Top Ad 728x90

,

Adab mengadakan Majlis Walimah (Jemputan kahwin)

Jemputan wajib hadir rai pengantin walaupun berpuasa

Pasangan yang berkahwin disunatkan mengadakan majlis kenduri atau walimah untuk mengisytiharkan ikatan perkahwinan mereka di samping melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT.
Majlis kenduri sebenarnya bukan sekadar menjemput tetamu menikmati juadah dihidangkan, tetapi ada kaitannya dengan ibadah kepada Allah SWT. Kebanyakan ulama berpendapat mengadakan majlis walimah hukumnya sunat muakkad, amalan amat dituntut dalam Islam.

Meraikan adat perkahwinan hukumnya adalah harus selagi tidak membawa dosa kepada Allah SWT. Jangan sekali mencampurkan majlis dengan aktiviti bertentangan agama”

Malah sebahagian ulama seperti mereka yang bermazhab al-Zhahiri menyatakan hukum mengadakan walimatul urus atau kenduri perkahwinan adalah wajib seperti pandangan sebahagian ulama bermazhab Syafi’e dan Hambali.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, direkodkan oleh Imam Muslim dan Imam al-Bukhari, Nabi SAW telah menyembelih seekor kambing ketika Baginda berkahwin dengan isterinya, Zainab binti Jahsy.

Direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW menyuruh ‘Abdul Rahman bin Auf mengadakan kenduri ketika perkahwinan beliau walaupun dengan seekor kambing. Sabda Baginda SAW: “Adakan kenduri walaupun hanya dengan seekor kambing.”

Ketika Ali memperisterikan puteri Rasulullah SAW, Fatimah, Baginda bersabda: “Bagi sesuatu perkahwinan itu ‘walimah’ (kenduri).”
Dianjurkan Islam

Mengadakan kenduri perkahwinan walaupun secara kecil-kecilan adalah dianjurkan dalam Islam. Oleh itu, disunatkan bagi sesiapa yang melangsungkan majlis perkahwinan mengadakan jamuan dan menjemput orang lain untuk menghadiri majlis itu.

Pada pandangan Imam Ahmad bin Hanbal, disunatkan mengadakan majlis kenduri pada hari kedua-kedua pengantin diijabkabulkan. Menurut Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah pula, digalakkan pasangan pengantin mengadakan kenduri perkahwinan setelah mereka bersama.

Imam al-Mardawi pula menyatakan waktu disunatkan mengadakan majlis kenduri adalah luas iaitu bermula dari hari akad sehinggalah berakhirnya hari-hari perkahwinan (mengikut adat masyarakat).

Hukum penuhi undangan

Bagi mereka yang diundang ke majlis kenduri perkahwinan hendaklah memenuhi undangan itu. Ulama berpendapat hukum memenuhi undangan perkahwinan atau apa saja undangan selagi tidak membawa kepada kemaksiatan serta tidak ditegah Nabi SAW adalah wajib.

Daripada Ibnu Umar, beliau mendengar Nabi SAW bersabda: “Penuhilah undangan jika kamu telah dipanggil.” (Riwayat al-Bukhari).

Seseorang Muslim yang diundang oleh saudara Muslim lain wajib menghadirinya jika tiada sebarang halangan mahupun keuzuran. Walaupun seseorang itu berpuasa penuhilah undangan dan dia dibenarkan meneruskan puasanya atau memilih untuk berbuka bagi puasa sunat.

Nafi’ telah menjelaskan, sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Umar akan memenuhi sesuatu undangan tidak kira undangan perkahwinan atau selainnya walaupun dalam keadaan berpuasa. Dalam Fathul Bari juga dinyatakan beliau (Ibnu Umar) akan memenuhi undangan majlis kenduri dalam keadaan berpuasa dengan hanya bertemu dan mengucapkan doa Nabi SAW kepada pasangan pengantin.

Elak majlis dicemari dosa

Perkara penting perlu diketahui oleh setiap orang yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan mahupun mereka yang hadir adalah berusaha mengelakkan majlis dicemari perkara mendatangkan dosa.

Antara yang perlu dititikberatkan, kedua-dua pasangan pengantin perlu menjaga adab seperti tidak mendedahkan aurat serta tidak bersalaman dengan mereka yang bukan mahram. Begitulah juga dengan tetamu Muslim yang diundang perlu menjaga batasan hukum agama.

Meraikan adat perkahwinan hukumnya adalah harus selagi tidak membawa dosa kepada Allah SWT. Jangan sekali mencampurkan majlis dengan aktiviti bertentangan agama seperti acara menolak bala, tarian bercampur lelaki dan wanita.

Tidak salah untuk memasang muzik mahupun lagu hiburan selagi mana tidak membawa kepada kemaksiatan. Namun disarankan muzik yang dipasang itu lebih berkonsepkan nasihat dan tidak terlalu kuat hingga mengganggu keharmonian majlis perkahwinan.

Perkara lain perlu dipelihara ialah pembaziran. Walaupun tidak salah mengadakan kenduri secara besar-besaran tetapi jangan terlalu boros hingga terpaksa berhutang. Anjurkan majlis kenduri mengikut kemampuan.

Majlis diberkati, sebagai ibadat

Alangkah bertuahnya apabila majlis kenduri yang diadakan atau kita hadiri diberkati serta dikira sebagai ibadat kerana dapat mengeratkan silaturahim, memaklumkan ikatan perkahwinan yang baru termeterai dan bersedekah kepada tetamu.

Sebaik-baik doa diucapkan kepada pasangan yang berkahwin: “Semoga Allah memberkatimu serta menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90