Top Ad 728x90

, , ,

Skim Latihan 1Malaysia Berjaya Buka Peluang Pekerjaan Kepada Belia

Skim Latihan 1Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan bagi mengurangkan kadar pengangguran belia di negara ini telah berjaya membuahkan hasil serta menyumbang kepada pertumbuhan pesat ekonomi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata belia Malaysia kini mudah mendapat pekerjaan berbanding belia di Eropah khususnya negara yang menghadapi krisis ekonomi seperti Itali, Sepanyol dan Greece di mana kadar pengangguran adalah tinggi.

Skim latihan itu, yang dilancarkan pada 1 Jun tahun lalu, berjaya melatih sebahagian daripada 20,000 lepasan universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak berjaya mendapat pekerjaan sebaik sahaja habis pengajian, katanya.

"Tiap-tiap tahun kita ada 90,000 pelajar yang keluar dari universiti dan IPT dan kita lihat 70,000 pelajar dari 90,000 pelajar itu tiada masalah untuk mencari pekerjaan tetapi yang 20,000 itu, sukar dapat kerja," katanya kepada Bernama selepas menganjurkan majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, daripada 20,000 pelajar itu, sebahagian daripada mereka diambil untuk menyertai skim berkenaan di mana antaranya adalah kelas kemahiran bahasa Inggeris serta kemahiran berkomunikasi selama beberapa bulan sebelum diserapkan ke bidang yang mereka gemari.

"Bagi fasa pertama, kita telah ambil 8,612 orang dan fasa kedua pula adalah 4,000 orang. Kita bagi latihan dalam tempoh setahun, selepas itu semua peserta akan dapat kerja," katanya.

Dengan skim berkenaan, belia di Malaysia berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding belia di Eropah yang pada masa sekarang terpaksa menghadapi kadar pengangguran yang tinggi.

"Di sana, 50 peratus daripada pemuda dalam linkungan umur 20 hingga 30 tahun yang keluar mencari pekerjaan, gagal mendapatkannya. Sementara itu, kadar pengangguran di negara ini hanya 2.9 peratus, satu angka yang dianggap tidak wujud pengangguran," katanya lagi.

Turut hadir pada majlis berbuka puasa dan lawatan beliau ke agensi berita nasional itu ialah Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Datuk Hasnul Hassan, Ketua Pengarang Datuk Yong Soo Heong dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Nor Mohamed meluangkan masa sejam melawat bilik berita Bernama, studio dan bilik berita Bernama TV serta bilik berita Radio 24 sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib.

Selain mengurangkan pengangguran, beliau berkata kerajaan turut memastikan setiap lapisan masyarakat di negara ini mendapat pendidikan dan kualiti hidup yang secukupnya.

Ini adalah selaras dengan usaha kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90