Top Ad 728x90

90,000 pelajar ikuti sistem Kolej Vokasional menjelang 2020

MELAKA 13 Sept. - Kementerian Pelajaran menyasarkan seramai 90,000 pelajar bakal mengikuti sistem pembelajaran di Kolej Vokasional seluruh negara menjelang 2020.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ini berikutan transformasi 79 buah Sekolah Menengah Vokasional (SMV) sedia ada kepada Kolej Vokasional (KV) tahun depan dan tujuh lagi KV baru yang bakal dibina menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Sasaran pada 2020 ialah 80 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi di negara ini.

"Yang mengikuti pengajian KV tahun ini hanya 3,500 pelajar daripada 15 KV yang menjadi perintis dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 15,000 pelajar tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Persidangan Kebangsaan Pendidikan Vokasional 2012, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab.

Kata Mohd. Puad, pengajian percuma antara dua hingga empat tahun dengan kelulusan Diploma Vokasional Malaysia yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) itu menawarkan 53 bidang termasuk pertanian, pelancongan dan penerbangan.

Kata beliau, sistem pengajian KV yang menawarkan 70 peratus kemahiran itu membuka ruang kepada lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kelulusan sekurang-kurangnya C dalam mata pelajaran Matematik dan Sains mengikuti pengajian sepenuh masa atau empat tahun.

Bagi lepasan PMR yang kurang cemerlang, mereka masih boleh memohon untuk mengikuti pengajian di KV selama dua tahun.

Sementara itu, sebanyak lapan resolusi telah dicapai dalam persidangan tiga hari bermula 10 September lalu yang disertai seramai 384 peserta yang terdiri daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam pendidikan vokasional.

Antara resolusi yang diperoleh ialah mengarus perdana pendidikan vokasional dengan mengiktiraf dan memperluas aliran kerjaya dan artikulasi pembelajaran selaras pembelajaran seumur hidup.

Tidak ketinggalan ialah menyegerakan penubuhan Majlis Pembangunan Pendidikan Vokasional Nasional agar kurikulum, pentaksiran dan pensijilan vokasional diiktiraf oleh badan profesional.

Kata Mohd. Puad, cadangan yang telah mendapat persetujuan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Timbalan Perdana Menteri itu kini dalam peringkat kajian.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90