Awas ubat palsu seperti tulen

PANADOL, Manjakani, Viagra, Eye Mo serta Ubat Batuk Cap Ibu dan Anak ialah antara jenama popular yang menjadi mangsa pemalsuan ubat-ubatan dan produk kesihatan di pasaran tempatan sekarang.

Keadaan ini ternyata membimbangkan. Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mazlan Ismail, pengambilan ubat palsu amat berbahaya kepada kesihatan.

“Ia boleh menyebabkan kematian walaupun kes seperti itu jarang dilaporkan di negara ini. Ini kerana produk berkenaan tidak menepati syarat pembuatan ubat yang selamat malah tidak melalui pemeriksaan yang sepatutnya oleh pihak berkenaan,” ujar beliau.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan pemalsuan ubat sebagai menyembunyikan identiti atau sumber ubat bagi menjadikan ia kelihatan tulen.

Berdasarkan laman web Institut Sekuriti Farmaseutikal (PSI) yang berpangkalan di Britain, ubat palsu terdiri daripada ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan ubat yang dicemari. Ia sering dirujuk sebagai ubat palsu atau ubat tiruan.

Selain itu, ia juga boleh mengandungi bahan-bahan yang tidak aktif, ramuan yang amat kuat, bahan yang belum dikaji dan kekotoran berbahaya.

“Malangnya, sebahagian besar ubat palsu ini hanya boleh diketahui selepas ujian kandungannya dilakukan di dalam makmal,” kata Mazlan.

Adalah sukar untuk mengesan dan mengetahui adakah sesuatu ubat itu palsu disebabkan ia nampak seperti ubat sebenar.

Bagaimanapun, ia mungkin berbeza dari segi rasa, konsistensi, rupa dan memberi reaksi yang berlainan kepada tubuh apabila dimakan.

WHO menganggarkan antara 6 hingga 10 peratus ubat-ubatan di pasaran dunia adalah palsu. Laporan oleh penyelidik perniagaan, Espicom, mengatakan ubat palsu merangkumi 5 peratus daripada pasaran farmaseutikal di Malaysia pada tahun 2008.

Ubat palsu di negara jiran, Indonesia pula dilaporkan pada tahap 25 peratus, Vietnam (40), Kemboja (48) manakala Singapura 1 peratus.

Laporan turut menunjukkan peningkatan lebih daripada 92 peratus dalam penjualan ubat palsu di seluruh dunia sejak tahun 2005 dan mencapai lebih AS$75 bilion (RM228.6 bilion) pada 2010.

Farmasi internet

Mazlan menambah, sikap pengguna yang lebih gemar menggunakan barangan murah menjadi antara pendorong kepada lambakan produk tiruan di pasaran.

“Lebih membimbangkan, permintaan pengguna berkenaan turut diikuti oleh peniaga yang seakan-akan tidak peduli dengan tindakan yang bakal dikenakan ke atas mereka sekiranya dikesan oleh pihak berkuasa.

“Setakat tujuh bulan pertama tahun ini, kita berjaya merampas ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM9.2 juta meliputi 23,839 produk.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 1,069 jenis ubat perangsang seks bernilai RM642,209 serta 325 produk yang mengandungi hidrokuinon bernilai RM113,000 berjaya dirampas,” katanya.

Tambahnya, pelbagai usaha sudah dijalankan pihak kementerian seperti memberi penerangan kepada peniaga tentang bahaya menjual produk tiruan namun masalah ini tetap berlaku disebabkan keghairahan mereka untuk mengaut keuntungan.

Sementara itu, pakar keselamatan syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer, Scott Davis, berkata, ramai orang tidak menyedari fenomena ubat palsu ini kerana ia dibungkus dengan cara yang betul dan berbentuk tablet atau kapsul, tetapi ia sebenarnya tidak mengandungi bahan yang betul.

Dalam kes terburuk, ia boleh diisi dengan bahan-bahan toksik yang terlarang.

“Penghasilan ubat palsu dilaporkan meningkat disebabkan kini ramai pelanggan bergantung kepada farmasi internet.

“Menurut WHO, dianggarkan kira-kira 50 peratus ubat-ubatan yang dibeli menerusi internet adalah palsu.

“Masyarakat juga tidak mengetahui mereka sebenarnya membeli ubat palsu yang boleh membawa maut,” jelasnya ketika membentangkan kertas kerja pada satu bengkel yang membincangkan isu-isu semasa berkenaan penjualan ubat palsu di pasaran tempatan dan global di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dedahnya, pada tahun lalu, China menjadi sumber nombor satu ubat-ubatan palsu, diikuti oleh Jordan, Amerika Syarikat, Israel dan Kanada.

- KOSMO! Awas ubat palsu seperti tulen

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran