta tidak memiliki jati diri yang teguh dan kukuh dalam mengemudi negara ini.

Justeru, sempena menyambut bulan kemerdekaan yang ke-55 ini, janganlah generasi muda hanya tahu berkumpul dan melaung kemerdekaan tanpa menghayati maknanya kerana ia tidak memberikan kesan kepada mereka.

Sambutan kemerdekaan itu hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka. Oleh itu, kita tidak boleh menerima sikap sesetengah kumpulan anak muda yang menyambut hari merdeka dengan menjadikan hiburan dan pesta yang di luar batas moral hingga mencemarkan identiti diri serta tidak melambangkan jiwa yang merdeka. Sambutan yang sedemikian rupa adalah sambutan yang kontang daripada penghayatan kemerdekaan yang sebenarnya. Ia tidak termasuk dalam watak umat atau bangsa yang merdeka.

Apatah lagi remaja dan belia Islam yang sepatutnya menjadikan sambutan kemerdekaan sebagai lambang kecintaan yang jujur kepada negara, agama dan maruah bangsa.

Sebagai umat Islam, kita harus menghayati pesan Rasulullah SAW yang bermaksud, kasihkan watan itu sebahagian daripada iman. Daripada maksud hadis nabi itu, jelas kepada kita bahawa semangat patriotisme adalah elemen penting dalam mempertahankan kemerdekaan negara.

Demikian juga ulama besar alam Melayu dari Patani, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani pernah mengingatkan kita bahawa mempertahankan negara daripada penjajahan ataupun tekanan kuasa asing adalah fardu ain hukumnya. Justeru, usaha menanamkan kefahaman kepada generasi muda bahawa hakikat kemerdekaan yang sepatutnya ada dalam sanubari mereka ialah ‘kemerdekaan jiwa’.

Maksud ‘kemerdekaan jiwa’ ialah kita bebas daripada belenggu serta anasir yang mengongkong pemikiran dan budaya hidup yang merosakkan sendi-sendi kehidupan dan peradaban bangsa. Jiwa yang merdeka adalah jiwa yang bebas daripada segala bentuk penjajahan budaya songsang yang boleh memusnahkan jati diri dan maruah bangsa.

Orang yang merdeka jiwanya adalah orang yang dapat mempergunakan akal fikiran atau minda secara positif, melaksanakan sesuatu tindakan mengikut tatasusila yang berlandaskan nilai budaya bangsa dan ajaran agama yang baik.

- BERITA HARIAN

13,000 Peserta Semarak Sambutan Merdeka ke-55


Perbarisan sempena ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara peringkat nasional di Dataran Merdeka pada Jumaat meriah dengan penyertaan 13,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum khususnya generasi muda, yang melambangkan perpaduan negara yang kukuh dan sejahtera.

Bertemakan '1Malaysia Janji Ditepati', perhimpunan perbarisan bermula sebaik keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tepat pada pukul 8 pagi dengan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebaik tiba, Yang di-Pertuan Agong mengambil tabik hormat sebelum lagu 'Negaraku' dimainkan oleh Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja.

Pada masa yang sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.

Tuanku Abdul Halim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama terdiri empat pegawai dan 103 anggota Satu Rejimen Askar Melayu Diraja dan diikuti dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali sebelum diikuti dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu 'Negaraku' dan tembakan meriam 14 das.

- MSTAR

Rahsia usahawan muda Nanovbeauty

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM

SUDAH lama penulis mahu mengaturkan sesi fotografi bersama usahawan muda ini tetapi ketika itu wanita ini sedang sarat mengandung.

Usai saja tempoh berpantang, penulis terus mendapatkan pemilik nama Nur Furyna Azmir - pengasas produk kecantikan Nano-V-Skincare untuk ruangan Diari Panca.

Penulis bersama jurugambar, Abdul Razak Latif disambut mesra oleh Furyna setibanya di pekarangan rumahnya di Kajang, Selangor.

Melihat wajahnya yang ceria dan tubuhnya yang ramping, siapa sangka dia baru saja selamat melahirkan bayi lelaki yang sihat, Adam Darish sebulan yang lalu.

Tambahan, si kecil itu bukanlah anak pertamanya kerana Furyna sudah pun mempunyai seorang puteri, Amanda Delysha yang kini berusia tiga tahun.

Tertanya-tanya juga apakah rahsianya dapat mengekalkan kejelitaan wajah dan tubuh badan. Badan tak ubah seperti anak dara, wajahnya tidak kusam walaupun berjaga malam menjaga anak-anak kecil.

“Tiada apa rahsia. Selain berpantang cara tradisional, saya kini mengamalkan pengambilan produk minuman kesihatan terbaru saya, Gluta V + Stem Sel Epal.

“Selain stem sel Epal, terdapat 15 ramuan lain seperti kolagen, sarang burung layang-layang, delima, manggis, kacip fatimah, stem sel roselle dan pueraria mirifica yang baik untuk luaran dan dalaman wanita.

“Ia juga mengembalikan keremajaan dengan mencerahkan serta menganjalkan kulit," ujarnya.

Jadual waktu hariannya yang sibuk dengan menguruskan rumah tangga dan dalam masa sama memantau perniagaannya walaupun baru saja habis berpantang membuatkan minuman jus kesihatan amat diperlukan untuk menambahkan tenaga.

Akuinya, tidak mudah membahagikan masa antara keluarga dan perniagaannya yang kini kian rancak namun apapun keluarga tetap menjadi keutamaannya.

Moden klasik

Menjenguk ruang dalam rumahnya yang baru diduduki itu, timbul perasaan kagum atas citarasa wanita berusia 27 tahun ini..

Sentuhan moden klasik dengan warna-warna neutral seperti krim mendominasi keseluruhan rumahnya membuatkan ruang rumah dua tingkat itu tampak kemas dan luas.

Kelihatan dinding utama ruang tamunya yang diletakkan sebuah rak dicat dengan warna yang lebih gelap dan dihiasi dengan bingkai kerawang berwarna putih yang mengapit sebuah lukisan abstrak bagi memberikan kelainan kepada rumahnya.

Citarasa Furyna yang menyintai sesuatu yang elegan terus dapat dibaca melalui hiasan kristal yang disusun rapi di ruang tamu, tempat dia menghabiskan masa bersama keluarga.

“Saya sememangnya menyukai gaya yang elegan dan kemas tetapi masih menitikberatkan sentuhan kewanitaan dengan hiasan bunga-bungaan yang sederhana.

“Bagi saya, hiasan rumah perlulah sederhana dan menenangkan kerana setelah seharian kita penat bekerja, rumahlah tempat kita menghilangkan tekanan serta merehatkan minda.

“Tidak perlu hiasan yang sarat, sekadar memenuhi citarasa kita dan skema warna yang betul bagi memberi ilusi luas sesebuah ruang," ujarnya yang mengambil masa selama dua bulan untuk mengubah suai rumahnya.

Wajah emas

Bertanya tentang rahsia penjagaan wajah pula, ujar Furyna, dia menggunakan produk penjagaan kulit wajah yang berasaskan emas.

Ceritanya, sejak zaman Cleopatara dan dinasti China lagi, permaisuri mereka mengamalkan penggunaan masker emas ketika tidur kerana ia sangat baik untuk kulit wajah.

“Produk berserta emas tulen dapat menyingkirkan toksin di dalam kulit, melancarkan peredaran darah, anti penuaan, menegangkan kulit serta mengurangkan parut dan jerawat.

“Lagipun produk Nano-V-Skincare menggunakan teknologi nano yang membuatkan keberkesanannya 1,000 kali lebih cepat.

“Bahan kimia seperti steroid dan merkuri turut tiada di dalam produk," ujarnya.

Sesuai untuk pelbagai jenis kulit, antara produk Nano-V-Skincare yang berasaskan emas adalah pencuci muka, masker, penyegar muka, serum dan krim asas.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk, layari www.nanovbeauty.com atau hubungi 017-5055528.

- UTUSAN

Khamis, Ogos 30, 2012

Astro Best, Saluran Baru Astro Untuk Filem Antarabangsa


Stesen berbayar Astro menambahkan lagi saluran baharu untuk peminat filem-filem antarabangsa dengan memperkenalkan Astro Best selepas kejayaan Astro First yang menyajikan filem-filem tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, filem-filem tersebut akan disiarkan dalam format definisi tinggi (HD) menerusi saluran 481 selepas tiga bulan tayangan di pawagam. Ia dijual dengan harga RM10 untuk sebuah filem.

"Melihat kejayaan yang diraih menerusi saluran Astro First, kami berusaha untuk membawakan tawaran-tawaran menarik melalui 'pay per view' menerusi Astro Best.

"Dan mulai hari ini (Rabu), para pelanggan sudah boleh membeli filem-filem antarabangsa termasuklah Asia dengan RM10 bagi setiap pilihan filem yang dibuat.

"Filem yang dipilih itu boleh ditonton dalam masa 48 jam selepas langganan," katanya pada pelancaran Astro Best di Kafe Zouk, Garden Midvalley.

Buat permulaan antara filem-filem yang bakal ditawarkan ialah Marvel's The Avengers, The Hunger Games, What to Ezpect When You're Expecting, The Cabin In The Wood dan konsert Korea I AM:SM Town Live Tour in Madison Square.

Tambah Henry, pelanggan boleh menonton filem yang dibeli itu dalam 12 tayangan pada masa-masa yang berlainan.

Astro melakukan kolaborasi dengan studio-studio antarabangsa seperti The Walt Disney Company, Lionsgate, Sundance, Sony Pictures Televisyen, Fortune Star, CJ Media dan Unitel Classica untuk membolehkan pelanggan mengakses gedung filem-filem antarabangsa yang disediakan.

Sementara itu, bagi yang meminati siri ‘anime’ Jepun, ia turut ditawarkan menerusi saluran Astro B.yond VOD yang menyajikan audio serta sari kata dalam Bahasa Malaysia.

Astro B.yond VOD (Video-On-Demand) adalah sebuah perkhidmatan Internet yang disediakan bagi servis tawaran pelbagai filem dan program terhangat di seluruh dunia.

Antara filem-filem yang ditawarkan menerusi saluran itu ialah 50/50, Man On A Ledge, Abduction, Here, Teddy Bear termasuklah filem-filem Asia dan Bollywood seperti Nightmare, Ghost On Air, Ashoka, Chalte Chalte dan Penny Pinchers.

- MSTAR

Rabu, Ogos 29, 2012

100,000 Peneroka Felda Akan Terima Bayaran Dividen Interim RM400

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan lebih 100,000 peneroka Felda akan mendapat RM400 menerusi dividen interim sejak Felda Global Ventures Holdings (FGVH) disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada Jun lepas.

Beliau berkata, lembaga FGVH mengumumkan dividen interim sebanyak 5.5 sen per unit, yang akan memberi manfaat kepada 112,635 peneroka Felda dan keluarga mereka.

“Ini bermakna peneroka Felda akan menerima dua jenis dividen. Pertama, menerusi pegangan 800 unit yang dimiliki mereka setiap seorang. Ini bermakna 800 unit itu akan membuatkan mereka peroleh RM44,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Felda di Menara Felda pada Selasa.

Najib berkata, keduanya menerusi dividen daripada dana amanah peneroka, yang memperuntukkan 20 peratus pegangan lain.

Beliau berkata, ini bermakna 730 juta digandakan dnegan 5.5 sen bersamaan dengan RM40.1 juta, dan jumlah ini akan dibahagikan kepada 112,635 keluarga peneroka Felda.

“Ini bermakna setiap peneroka akan menerima RM356. Jika kita tambah RM44 daripada perolehan dividen yang pertama, mereka akan menerima sejumlah RM400 setiap seorang,” kata beliau, sambil menambah bahawa perolehan itu telah pun dicapai dalam hanya dua bulan sejak FGVH disenaraikan.

- MSTAR

Soal Jawab Agama : Buang amalan khurafat


Bolehkah kita membuat binaan atas kubur?

ABU HASSAN: Terlebih dahulu kita perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan membuat binaan. Setakat kita membuat dinding simen atau mar mar di sekeliling kubur itu bukan termasuk dalam binaan atau perhiasan.

Tetapi jika sampai ke tahap membuat bumbung di kubur, itu sudah termasuk dalam membuat binaan. Ini diharamkan kecuali pada kubur para rasul, sahabat dan yang setaraf dengannya.

Ada pun, amalan masyarakat yang suka menabur bunga di pusara, ini pun tidak ada nas yang mensyariatkannya. Adalah dibimbangi perbuatan sedemikian boleh membawa kepada termasuk dalam perhiasan itu tadi.

Kalau ada pun dalam syarak adalah amalan para ulama yang menyiram air atas pusara selepas jenazah disemadikan.

Perbuatan memacak sesuatu yang basah seperti pelepah tamar atau kelapa, ada nas menyebut selagi ia masih basah ia masih bertasbih pada Allah memohon keampunan pada mayat.

Barangkali berdasarkan nas tadi, agak masyhur di kalangan masyarakat kita untuk menanam pokok kemboja kerana ia basah dan akan mendoakan si mati.

Tetapi tidak pula disebut memacak payung di atas pusara. Tidak ada nas menyuruh perbuatan sebegini dan ulama menyebut ia termasuk dalam bidaah dan khurafat.

Bagaimana pula dengan tahlil arwah yang dilihat mesti dibuat apabila berlaku kematian?

ABU HASSAN: Ini satu lagi perkara yang sampai sekarang masih diperdebatkan. Bagi yang tidak mengharuskannya, ia dianggap bidaah atas alasan antaranya Nabi SAW tidak pernah membuat tahlil arwah dan juga bersandarkan hadis bermaksud: Apabila mati anak Adam putuslah amalnya kecuali tiga iaitu amal jariah, doa anak soleh dan ilmu yang bermanfaat (riwayat Muslim)

Bagi ulama yang mengharuskannya, tahlil dibolehkan berdasarkan hadis yang sama. Cuma yang terputus adalah amalan orang yang mati. Sedangkan amalan orang yang masih hidup untuk di mati masih belum putus dan boleh dilaksanakan.

Keharusan tahlil juga bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW di mana pada suatu hari baginda didatangi oleh seorang wanita. Kata wanita itu: "Ya Rasulullah, ibu saya baru meninggal dunia dan belum mengerjakan haji. Lalu Nabi menjawab, kerjakan olehmu haji untuk ibumu itu".

Bersandarkan peristiwa itu, ulama memutuskan bahawa orang yang hidup boleh membuat ibadat seperti haji, puasa dan sedekah untuk si mati.

Bagaimanapun, soal menetapkan tarikh tahlil pada malam pertama, ketiga, ketujuh, ke-40 dan 100, ini tidak ada nasnya. Bahkan ada pendapat ulama bahawa hal ini tergolong dalam bidaah.

Kalau nak buat tahlil, buat sahaja pada bila-bila masa jangan kaitkan dengan masa atau tarikh tertentu.

Lagi pun, bagi saya, tahlil untuk si mati itu bukan kemestian. Ia sekadar untuk membantu atau menambah sedikit pahala kepada si mati.

Itupun dengan syarat si mati itu orang yang semasa hidupnya beribadat dan bertakwa. Jika semasa hayatnya, si mati tadi dikenali sebagai orang yang tidak pernah solat malah hidupnya sentiasa bergelumang dengan maksiat, secara peribadi saya melihat tahlil tiada ada faedah baginya.

Contohnya, seorang bapa semasa anak mudanya masih hidup tidak pernah menyuruh anaknya solat malah hidup anaknya terlalu bebas sehingga tidak mengenali Tuhan.

Tiba-tiba anaknya itu mati, adakah tahlil boleh membantu atau memberi faedah kepadanya, kebanyakan ulama berpendapat, ia tidak memberi sebarang faedah.

Kalau hendak membantu anak atau kaum keluarga daripada api neraka pastikan ia dibuat semasa hayat mereka bukan setelah mereka mati.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka...(al-Tahrim: 6).

Ada juga pandangan mengatakan majlis cukur jambul yang sebahagian besar kita buat sekarang adalah bidaah. Benarkah?

ABU HASSAN: Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Seorang anak terikat dengan akikahnya yang disembelih pada hari ketujuh, dan dicukur serta diberi nama". (riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Rasulullah sendiri mencukur rambut cucunya iaitu Hasan dan Husin semasa melakukan akikah. Mencukur di sini bermaksud membotakkan kepala anak.

Dari Ibnu Abbas r.a., bahawa Nabi SAW mengakikah seekor kambing untuk cucunya dan berseru: "Hai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah dengan perak kepada orang-orang miskin seberat timbangan (rambutnya). Mereka berdua lalu menimbangnya, adalah timbangannya waktu itu seberat satu dirham atau sebahagian dirham". (riwayat Tirmidzi)

Sayangnya, menjadi amalan dalam masyarakat kita dalam majlis bercukur jambul akan diadakan berzanji dan marhaban. Kemudian bayi tadi dibawa bersama sebiji kelapa dan hadirin akan menggunting sedikit rambutnya dan dimasukkan ke dalam kelapa itu.

Berdasarkan pandangan ulama, perbuatan begini adalah bidaah dan khurafat.

Kita dilarang melakukan qazak iaitu mencukur sebahagian tertentu kepala anak itu sahaja.

Daripada Abdullah bin Umar r.a., bahawasanya dia berkata: Nabi SAW melarang daripada mencukur sebahagian kepala anak kecil, dan meninggalkan yang sebahagian lain, iaitu qazak. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara kelebihan mencukur kepala, rambut yang ada pada kepala bayi dibimbangi mengandungi kuman yang dibawa bersama daripada dalam rahim.

Jika tidak dibuang dibimbangi kuman atau virus itu akan meresap dalam kepala dan otak yang mungkin menjejaskan mental bayi tersebut.

Apa pula hukum melukis inai pada tangan terutama bagi gadis yang mahu berumah tangga?

ABU HASSAN: Islam melarang perbuatan melukis pada mana-mana anggota badan tidak kira apa juga bahan yang digunakan sama ada kekal atau sementara.

Ini ditegaskan dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Allah melaknat (washam) yang bekerja sebagai melukis di badan orang dan orang yang meminta supaya dilukis".

Sepatutnya, berkahwin itu adalah perbuatan yang baik, maka jangan dicampur aduk dengan benda atau perbuatan yang kurang baik lebih-lebih yang khurafat.

Dibimbangi akan kurang keberkatan dalam perkahwinan tersebut.

Tentang pakai inai ia memang diharuskan tetapi jangan dilukis.

Demikian juga dengan upacara menepung tawar yang kini dilihat sudah jadi tradisi dan sebati dalam masyarakat. Sedangkan ia bukan budaya Islam.

Sebab itu, ulama berpendapat perbuatan merenjis dengan tepung tawar itu untuk tujuan apa sekali pun adalah termasuk dalam bidaah dan khurafat. Ia patut ditolak.

Ada juga sebahagian ulama yang membolehkan merenjis dengan syarat jangan guna tepung tawar. Gantikan dengan benda lain seperti merenjis air mawar.

Kedua, jangan ada niat tertentu tetapi seelok-eloknya jangan amalkan budaya ini.

Kebelakangan ini ada di kalangan orang Islam yang menjadikan anjing sebagai binatang peliharaan. Apakah hukum memelihara anjing sebagai kegemaran?

ABU HASSAN: Memang tidak ada nas yang melarang kita memelihara anjing. Cuma kita kena tengok apakah tujuan berbuat demikian.

Dalam kitab fiqh ada istilah kalbul mu'allim iaitu anjing yang dilatih untuk berburu. Dalam keadaan ini adalah diharuskan untuk kita menggunakan anjing. Syaratnya, tempat gigitan anjing itu tidak boleh dimakan.

Berdasarkan hukum ini, ulama berpendapat tidak jadi kesalahan jika orang Islam pelihara anjing bagi tujuan menjaga keselamatan harta benda dan rumah.

Tetapi pada masa yang sama, kita perlu tahu bahawa anjing itu adalah binatang bernajis. Jika ia menjilat atau kita terkena jilatan anjing maka ia perlu disamak.

Dalam hal memelihara anjing untuk tujuan suka-suka, dibimbangi kita terkena najisnya. Apatah lagi jika anjing itu dibiar berkeliaran dalam rumah. Dalam keadaan demikian, kita tidak boleh memastikan tentang najis anjing itu yang keluar masuk ke rumah.

Pada masa yang sama, Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Malaikat tidak akan masuk dalam mana-mana rumah yang ada anjing dan patung. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalau demikian, bagaimana kita hendak mendapat rahmat Allah?

- UTUSAN

Statistik Penderma organ selepas mati masih rendah

Tahap kesedaran rakyat Malaysia menderma organ selepas meninggal dunia masih rendah apabila hanya 0.68 peratus atau 196,364 berikrar berbuat demikian sehingga 30 Jun 2012 lalu.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan kaum Cina paling tinggi berikrar menyumbang organ, iaitu 105,587 orang, diikuti India (47,608) dan Melayu (37,510).
Bagaimanapun, jumlah mereka yang berikrar menderma organ menunjukkan peningkatan apabila 28,769 berikrar berbuat demikian tahun 2011, berbanding 20,029 pada 2010 dan 16,455 pada 2009.

Sehingga 30 Jun lalu, jumlah penderma organ dan tisu kadaverik (penderma selepas kematian) adalah 375 orang dengan Cina seramai 228 orang; India (93) dan Melayu 20 orang serta lain-lain 34 orang.

Jumlah penderma organ dan tisu kadaverik menunjukkan peningkatan setiap tahun, iaitu 47 orang pada 2011, berbanding 38 orang (2010) dan 39 orang (2009).
Sehingga 30 Jun lalu, jumlah pesakit yang menunggu mendapatkan organ di Malaysia ialah 15,420 orang, iaitu 15,417 membabitkan buah pinggang dan bakinya berkaitan hati.

Selain itu, enam orang sedang menunggu mendapatkan jantung, dua paru-paru dan tiga membabitkan jantung serta paru-paru.

Sejak 1975 hingga 30 Jun lalu, 1,659 pembedahan transplan organ dilakukan di Malaysia dengan 1,523 membabitkan buah pinggang, iaitu 385 penderma kadaverik, manakala 1,138 sumbangan penderma hidup.

- BERITA HARIAN

Kembali kepada fitrah

Oleh DR. ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

KEMERIAHAN suasana Aidilfitri masih tetap dirasakan sehingga hari ini. Kunjung mengunjungi masih lagi dilakukan, sanak-saudara dan rakan taulan berhimpun meraikan hari yang mulia ini. Kanak-kanak pula menjadi penyeri kepada kegembiraan di hari lebaran ini. Kerenah kanak-kanak ini sering menjadi tumpuan orang dewasa yang berkongsi kegembiraan tersebut.

Dari segi bahasanya aid al fitri bermakna kembali kepada fitrah (semula jadi). Kita sebenarnya kembali kepada fitrah kita sendiri iaitu suci dan bebas daripada dosa. Ini adalah disebabkan tatkala Aidilfitri, umat Islam adalah sudah sepatutnya suci daripada dosa kerana Universiti Tarbiyah Ramadan telah membersih segala dosa kita.

Namun tidak kurang juga daripada kita yang kecundang dan gagal mendapat segulung 'ijazah' dari Universiti Tarbiyah Ramadan ini. Ini dapat dilihat apabila mereka juga kembali kepada 'fitrah' mereka. Mereka kembali kepada kehidupan yang penuh dengan dosa, memakan makanan yang tidak tentu halal dan haramnya dan menindas golongan yang lemah.

Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah SWT. Segala sifat mahmudah hendaklah diamalkan dan sifat-sifat mazmumah hendaklah ditinggalkan.

Di hari kemenangan ini jangan dilupai golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mestilah diutamakan di samping mengeratkan ikatan silaturrahim sesama umat Islam. Ukhuwah dan perpaduan Islam hendaklah diutamakan di kalangan orang Islam. Golongan fakir miskin, orang kelainan upaya, anak-anak yatim dan mualaf walau di mana jua berada haruslah didekati supaya mereka tidak merasa terasing di hari kemenangan ini.

Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga setelah berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat. Agama Allah amat memerlukan kita bagi meneruskan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini.

Aidilfitri bukanlah suatu adat semata-mata tetapi merupakan ibadat yang berasaskan kepada sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, amatlah molek sekiranya hari besar ini juga dipenuhi dengan ibadat-ibadat yang dituntut oleh Allah.

Bukanlah saya mengatakan tidak boleh berseronok-seronok, tetapi tujuan utamanya untuk mengabdikan diri kepada Allah janganlah dikesampingkan. Ia tidak hanya ziarah menziarahi tetapi mengeratkan silaturrahim, ia tidak hanya berborak-borak tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir daripada apa yang dianjurkan oleh Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini tetapi dalam sukatan dan kadar yang tidak menjurus kepada pembaziran.

Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam, membantu golongan miskin yang memerlukan dan sebagainya ataupun memanfaatkannya untuk tujuan kebaikan.

Sebagaimana lazimnya seperti tahun-tahun yang lalu, bulan Syawal akan dipenuhi dengan program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Malaysia memang kaya dengan pelbagai makanan yang enak dan menarik. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.

Dari sudut pembaziran makananpun sudah cukup menyedihkan kita, apatah lagi jika kita kaji kesan produktiviti, betapa lama masa yang diluangkan menghadiri majlis-majlis berkenaan. Bukanlah tujuan penulis menyanggah apa yang telah dilakukan sekian lama ataupun menyarankan diberhentikan acara rumah terbuka ini tetapi biarlah dalam semua tindakan kita itu dibuat dengan berpada-pada dan tidak sehingga boleh disifatkan sebagai suatu pemborosan. Pemborosan pula adalah saudara kepada syaitan.

- UTUSAN

ASW 2020 agih pendapatan 6.60 sen seunit 2012


KUALA LUMPUR 27 Ogos - Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit untuk Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2012.

ASNB merupakan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad. (PNB).

Menurut kenyataan, agihan itu merupakan peningkatan sebanyak 0.10 sen seunit berbanding pengagihan pendapatan sebanyak 6.50 sen seunit pada tahun lalu.

"Kadar pengagihan pendapatan tersebut membabitkan pembayaran berjumlah RM981.89 juta, peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding jumlah pembayaran pada tahun sebelumnya yang berjumlah RM900.72 juta.

"Pengagihan pendapatan ini akan dapat dimanfaatkan oleh seramai 907,594 pemegang unit yang telah melanggan 14.85 bilion unit ASW 2020.

"Sehingga 15 Ogos 2012, ASW 2020 telah memperoleh pendapatan kasar berjumlah RM1.205 bilion," katanya.

Tambah kenyataan itu, pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM666.55 juta atau 55.3 peratus daripada jumlah pendapatan kasar tersebut.

"Keuntungan dari penjualan saham dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM334.59 juta atau 27.7 peratus, manakala pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM204.62 juta atau 17 peratus daripada jumlah pendapatan kasar tersebut.

"Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASW 2020,'' jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata: "Meskipun pasaran saham dan ekonomi dunia masih lagi mengalami suasana ketidaktentuan akibat krisis hutang Eropah yang berterusan, ASW 2020 masih mampu mencapai objektif pelaburannya sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2012.

"Ini kerana ekonomi Malaysia dan pasaran saham tempatan telah dapat terus mempamerkan prestasi yang baik," katanya.

Pengagihan pendapatan ASW 2020 akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 September 2012.

Semua urus niaga bagi ASW 2020 telah ditangguhkan bermula 24 Ogos 2012 sehingga 2 September 2012 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan masing-masing di ibu pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 3 September 2012.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASW 2020 menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan.

ASW 2020 merupakan dana berharga tetap yang mana 51 peratus daripada saiz yang dibenarkan adalah dibuka kepada masyarakat Bumiputera, manakala 49 peratus dibuka kepada masyarakat bukan Bumiputera.

- UTUSAN

Selasa, Ogos 28, 2012

Waspada individu menyamar pasukan kerja TNB

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai supaya berwaspada dan berhati-hati terhadap pihak yang menyamar sebagai pasukan kerja TNB, berikutan satu kes samun di Johor Bahru oleh dua lelaki menyamar sebagai pekerja TNB baru-baru ini.

TNB berkata, pasukan kerjanya akan hanya memasuki halaman rumah dengan kebenaran penghuni setelah menunjukkan kad pekerja atau kad pengenalan diri yang dibekalkan syarikat berkenaan.
"Bagi anggota kerja TNB yang menjalankan tugas di premis pengguna, mereka diwajibkan memakai pakaian seragam syarikat berupa t-shirt berwarna merah dengan logo TNB beserta jaket biru dengan sulaman logo TNB berwarna merah dan mempunyai nama anggota kerja tersebut," menurut kenyataan TNB.

Pengguna diminta segera menghubungi pejabat TNB berdekatan sekiranya didatangi pihak mencurigakan yang mendakwa sebagai pasukan kerja TNB.

- BERNAMA

Sumbangan wanita, kuasa beli dan cukai barangan

TIADA siapa dapat menafikan golongan wanita mempunyai kuasa atau pengaruh yang kuat dalam perkembangan ekonomi sesebuah keluarga, masyarakat dan negara. Maka, tidak hairanlah jika ada suami yang melantik isteri mereka sebagai 'Menteri Kewangan' dengan menyerahkan segala pendapatan untuk diuruskan perbelanjaan keluarga.

Ia bukan sahaja berlaku di dalam negara, mengikut statistik, wanita global keseluruhannya mengawal lebih RM70 trilion perbelanjaan pengguna dan dijangka akan meningkat kepada RM98 trilion pada lima tahun yang akan datang.

Kuasa mereka sebagai pengguna, pengeluar, pekerja, dan usahawan kini semakin mendapat perhatian perancang pemasaran produk kerana menurut kertas putih Ernst & Young, pendapatan mereka meningkat hampir dua kali ganda berbanding pertumbuhan keluaran dalam negara kasar gabungan China dan India.

Kertas itu juga menyatakan pendapatan global wanita dijangka meningkat daripada AS$13 trilion kepada AS$18 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Di Malaysia tidak terkecuali, kajian mendapati golongan wanita masih menjadi pembuat keputusan utama dalam membeli-belah untuk sesebuah keluarga dengan penguasaan kira-kira 63 peratus.

Bagaimanapun, setiap wanita mempunyai cara tersendiri ketika hendak berbelanja atau menguruskan kedudukan kewangan mereka.

Sebagai contoh, bagi Puan Salinah, seorang suri rumah sepenuh masa, beliau hanya membeli mengikut perancangan dan keperluan keluarga, manakala Cik Siti, seorang eksekutif muda menyatakan beliau kebiasaannya mudah lupa apabila mempunyai peluang berbelanja.

Puan Sharon pula berkata: "Saya mengira berapa banyak saya berbelanja di setiap kedai. Saya juga melihat perbezaan antara harga di pelbagai kedai."

Jika direnung kepada kenyataan wanita-wanita tadi, anda tentu mengetahui dalam kategori mana anda berada apabila dikaitkan dengan cara berbelanja.

Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah adakah anda mengetahui berapa banyak cukai yang anda telah bayar kepada kerajaan setiap kali membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan?

Pada umumnya, kebanyakan wanita begitu mengkagumi barang-barang yang mereka beli dan kemudiannya sibuk berkongsi dengan rakan-rakan tanpa menyedari berapa banyak cukai yang telah dibayar hasil pembelian barangan itu.

Jika membeli barangan, sudah tentu mereka telah membayar cukai jualan dan jika ke restoran atau spa kecantikan, maka cukai perkhidmatan pula yang akan dikenakan.

Maka di sini dapat dilihat bagaimana golongan wanita merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara, sama ada mereka yang berjimat cermat dengan sentiasa membuat perbandingan ketika hendak membeli sesuatu barangan atau mereka yang hanya gemar membeli-belah tanpa mengira berapa banyak dibelanjakan atau berapa banyak cukai dibayar.

Kuasa beli

Memandangkan golongan wanita mempunyai kuasa membeli yang besar, maka seharusnya juga mereka mengetahui bagaimana mereka boleh mendapatkan harga barangan yang lebih rendah jika skim cukai barangan sekarang diubah.

Penetapan harga barangan sudah tentu mengambil kira kos cukai yang terpaksa pengeluar tanggung seperti cukai jualan 10 peratus atau cukai perkhidmatan 6 peratus yang dikenakan dalam skim percukaian masa kini.

Apabila skim cukai baru diperkenalkan iaitu skim cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau VST (cukai nilai tambah) sekitar 4 peratus atau 5 peratus, sudah tentu ia akan disambut baik oleh golongan wanita kerana mereka dapat berbelanja lebih (kerana harga barangan lebih murah) dan menyumbang lebih (kerana pungutan cukai kerajaan meningkat).

Mereka juga tentu menyedari betapa pentingkan kutipan cukai untuk sesebuah kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan sama ada untuk pendidikan percuma di sekolah, pendidikan bersubsidi di institusi pengajian tinggi negara dan pusat-pusat didikan kanak-kanak.

Golongan tersebut juga tidak pernah terkecuali dalam agenda pembangunan negara, sama ada yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat secara khusus atau melalui pelbagai kementerian lain secara amnya.

Sebagai contoh, rancangan membina hospital khusus untuk wanita dan kanak-kanak, bantuan kepada ibu-ibu tunggal, pinjaman kredit mikro kepada wanita (dari TEKUN dan pelbagai agensi), pembangunan usahawan wanita dan sebagainya - sudah menjadi bukti cukup yang cukai dikutip oleh kerajaan telah dikembalikan untuk faedah bersama rakyat.

Peranan wanita dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara sememangnya tidak dapat dinafikan dan golongan tersebut seharusnya berasa bangga dengan sumbangan mereka yang boleh ditingkatkan lagi jika sama-sama menyokong usaha kerajaan memperkenalkan skim cukai baru GST.

Bagaimanapun, mereka seharusnya meningkatkan kefahaman mengenai ilmu percukaian baru itu dahulu bagi memudahkan mereka menerangkan kepada keluarga atau rakan-rakan mengenai kelebihan skim cukai baru itu, berbanding skim cukai kepada barangan dan perkhidmatan masa kini.

Bagi kerajaan pula, kutipan cukai akan membolehkan kerajaan terus membangunkan negara dan juga menjamin generasi masa depan agar hidup mereka sentiasa terbela dan mendapat segala kemudahan asas kehidupan dengan baik.

- KOSMO!

Makanan segera punca autisme?

SOALAN:

HARI ini saya mendengar banyak cerita mengatakan ramai ibu akan melahirkan kanak-kanak autisme akibat pemakanan yang tidak sihat seperti makanan segera. Benarkah perkara ini? Mohon doktor jelaskan dengan lanjut.

JAWAPAN:

Makanan yang tidak sihat atau makanan segera semasa hamil bukanlah punca utama kepada masalah autisme dalam kalangan kanak-kanak. Namun begitu, ia mungkin mempunyai sedikit assosiasi kepada masalah autisme. Oleh sebab itu, mungkin elok kita ketahui dengan lebih lanjut berkenaan autisme yang membawa maksud keadaan yang menyebabkan kanak-kanak menumpukan perhatian dalam dunianya sendiri.

Autisme adalah kategori ketidakupayaan yang dicirikan dengan gangguan dalam komunikasi, interaksi sosial, gangguan deria, pola bermain dan perilaku emosi. Gejala autisme mula kelihatan sebelum kanak-kanak berumur tiga tahun. Keadaan ini dialami di sepanjang kehidupan kanak-kanak itu. Kanak-kanak autisme sering menimbulkan kekeliruan bagi penjaganya kerana mereka kelihatan normal tetapi memaparkan tingkah laku dan pola perkembangan yang berbeza.

Pemahaman dan tanggapan yang salah terhadap keadaan kecacatan ini membawa kepada kelewatan perkembangan yang serius dalam semua bidang terutamanya dalam bidang kemahiran sosial dan komunikasi.

Kebanyakan kanak-kanak autisme juga mengalami terencat akal tetapi dalam pelbagai tahap. Dalam kemahiran koordinasi mata-tangan, sama ada mereka menghadapi masalah ataupun mereka lebih maju dalam aspek itu dan kemahiran lain. Mereka mungkin tidak dapat bertutur, hanya mengeluarkan bunyi-bunyi ataupun meniru apa yang diperkatakan orang lain. Mereka juga tidak suka disentuh, berhubung dengan orang lain ataupun mungkin selalu berpaut pada sesiapa sahaja.

Punca sebenar autisme tidak diketahui tetapi beberapa teori terakhir mengatakan faktor genetik memainkan peranan penting yang menyebabkan berlakunya keadaan austistik pada kanak-kanak. Selain itu pengaruh virus yang dihidapi oleh si ibu semasa hamil seperti rubella, toksoplasmosis, herpes, pemakanan yang tidak berzat, keracunan makanan, juga mempengaruhi pertumbuhan sel otak yang dapat menyebabkan fungsi otak bayi yang dikandung terganggu terutama dalam aspek fungsi pemahaman, komunikasi dan interaksi.

Pencernaan

Malah kini, turut dikenal pasti dalam punca berlakunya autistik adalah akibat pencernaan. Lebih daripada 60 peratus kanak-kanak autistik mempunyai sistem pencernaan yang kurang baik. Makanan seperti susu berasaskan haiwan dan tepung gandum tidak dapat dicernakan dengan baik dan ini menyebabkan protein daripada makanan ini tidak berubah menjadi asid amino ataupun pepton, iaitu bentuk rantaian yang mana akhirnya dibuang melalui kencing.

Kanak-kanak autisme kurang berinteraksi dengan rakan-rakan dan biasanya memaparkan tingkah laku yang negatif seperti menjerit ataupun merosakkan harta benda orang lain. Kebanyakan masalah yang timbul adalah akibat gangguan terhadap interaksi sosial yang normal. Masalah disiplin ketara bagi kanak-kanak kategori ini malah mereka kurang terpengaruh dengan puji-pujian ataupun peneguhan sosial yang lain.

Oleh sebab itu, janganlah puan gusar. Walaupun pemakanan bukanlah punca utama masalah ini, seseorang ibu yang ingin hamil sepatutnya sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hamil, semasa sedang hamil dan juga semasa dalam pantang.

Paling penting wanita hamil perlu mengambil asid folik yang dibekalkan doktor. Ini kerana terdapat banyak kajian menunjukkan kepentingan asid folik untuk perkembangan saraf dan otak bayi dalam kandungan. Namun begitu, ramai wanita tidak tahu penambahan pengambilan asid folik perlu dilakukan tiga bulan sebelum hamil.

- UTUSAN

Isnin, Ogos 27, 2012

Penjaga Gol Apek terlibat kemalangan di Bachok


KOTA BHARU - Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan ketika keluar dari simpang di Kampung Badak, Bachok dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Khairul Fahmi yang memandu kereta jenis Audi milik bapanya, Che Mat Hussain hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanan.

Khairul Fahmi ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam memberitahu, kemalangan tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas pulang beraya di rumah saudaranya di Bachok.

"Kemalangan tersebut berlaku ketika saya hendak keluar dari simpang dan berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua MyVi.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana terselamat dan ia tidak melibatkan kecederaan serius kepada diri saya," ujarnya.

- KOSMO!

Angkasawan Neil Armstrong Meninggal Dunia


WASHINGTON: Angkasawan Amerika Syarikat (AS), Neil Armstrong, manusia pertama yang menjejakkan kaki ke bulan meninggal dunia, lapor media AS pada Ahad.

Beliau berusia 82 tahun.

Armstrong menjalani pembedahan jantung awal bulan ini selepas doktor mendapati ada sekatan di pembuluh jantungnya.

Beliau dan rakan angkasawan yang menaiki Apollo 11, Buzz Aldrin mendarat di bulan pada 20 Julai 1969 yang mencatat satu sejarah hebat serta mendapat tontonan ratusan juta penduduk dunia.

Dilahirkan di Wapakoneta, Ohio pada 5 Ogos 1930, Armstrong mempunyai minat mendalam terhadap kapal terbang dan bekerja di sebuah lapangan terbang ketika remaja.

Beliau mengambil kursus penerbangan pada usia 15 tahun dan mendapat lesen juruterbang pada hari lahirnya yang ke-16.

Sebagai juruterbang AS, beliau melakukan 78 misi penerbangan pada Perang Korea.

Beliau mempelajari bidang Kejuruteraan Penerbangan di Universiti Purdue, Indiana dan menyambung pengajian dalam Sarjana Kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti Southern California.

Selepas berkhidmat sebagai juruterbang tentera laut pada 1949 hingga 1952, Armstrong menyertai agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pada 1955.

Beliau bertugas sebagai jurutera, juruterbang ujian, angkasawan dan pentadbir untuk NASA dalam tempoh 17 tahun.

Selepas bersara daripada NASA pada 1971, Armstrong menjadi tenaga pengajar dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa di Universiti of Cincinnati hampir 10 tahun.

Beliau turut dilantik sebagai lembaga pengarah di beberapa syarikat termasuk Lear Jet, United Airlines dan Marathon Oil.

- MSTAR

Tiada kopitiam di Terengganu milik sijil halal

KUALA TERENGGANU 26 Ogos - Tiada kopitiam di negeri ini yang memiliki sijil halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) setakat ini, kata Pesuruhjaya JHEAT Datuk Mohd Rozali Saleh.

Beliau bagaimanapun menjelaskan sijil halal tidak diwajibkan ke atas pengusaha kopitiam di negeri ini dan ia hanya sebagai satu aspek penambahbaikan terhadap operasi mereka.

"Kesedaran di kalangan pengusaha kopitiam masih rendah dan majoritinya memandang remeh mengenai kepentingan sijil halal. Kita tidak boleh memaksa pengusaha kopitiam untuk memohon sijil halal JHEAT kerana ia bukan wajib, cuma berharap mereka akan berusaha mendapatkannya sebagai satu aspek penambahbaikan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya JHEAT berharap agar orang ramai berhati-hati ketika memilih tempat untuk menjamu selera kerana hanya premis makanan yang menerima sijil halal JHEAT sahaja benar-benar mematuhi kriteria halal jabatan itu.

"Jika orang ramai menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna dengan "menggesa" pengusaha kopitiam mendapatkan sijil halal JHEAT, pasti ia akan memberi kesan terhadap operasi perniagaan mereka," katanya.

Sehingga kini, katanya hanya satu kopitiam di Kemaman sahaja telah memohon kepada JHEAT untuk sijil halal dan ia masih dalam proses penelitian.

- BERNAMA

Ibadah Syawal

Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR

BULAN Ramadan baru sahaja berlalu, saat ini kita telah memasuki bulan Syawal. Saya sangat merindukan keseronokan beribadat yang dilalui sepanjang di bulan Ramadan. Apakah amalan-amalan ibadah yang dianjurkan untuk kita lakukan pada bulan Syawal ini?

Pertama-tama, saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat di tanah air. Semoga Allah menerima semua amal ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan suci Ramadan. Kita meminta kepada Allah semoga mempertemukan kita kembali dengan Ramadan pada tahun-tahun hadapan.

Bulan Syawal memang masa untuk kita bergembira. Namun begitu, jarang yang menyedari bahawa bulan Syawal sebenarnya merupakan bulan kesinambungan ibadah-ibadah yang kita lakukan di bulan Ramadan.

Beribadah di bulan Syawal membuktikan bahawa tarbiyah Ramadan benar-benar berkesan di dalam diri kita. Benih-benih keimanan yang kita taburkan sepanjang bulan Ramadan seharusnya tumbuh dan mengeluarkan buahnya pada bulan ini.

Para ulama mengatakan bahawa beribadah di bulan Syawal merupakan pertanda ibadah Ramadan kita diterima oleh Allah SWT.

Berkata Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Lataif al-Ma'arif: "Apabila seseorang selesai daripada satu amalan ibadah, maka tanda ibadah itu diterima oleh Allah adalah ia menyambungnya dengan ibadah yang baru. Dan tanda ibadah itu tertolak adalah ia menyambung ibadah itu dengan amalan maksiat."

Justeru, beberapa amalan ibadah sangat dianjurkan untuk kita laksanakan pada bulan ini. Semuanya merupakan kelanjutan amalan kita di bulan Ramadan.

Yang pertama ialah puasa sunat enam hari. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian ia melanjutkannya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olahnya dia telah berpuasa setahun penuh. (riwayat Muslim)

Itu kerana setiap amalan ibadah akan dibalas dengan 10 kali ganda. Tiga puluh hari kita berpuasa, pahalanya seperti 300 hari. Jika ibadah ini diikuti dengan enam hari berpuasa setelahnya, maka seakan-akan kita telah berpuasa 360 hari. Dan itulah bilangan hari-hari dalam satu tahun.

Puasa Syawal ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja selagi kita masih berada di bulan Syawal. Asalkan sahaja kita tidak melakukannya pada Hari Raya Aidilfitri itu sendiri. Puasa ini boleh dilakukan berturut-turut, boleh juga terpisah-pisah. Semuanya terpulang kepada kemampuan kita.

Antara fungsi puasa sunat ini adalah menutupi kekurangan yang mungkin terdapat dalam puasa Ramadan kita seperti mengumpat atau berdusta tanpa disedari. Puasa enam di bulan Syawal dapat menutupi kekurangan-kekurangan tersebut sehingga ibadah Ramadan kita menjadi sempurna di sisi Allah SWT.

Selain itu, melanjutkan bacaan al-Quran yang kita baca pada bulan Ramadan. Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: seseorang bertanya kepada Nabi Saw: "Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah?"

Baginda menjawab: "Orang yang segera berangkat setelah tiba. Yakni orang yang membaca al-Quran dari awal hingga ke akhir. Apabila ia tiba di akhirnya, ia memulai bacaan kembali dari awalnya."

Al-Quran bukan untuk dibaca hanya di bulan Ramadan sahaja, malah ia mesti dibaca di bulan-bulan yang lain juga.

Terbukti sesiapa yang melanjutkan bacaan al-Qurannya di bulan Syawal, insya Allah ia akan dapat beristiqamah untuk terus membacanya ke bulan-bulan yang lain.

Namun sesiapa yang tidak lagi membaca al-Quran apabila Syawal menjelang, maka biasanya orang ini tidak akan berjumpa lagi dengan al-Quran hingga ke bulan Ramadan di tahun hadapan.

- UTUSAN

Awas! Pedofilia Penjenayah Kanak-Kanak

LANGKAH Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempromosikan sikap peduli masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai membanteras jenayah seksual kanak-kanak amatlah dipuji.

Statistik menunjukkan pihak PDRM menerima 124 laporan berhubung jenayah tersebut dari 2009 hingga 2012 dan angka ini dijangkakan lebih tinggi kerana ada kes yang tidak dilaporkan.

Penjenayah seksual kanak-kanak juga dipanggil pedofilia. Pedofilia adalah sejenis penyakit mental, kebanyakannya melibatkan lelaki dewasa yang mempunyai kecelaruan seksual terhadap kanak-kanak.

Golongan ini selalu berfantasi atau mencari peluang untuk membuat hubungan seksual dengan kanak-kanak.

Mangsa biasanya berumur di bawah 14 tahun dan tidak mengira lelaki atau perempuan.

Ini kerana selepas umur tersebut mangsa telah matang, boleh menilai baik buruk dan biasanya bertindak meninggalkan penjenayah terbabit.

Penjenayah pedofilia suka berkeliaran di tempat yang mempunyai ramai kanak-kanak. Ada yang membawa telefon bimbit berkamera ke taman-taman permainan awam untuk merakam video atau mengambil gambar kanak-kanak.

Ada juga yang bekerja di kedai permainan elektronik atau sekolah semata-mata untuk mendapatkan akses mudah mendampingi mereka.

Kanak-kanak lelaki yang ponteng sekolah juga turut menjadi mangsa kerana mereka tidak dikawal oleh ibu bapa.

Mereka biasanya diumpan dengan wang ringgit atau hadiah yang menggoda sebagai ganti kepada habuan homoseksual.

Mereka gemar menyimpan koleksi gambar pelakon iklan sabun mandi kanak-kanak untuk berfantasi.

Bagi penjenayah profesional pula, mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam menggoda mangsa menggunakan ‘akaun rangkaian sosial’ seperti facebook.

Ada yang mengatakan mereka ini tidak akan berhenti selagi tidak ditangkap kerana membunuh kanak-kanak tersebut.

Dianggarkan lebih kurang 500,000 penjenayah pedofilia berdaftar di Amerika Syarikat.

Ibu bapa di sana boleh menyemak laman web untuk memastikan jika ada di antara mereka tinggal di kejiranan masing-masing bagi memudahkan pemantauan keselamatan anak-anak.

- UTUSAN

Kerajaan akan perkenal NBOS 7

Kerajaan akan memperkenalkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan 7 (NBOS 7) iaitu inisiatif menghubungkan antara Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) supaya melaluinya produk makanan dan hasil pertanian boleh dibawa ke bandar secara berskala besar.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata matlamat strategi itu adalah untuk melakukan transformasi masyarakat di kedua-dua kawasan selain menjadikan wilayah luar bandar sebagai pusat ekonomi, sekali gus mengelakkan perpindahan komunitinya ke bandar.

"Dengan gabungan ini, produk luar bandar akan pergi ke bandar terutama dalam konteks produk makanan dan hasil pertanian. (Sekarang) kita dapati produk luar bandar yang pergi ke bandar peratusannya tidak tinggi seperti kebanyakan negara lain kerana ada kekangan di situ, akhirnya kita terpaksa import barangan dan hasil pertanian luar negara yang harganya tinggi," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pemasangan jambatan bailey Kampung Razak-Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 3, Gugusan Manjoi di Ipoh.

Beliau berkata inisiatif itu turut berupaya mengelakkan perpindahan masyarakat luar bandar ke bandar yang boleh mewujudkan masalah lain di kawasan bandar apabila tidak mendapat pekerjaan dan berpendapatan rendah.

Strategi itu akan diperkenalkan kerajaan bagi melakukan evolusi dan meningkatkan kapasiti kawasan luar bandar supaya gabungan kekuatan luar bandar serta bandar dapat dipadukan bagi membina negara maju berpendapatan tinggi serta rakyat turut mencapai indeks kebahagiaan tinggi, katanya.

Katanya dalam strategi transformasi negara, kerajaan mempunyai dua inisiatif besar iaitu melalui program transformasi kerajaan (GTP), transformasi politik, program transformasi luar bandar dan program transformasi ekonomi (ETP) serta satu lagi inisiatif di bawah NBOS.

Di bawah rangka NBOS katanya kerajaan telah wujudkan UTC dan RTC yang akan memacu negara bukan hanya semata-mata mahu mencapai matlamat berpendapatan tinggi malah mahu mencapai indeks kebahagiaan tinggi seperti yang dicatat di Switzerland.
"Jadi apa yang kita mahu capai adalah pendapatan tinggi dan indeks kebahagiaan tinggi. Berbezanya kita daripada negara lain (yang telah capai indeks kebahagiaan tinggi) adalah mereka mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat.

Apabila kita mencapai itu nanti kita tidak akan tinggikan cukai seperti negara berkenaan," katanya.

Pada 7 Ogos lalu, Perdana Menteri melancarkan kad '1Malaysia Privilege Card' di bawah inisiatif NBOS 6 untuk 241,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia menikmati diskaun dalam pelbagai perbelanjaan barangan seperti keperluan harian, alat sukan, alat ganti kenderaan, perhotelan dan barangan kesihatan.

Inisiatif di bawah NBOS 6 adalah berkisar kepada kerjasama unik antara pelbagai jabatan serta agensi kerajaan yang diperkenalkan Malaysia, khusus untuk manfaat rakyat dan negara.

- BERNAMA

Wanita Malaysia paling ramai curang

Wanita Malaysia adalah yang ketiga paling ramai curang di dunia, menurut akhbar laman berita GhanaWeb kelmarin yang memetik laporan akhbar China Press.

Penemuan mengejutkan itu dibuat berdasarkan satu kaji selidik yang mendapati 39 peratus wanita Malaysia mengaku mencurangi pasangan mereka.

Senarai tersebut diungguli oleh Ghana apabila 62 peratus wanitanya mengaku curang diikuti oleh Thailand sebanyak 59 peratus.

Wanita Rusia pula dianggap keempat paling curang di dunia dengan angka 33 peratus diikuti Singapura di tempat kelima dengan 19 peratus.

Kaji selidik sama turut mendapati pasangan di Thailand adalah paling curang di dunia dengan 54 peratus manakala Korea Selatan berada di tempat kedua apabila 34 peratus rakyatnya dilaporkan bermain kayu tiga.

- KOSMO!

1,138 calon guru ikuti KPLSPM Jun 2012

Seramai 1,138 calon guru ditawarkan mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) Ambilan Jun 2012.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 314 calon guru merupakan Melayu atau bumiputera, 542 (Cina), 270 (India) dan 12 (lain-lain).

Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran dalam kenyataan berkata, setiap calon yang ditawarkan telah pun mendaftar di Institut Pendidikan Guru pada 25 Jun lalu.

Unjuran pengambilan guru bagi program tersebut berdasarkan keperluan yang dikeluarkan secara rasmi oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) bagi memenuhi 1,190 guru di sekolah rendah pada 2018.

Seramai 390 calon guru diperlukan di sekolah kebangsaan, 510 (sekolah jenis kebangsaan Cina) dan 290 (sekolah jenis kebangsaan Tamil).

- UTUSAN

Teh hijau bantu cegah barah kulit

Kajian dapati pati minuman mampu hapus ketumbuhan

Edinburgh: Kalangan saintis berharap sejenis ubat berasaskan teh hijau yang berkesan untuk mencegah barah kulit akan dapat dihasilkan selepas kajian mendapati pekatan minuman itu boleh menghapuskan hampir separuh daripada ketumbuhan penyakit berkenaan.
Pensyarah kanan Institut Farmasi dan Sains Bioperubatan Strathclyde, Dr Christine Dufes berkata satu kajian makmal yang dijalankan sepasukan penyelidik di Universiti of Strathclyde, mendapati 40 peratus tumor barah kulit dapat dihapuskan menggunakan bahan dalam teh hijau dikenali epigallocatechin gallate.

Beliau berkata, sejak sekian lama, teh hijau dipercayai mempunyai bahan mencegah barah dan kajian ke atas pekatannya pernah dibuat sebelum ini. Bagaimanapun ini kali pertama penyelidik berjaya menggunakannya untuk mengecutkan tumor barah kulit.

Sebelum ini gagal

Beberapa percubaan sebelum ini menemui kegagalan kerana saintis menggunakan kaedah titisan dapat tidak memperoleh cukup pekatan untuk menghapuskan tumor terbabit.

“Berikutan itu pasukan penyelidik mewujudkan kaedah menyasarkan protin tubuh yang membawa molekul zat besi ke bahagian kulit yang dijangkiti barah,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan jurnal Nanomedicine.
Beliau berkata ujian makmal yang dijalankan ke atas sejenis barah kulit manusia menunjukkan 40 peratus ketumbuhan hilang selepas rawatan selama sebulan, manakala 30 peratus lagi mengecut.

Kurangkan saiz tumor

Dr Dufes berkata kaedah yang digunakan menunjukkan ekstrak teh hijau mengurangkan saiz kebanyakan tumor setiap hari dan dalam beberapa kes berjaya menghapuskannya.

“Keputusan yang diperoleh amat memberangsangkan dan kami berharap ia akan membuka jalan kepada kaedah rawatan baru barah yang lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata apabila kaedah titisan digunakan ekstrak teh hijau mengalir ke seluruh tubuh dan apabila sampai kepada tumor ia sudah bercampur dengan bahan kimia lain dan menjadi terlalu cair.

“Dengan menyasarkan sistem penghantaran dalam tubuh, ekstrak itu mengalir terus kepada tumor tanpa menjejjaskan tisu normal yang lain,” katanya.

- Agensi

Canon Ixus - Kamera untuk kaki upload


KAMU malas mahu mencari wayar tiap kali ingin memindahkan gambar dan video dari kamera.

Bagi penggemar fotografi atau juga mereka yang suka mengambil gambar, memindahkan gambar merupakan salah satu kerja yang mengambil masa yang lama serta leceh.

Ada yang menggunakan pembaca kad memori dan ada juga yang menggunakan kabel pindahan data.

Namun kini, masalah itu telah selesai dengan pengenalan kamera kompak baru daripada Canon yang menggunakan ciri WiFi.

Ia bukan sahaja dapat melakukan pemindahan data tanpa wayar bahkan juga dapat melakukan perkongsian dengan laman sosial yang kamu suka dengan telefon pintar.

Ia didatangkan dengan dua model iaitu IXUS 510 HS dan juga IXUS 240 dengan masing-masing dengan harga runcit RM1299.00 dan RM999.00.

Jadi apa tunggu lagi, tambahan kepada mereka yang suka bergambar dan memuat turun di laman sosial. Ini adalah senjata kamu.

Mari kita lihat spefikasi kedua-dua kamera ini.

IXUS 240 HS

16.1 megapixels CMOS sensor

Wi-Fi

Skrin sentuh LCD 3.2 inci

Pemprosesan pengambaran DIGIC 5

Fungsi rakaman video

58 Rakaman Pintar Automatik & pengenal wajah.

5x optical zoom

Shutter Speed Range 15 - 1/2000sec

IXUS 510 HS

10.1 megapixels dengan sensor sensitiviti tinggi CMOS

12x fungsi optical zoom

Wi-Fi

Skrin sentuh LCD 3.2 inci

Pemprosesan pengambaran DIGIC 5

Kelajuan shutter 15 - 1/4000sec

- UTUSAN

Memahami hak dalam Perlembagaan

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

SETIAP kali menjelang pilihan raya umum di negara ini, pelbagai tuntutan dikemukakan kepada kerajaan oleh kaum minoriti melalui parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka, termasuk yang paling lantang, Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong).

Sebagai contoh, Dong Zong menuntut hak mendirikan sekolah menengah dan kolej menggunakan bahasa ibunda mereka atau independent high school setelah gagal dalam tuntutan untuk mendirikan sebuah universiti menggunakan bahasa pengantar Mandarin beberapa tahun lalu.

Kegagalan tuntutan mereka menubuhkan sebuah universiti sedemikian adalah disebabkan ciri institusi berkenaan bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan, seperti yang diputuskan mahkamah.

Namun, sebuah independent high school telah dibenarkan didirikan di Kuantan, Pahang baru-baru ini setelah MCA juga menyokong tuntutan Dong Zong dengan alasan sekolah Cina sedemikian telah wujud di Kuala Lumpur.

"Dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, kaum minoriti menuntut beberapa kemudahan daripada Kerajaan Negeri Sarawak dan sebahagian tuntutan mereka dipenuhi sebelum pilihan raya berkenaan.

"Namun mereka memberikan undi mereka kepada DAP, bukan kepada parti-parti politik yang menyertai kerajaan Sarawak," jelas Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ibrahim Abu Bakar.

Katanya, kaum-kaum minoriti mengemukakan pelbagai tuntutan kepada kerajaan dalam konteks transformasi.

Antaranya, kaum India mengemukakan tuntutan berikut:

n Ditambahkan kouta pengambilan para pelajar India di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

n Ditambah kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada para pelajar India untuk belajar di Malaysia dan di luar Malaysia.

n Ditambah kouta kakitangan India dalam perkhidmatan awam di Malaysia.

n Dibantu dan diberikan peruntukan untuk para peniaga kecil dan sederhana India berniaga di bandar-bandar di Malaysia.

Berdasarkan sistem demokrasi, jelasnya, setiap rakyat Malaysia berhak mendapat haknya sama ada dia berada dalam kalangan kaum minoriti atau kaum majoriti dan hak tersebut telah ditulis dalam Perlembagaan yang dipersetujui oleh pemimpin Melayu, Cina dan India pada zaman sebelum kemerdekaan dan zaman awal kemerdekaan.

"Apa yang mereka setujui dirakamkan dalam Perlembagaan. Mereka layak mendapat hak yang dituliskan dalam perlembagaan itu seperti hak beragama, hak pendidikan agama masing-masing dan hak mendapat pekerjaan pilihan mereka berdasarkan kelulusan dan kehendak mereka,'' jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, kini, kaum minoriti mahu mendapatkan hak-hak yang ditulis dalam Perlembagaan Malaysia sebagai hak kaum majoriti.

''Mereka perlu sedar dan terima hak-hak yang ditulis dalam Perlembagaan sebagai contoh Askar Melayu Diraja adalah hak kaum Melayu kecuali ia dibubarkan dan nama itu tidak lagi digunakan walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan.

"Tanah Rizab Melayu untuk kaum Melayu, bukan untuk kaum Cina dan India. Kalau semua hak kaum Melayu dituntut oleh kaum India dan Cina dan pemimpin Melayu setuju dengan tuntutan sedemikian, maka apa yang tertulis dalam Perlembagaan hanyalah satu sejarah silam di mana Kerajaan Melayu Melaka jatuh dan hilang selepas ditawan Portugis," tegasnya.

Menurutnya, para pemimpin Malaysia berbangsa Melayu, Cina dan India perlu memahami hak-hak masing-masing seperti yang ditulis dalam Perlembagaan bagi menjamin rakyat kaum majoriti tidak terhapus atau terkurang oleh tuntutan kaum minoriti dalam membina negara Malaysia yang maju, aman dan makmur.

Mengulas perkara sama, Pengerusi Biro Politik dan Governans Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, tindakan Dong Zong mempolitikkan isu pendidikan Cina demi kepentingan diri mereka dan pembangkang sepatutnya dihentikan serta-merta kerana ia umpama duri dalam daging dalam usaha perpaduan nasional.

Kata beliau, rakyat Malaysia dan kerajaan sepatutnya tidak mengendahkan tuntutan melampau mereka kerana ia bertentangan dengan kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum sebelum kemerdekaan.

"Dong Zong cuba melahirkan suasana atau persepsi seolah-olah pendidikan kaum Cina dianaktirikan oleh kerajaan sedia ada. Mereka mahu pihak lain melihat bahawa perkara asas seperti pendidikan pun disekat oleh kerajaan yang didominasi orang Melayu.

"Kelakuan sebegini perlu ditangani tegas oleh semua pihak bukan sahaja kerajaan agar integrasi kaum di negara ini bertambah subur. Rakyat Malaysia harus mengutuk pihak yang mempergunakan isu pendidikan dalam membantu pembangkang mendapat undi pada pilihan raya akan datang.

"Sekolah swasta bebas yang ditubuhkan itu akan menjalankan dua peperiksaan besar iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Unified Examination Certificate (UEC). Ini secara jelas menyimpang daripada dasar pelajaran negara," katanya.

Jelas Mohd. Hilmi, sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri, sudah menjadi kewajipan mereka untuk mengangkat sistem pendidikan kebangsaan negara bagi memperkukuh identiti kenegaraan seperti yang dilakukan di Indonesia, Thailand dan Jepun.

Namun jelas beliau, tindakan berbaur politik dan perkauman sempit oleh Dong Zong telah menyimpang jauh daripada agenda penyatuan bangsa Malaysia dan ia hanya akan menyebabkan jalinan kaum di negara ini bertambah renggang serta semangat patriotisme kian pudar dalam kalangan rakyat.

"Mungkin terdapat dalam kalangan rakyat negara ini yang menyangka penubuhan sekolah sendiri berteraskan kaum selari peredaran masa, namun adakah kita sanggup mengorbankan agenda kebangsaan demi memperjuangkan kaum masing-masing," katanya.

- UTUSAN

Puasa Sunat Enam

SOALAN:

Saya ada beberapa soalan mengenai puasa pada Syawal. Adakah berdosa sekiranya tidak melakukan puasa enam berkenaan disebabkan sakit atau sesuatu sebab? Adakah puasa enam mesti dilakukan berturut-turut? Bagaimana sekiranya dilakukan penghujung Syawal disebabkan banyak jemputan hari raya? Soalan lain iaitu bagaimana untuk saya menjadi wanita yang bahagia dunia dan akhirat?

JAWAPAN:

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun.

Hadis ini jelas menerangkan mengenai puasa enam hari pada Syawal selepas menempuh sebulan Ramadan. Hukum puasa enam hari pada Syawal adalah sunat.

Sunat bermaksud mendapat pahala sekiranya mengerjakannya dan tidak berdosa sekiranya meninggalkannya. Oleh itu tidaklah berdosa jika tidak melakukan puasa enam hari pada Syawal.

Seterusnya, Imam an-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu Syarah al-Muhazzab bahawa dalam mazhab as-Syafii disunatkan berpuasa enam hari Syawal kerana ia ada disebutkan di dalam hadis. Mereka berpendapat, sunat berpuasa secara berturut-turut.

Tetapi jika seseorang melambatkannya, ini dibolehkan kerana ia masih mengikut garis panduan hadis. Kami tidak pertikaikan pandangan ini, malah ia juga adalah pandangan Ahmad dan Daud.
Bukan syarat

Oleh itu, bukanlah suatu syarat untuk melakukan puasa enam hari pada Syawal secara berturut-turut. Sekiranya puasa berkenaan dilaksanakan secara berasingan, maka perkara itu dibolehkan.

Sekiranya dapat dilakukan dengan segera tanpa melengah-lengahkan, maka perkara itu adalah lebih baik.

Allah SWT berfirman dalam beberapa ayat antaranya dalam surah Ali Imran ayat 133 (yang bermaksud): Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan-mu.. Begitu juga dalam surah al-Maaidah ayat 48 (yang bermaksud): Maka berlumba-lumbalah membuat kebajikan..

Justeru, kita seharusnya menyegerakan puasa enam kerana dibimbangi sekiranya kita melengah-lengahkan akan menyebabkan kita terlupa atau boleh membawa pelbagai masalah.

Namun tidaklah menjadi kesalahan jika dibuat pertengahan bulan atau akhir bulan. Ini adalah pandangan Imam Syafii dan Hambali.

Laksana kewajipan agama

Untuk soalan seterusnya, saya ingin memberi beberapa nasihat kepada Puan mengenai perkara yang membawa kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Antaranya, hendaklah melaksanakan kewajipan agama.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bazaar, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Jika seseorang wanita solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga.

Kedua, hendaklah mentaati suami. Hal ini disebut dalam banyak hadis, antaranya hadis riwayat at-Tabarani, daripada Abdullah bin Salam bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menyenangkanmu jika kamu melihatnya, mentaatimu jika kau menyuruhnya dan dapat menjaga dirinya dan hartamu ketika engkau tidak bersamanya.

Ketiga, selalu mengingati Allah. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Hendaklah kamu (para wanita) memperbanyak membaca tasbih, tahlil, taqdis dan hitunglah dengan ruas jari-jari kerana sesungguhnya mereka akan ditanya dan akan dijadikannya boleh berbicara. Janganlah kamu lalai sehingga melupakan rahmat Allah.

Keempat, solat malam. Dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a dan Abu Said r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesiapa yang bangun tengah malam, kemudian membangunkan isterinya, lalu mereka melakukan solat berjemaah dua rakaat, maka mereka akan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang banyak mengingati Allah.

Kelima, berbuat baik dan banyak bersedekah. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Wahai semua wanita, bersedekahlah walaupun dari perhiasan kamu sekalian. Sesungguhnya kamu kelak paling banyak menjadi penghuni neraka. Demikianlah, wallahualam.

- BERITA HARIAN

Ahad, Ogos 26, 2012

Samsung diarah bayar Apple RM3.2b

SAN JOSE, California 25 Ogos - Selepas setahun melalui proses perbicaraan, para juri di sini semalam memutuskan bahawa syarikat teknologi Korea Selatan, Samsung mengambil teknologi inovatif yang digunakan Apple bagi membuat revolusi iPhone and iPad keluaran syarikat berkenaan.

Para juri mengarahkan Samsung untuk membayar kepada Apple sejumlah AS$1.05 bilion (RM3.2 bilion).

Bagaimanapun, Samsung akan membuat rayuan berhubung keputusan itu.

Apple Inc. memfailkan tuntutan mahkamah berhubung pelanggaran paten pada April tahun lalu dan menuntut gantirugi tertinggi sebanyak AS$2.5 bilion (RM7.75 bilion) daripada pesaingnya itu.

Samsung Electronics Co. bagaimanapun bertindak menyaman semula Apple dan menuntut ganti rugi sebanyak AS$399 juta (RM1.2 bilion).

Keputusan itu bagaimanapun memihak kepada Apple setelah juri menolak semua tuntutan Samsung ke atas Apple.

Juri juga pada masa yang sama menolak tuntutan Apple membabitkan kira-kira dua dozen peralatan Samsung serta menolak tuntutan ganti rugi AS$2.5 bilion sebagaimana yang diminta Apple.

Bagaimanapun, juri mendapati, beberapa produk Samsung telah secara tidak sah menggunakan ciptaan Apple seperti kebolehan membesarkan saiz teks dengan menggunakan jari.

Sebahagian daripada tuntutan mahkamah juga, Apple menuntut Samsung menarik balik telefon bimbit dan komputer tablet popular syarikat Korea itu daripada pasaran AS.

Hakim dijangka membuat keputusan berhubung perkara itu tidak lama lagi.

Sementara itu, semasa menutup hujah perbicaraannya, peguam Apple, Harold McElhinny mendakwa Samsung 'mempunyai krisis reka bentuk' selepas pelancaran iPhone pada 2007 manakala eksekutif Samsung secara tidak sah membuat keuntungan daripada kejayaan gajet itu.

Peguam Samsung membalas hujah itu dengan mendakwa mereka boleh menunaikan kemahuan pengguna dengan menghasilkan skrin besar pada telefon pintar mereka.

Katanya, Samsung tidak melanggar sebarang paten Apple dan seterusnya mendakwa inovasi syarikat Amerika itu sebenarnya dicipta syarikat lain.

- AGENSI

Majlis perkahwinan Ustaz Don


BALIK PULAU 25 Ogos - Hampir 3,000 tetamu hadir memeriahkan majlis perkahwinan penceramah agama popular, Don Daniyal Don Biyajid atau Ustaz Don, di sini hari ini.

Don Daniyal, 28, selamat diijabkabul bersama pasangan, Husna Mohd. Zahry, 24, di rumah keluarga pengantin perempuan di Taman Jelita, Kuala Sungai Pinang selepas solat asar semalam.

Menurut Ustaz Don, beliau berharap agar perkahwinannya itu akan melengkapkan imannya dan keenam-enam rukunnya.

"Alam perkahwinan yang telah saya lalui ini ibarat melengkapkan iman dan bersyukur kerana segalanya berjalan lancar.

"Begitupun saya tidak memikirkan lagi lokasi berbulan madu dan berapa anak yang diinginkan," katanya.

Sementara itu, Husna yang masih menuntut dalam bidang perubatan di Universiti Kaherah, Mesir berkata, beliau bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan Ustaz Don yang disifatkannya sebagai seorang yang baik.

Ustaz Don terkenal menerusi rancangan 30 minit Bersama Ustaz Don di TV Al-Hijrah serta video ceramahnya yang dimuatkan di laman perkongsian YouTube telah ditonton oleh ratusan ribu pelayar internet.

Majlis persandingan pihak lelaki dijangka diadakan 1 September ini di Dewan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Ustaz Don bertunang dengan Husna pada 6 Mac tahun lalu.

- UTUSAN

Rabu, Ogos 22, 2012

Kawal pemakanan ketika beraya

SYURGA makanan." Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba 1 Syawal. Selagi tidak penuh makanan di meja, seperti tidak lengkap menu di pagi raya.

Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman disediakan untuk hidangan keluarga di pagi raya.

Ada yang bertanya, "cukup tak makanan kita hari ni?" Ada pula yang berkata, "tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk."

Selepas tiga hari menyambut Aidilfitri, timbul pula persoalan. Adakah berat badan akan bertambah atau kenapa badan semakin letih? Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Syawal.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui, badan kita baru sahaja melalui proses detox secara semula jadi sepanjang Ramadan. Sekiranya, amalan pemakanan kita bertukar, ada kemungkinan badan tidak dapat melakukan proses detox dengan baik.

Apa itu detox?Menurut Pakar Diet, Nurul Husna Abdul Karim dari Hospital Pakar DEMC Shah Alam, Selangor, amalan puasa dapat membantu individu mengawal pemakanannya. Sebaliknya, ramai yang terlupa amalan ini perlu diteruskan sepanjang Syawal.

"Detox adalah proses penyingkiran bahan toksik atau buangan dari sistem tubuh badan. Ramai mengandaikan detox boleh dilakukan dengan kaedah luaran sahaja seperti mengambil jus detox, teh herba, sauna dan lain-lain.

"Sebenarnya badan sendiri mempunyai sistem detox semula jadi iaitu organ hati, usus dan ginjal. Apabila kita berpuasa, badan akan melakukan detox secara semula jadi.

Apabila tiba Aidilfitri, kita mungkin tidak berjaya melakukannya secara semula jadi kerana faktor hidangan makanan yang pelbagai. Justeru, saya menyarankan umat Islam melakukan diet detox di bulan ini," katanya.

Secara ringkasnya pembuangan toksin dan nyah toksin menerangkan tentang proses penyingkiran toksin dari dalam tubuh badan.

"Manusia memilih untuk melakukan detox untuk memastikan sistem penghadaman usus bekerja dengan sepatutnya, memastikan kulit bersih dan segar serta memastikan sistem buah pinggang dan hati berjalan lancar.

"Apabila semua organ penyingkiran toksin ini berjalan dengan sepatutnya barulah tubuh kita boleh mengeluarkan toksin secara berkesan dan maksimum," jelasnya.

Menambah lanjut, menurutnya, pembuangan toksin amat penting bagi memastikan kesihatan tubuh badan. Tubuh badan mestilah menjalani pembuangan toksin setiap hari atau seseorang itu mungkin berhadapan dengan risiko penyakit

Tambah Nurul, diet detox tidak perlu dilakukan dalam tempoh yang panjang kerana ia memadai dilakukan dua hingga tiga hari sahaja sama seperti amalan puasa enam.

"Sebenarnya proses pembuangan toksin adalah lebih mudah sekiranya kita mengamalkan pemakanan sihat dengan mengambil makanan berserat tinggi, diet organik semula jadi dan menjalani kehidupan secara natural," katanya.

Siapa yang perlukan diet detox?Mereka yang kerap berasa letih akibat tekanan kerja, tidak menjaga pemakanan (kerap makan makanan segera atau proses), kerap sakit seperti selesema atau demam perlu mengamalkan diet detox.

"Selain itu, mereka yang mengalami masalah penghadaman atau sering sakit kepala juga perlu melakukannya. Namun, orang ramai perlu tahu bahawa amalan ini bukan untuk rawatan atau menyembuhkan penyakit. Ia bertujuan meningkatkan kecekapan organ detox badan. Sementara itu, golongan berpenyakit kronik, ibu mengandung atau ibu menyusu tidak sesuai melakukan diet detox," ujarnya.

Tempoh masaTambah Nurul, bagi merangsang, meningkatkan aktiviti dan kecekapan organ detox, diet ini boleh dilakukan dua hingga tiga hari berturut-turut.

"Ia bukan untuk jangka masa panjang. Bagi mereka yang berminat melakukan diet ini, tiga prinsip utama perlu diamalkan iaitu pertama, buah-buahan dan sayur-sayuran (kaya dengan fitokimia dan vitamin C). Kedua, kita mengamalkan produk bijiran seperti fosforus dan laksatif. Prinsip yang terakhir sayur-sayuran hijau termasuk brokoli, kubis, kubis bunga, kubis daun, kubis brussels termasuk sulfur baik untuk detox hati," ujarnya.

Persediaan diet detox perlu dilakukan satu hingga dua minggu sebelum melakukan diet detox. Selain itu, walaupun hidangan Syawal mungkin menguji kesabaran selera anda, Nurul menasihatkan orang ramai mengurangkan pengambilan kafein, gula dan makanan karbohidrat.

Anda juga tidak digalakkan mengambil makanan berminyak dan berlemak selain makanan segera atau proses. Hanya satu benda digalakkan mengambil secara berlebihan iaitu air!

- MINGGUAN MALAYSIA

Rabu, Ogos 15, 2012

U MOBILE RAYA - ERATKAN LAGI



U MOBILE ERATKAN LAGI

Hari Raya Aidilfitri adalah hari di mana semua umat Islam menyambut hari kemenangan sebulan berpuasa dengan orang tersayang. U Mobile menjalankan kempen khas sempena Aidilfitri iaitu kempen Eratkan Lagi untuk menyambung perhubungan silaturahim dengan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai.

Istimewanya Raya tahun ini, U Mobile melancarkan laman web: http://www.ueratkanlagi.my yang membawakan pelbagai Webisode (drama pendek) yang cukup menyentuh perasaan dan memberi pengajaran berguna buat semua. Webisode U Mobile Eratkan Lagi ini bermula dengan episod pertama iaitu kisah Alif yang setelah sekian lama tidak pulang ke kampung untuk berjumpa pak ciknya. Hubungan mereka telah terjejas akibat pergaduhan yang berlaku.

Webisode kedua pula berkenaan Abang Long kepada Fauziah yang sudah lama tidak berhubung dan bertanya khabar. Sementara webisode ketiga mengisahkan Fauziah iaitu ibu kepada Shima yang cuba menghubungi anak perempuannya yang merajuk dan sudah lama tidak bertemu. Kesemua webisode ini saling berkait dan berkisar tentang perhubungan kekeluargaan yang cuba dihubungkan kembali dengan teknologi. Anda pasti tidak rugi menonton webisode-webisode ini.

Tercapaikah hasrat kesemua ahli keluarga tersebut untuk bertemu kembali dan menyambung semula tali kekeluargaan yang terputus di hari raya yang mulia ini? Jangan lupa untuk menonton perjalanan cerita drama pendek tersebut di laman web U Eratkan Lagi : http://www.ueratkanlagi.my. Ada kejutan menanti anda.

Di samping itu, U Mobile Eratkan Lagi juga mempunyai Aplikasi Eratkan Lagi yang membolehkan anda menghantar teks, pesanan suara dan juga video kepada yang tersayang dengan cara yang istimewa. Cara mudah, cepat dan berkesan untuk berhubung!

Ucapan Hari Raya tahun ini pasti lebih bermakna dan menyentuh perasaan dengan U Mobile Eratkan Lagi. Gembirakan orang tersayang dengan U Mobile di: http://www.ueratkanlagi.my .

Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan kepada semua. Teruskan mengunjungi U Mobile Eratkan Lagi untuk melihat sesuatu yang istimewa. Anda pasti tidak kecewa. Dibawakan khas sempena Hari Raya Aidilfitri oleh U Mobile. U Mobile... Mengeratkan lagi perhubungan.


PTPTN Tawar RM100,000 Bagi Hadiah Pertama Peraduan Simpanan Bonanza SSPN-i

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan wang tunai bernilai RM100,000 bagi hadiah pertama Peraduan Simpanan Bonanza Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Wang tunai tersebut akan dikreditkan terus ke akaun SSPN-i pendeposit bertuah sebagai penambahan deposit dan ianya boleh digunakan untuk tujuan pendidikan tinggi pada masa hadapan, kata PTPTN dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

PTPTN berkata peraduan yang dianjurkan bagi mempromosi serta menggalakkan penabungan SSPN-i itu terbuka kepada semua pendeposit sama ada yang membuka akaun baharu mahupun yang membuat penambahan deposit SSPN-i melalui Bank Islam sekurang-kurangnya RM100 sepanjang tempoh promosi.

"Peraduan juga terbahagi kepada dua siri promosi iaitu siri pertama bermula dari 23 Jun hingga 22 September depan manakala siri kedua dari 23 September hingga 23 Disember ini.

"Tarikh cabutan bagi siri pertama pula adalah pada 1 Oktober sementara cabutan bagi siri kedua akan diadakan pada 31 Disember tahun ini," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun bagi melayakkan pendeposit menyertai paraduan ini, mereka dikehendaki mengekalkan deposit untuk tempoh 30 hari sehingga tarikh akhir setiap siri cabutan.

Kenyataan juga menyebut pendeposit bertuah di tempat kedua pula akan memenangi wang tunai bernilai RM10,000 manakala bagi tempat ketiga seramai 20 pendeposit akan dipilih untuk menerima RM1,000 setiap seorang.

Maklumat lanjut peraduan simpanan bonanza boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

- BERNAMA

Legenda Badminton Punch Gunalan Meninggal Dunia


PETALING JAYA: Legenda badminton negara, Datuk Punch Gunalan yang berusia 68 tahun meninggal dunia pada awal Rabu.

Punch Gunalan yang dilahirkan di Sepang, Selangor pada tahun 1944 merupakan salah seorang pemain perseorangan juga untuk beregu yang cemerlang.

Beliau juga menjadi juara remaja Kejohanan Badminton Gabungan Asia (ABC) di Kuala Lumpur pada 1962.

Pada 1970, Punch Gunalan mewakili skuad Piala Thomas dan sekali lagi pada 1973.

Punch Gunalan memenangi pingat emas acara beregu di Sukan Asia pada 1970.

Pada tahun 1974, beliau cemerlang apabila meraih emas acara perseorangan dan gangsa bagi acara beregu di Kejohanan Komanwel, Christchurch, New Zealand.

Punch Gunalan dianugerahkan Olahragawan Negara pada 1969 dan 1974.

Selepas berhenti bermain, Punch Gunalan melibatkan diri dalam bidang kejurulatihan dan merupakan Ketua Jurulatih Pasukan Piala Thomas Malaysia pada 1992.

- MSTAR

Recent Posts