Top Ad 728x90

,

Bahasa Inggeris bukan ukuran tahap kemajuan

Oleh Teo Kok Siong

Indeks Kefasihan Berbahasa Inggeris yang diusahakan oleh sebuah syarikat pendidikan antarabangsa dari 2007 sehingga 2009 membabitkan dua juta responden dewasa di 44 negara yang bahasa Inggeris tidak menjadi bahasa negara, mendapati Malaysia menduduki tempat kesembilan dengan skor kefasihan tinggi.

Norway menduduki tempat pertama dengan skor kefasihan amat tinggi. Korea Selatan dan Jepun mendapat skor kefasihan sederhana, manakala China dan Russia memperoleh skor kefasihan rendah. Indonesia dan Thailand pula mencatatkan skor kefasihan amat rendah.

Indeks ini menunjukkan pengetahuan dan penguasaan bahasa Inggeris kita di Malaysia, tidaklah berada pada tahap yang begitu jelik sehinggakan kita perlu, antaranya mengembalikan persekolahan aliran Inggeris, dalam usaha kita memperbaiki sistem pendidikan negara mulai 2013.

Persoalan kefasihan adalah subjektif

Sesungguhnya persoalan kefasihan berbahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia adalah subjektif. Ia berlandaskan pelbagai cara penilaian. Ada kelompok yang mendapati kefasihan kita kini adalah jauh daripada memuaskan. Ini diasaskan perbandingan kecekapan ketika bahasa Inggeris pernah menjadi bahasa pengantar utama.

Dalam hal ini, kita harus menyedari bahawa bahasa Inggeris kini hanya satu mata pelajaran. Oleh itu, kecekapan kita tidak setinggi tahapnya seperti dulu. Ia fenomena linguistik biasa akibat perubahan dasar pendidikan bahasa.

Namun begitu, penekanan mengenai pendidikannya adalah istimewa kerana ia bahasa global, yakni penting di seluruh dunia. Ini antaranya dilakukan melalui Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris.
Indeks ini boleh dikatakan agak tepat dengan petunjuknya. Hakikat bahawa tahap kefasihan kita yang didapati jauh lebih baik daripada yang diperlihatkan oleh masyarakat Korea Selatan, Jepun, China, Russia, Indonesia dan Thailand, boleh diterima dengan mudah sekali oleh umum, baik di dalam dan luar Malaysia.

Bagaimanapun, percubaan indeks ini untuk mengaitkan hubung kait di antara tahap kefasihan berbahasa Inggeris dengan pendapatan negara kasar yang terbabit, bukan saja tidak tepat. Malah ia boleh dianggap sebagai usaha untuk memperjuang agenda kekuasaan bahasa Inggeris untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara itu.

Kesalahan ini dapat dilihat apabila pendapatan negara kasar Korea Selatan dan Jepun yang menduduki tempat 13 dan 14, dengan hanya tahap kefasihan sederhana, dibandingkan dengan yang dicatatkan oleh Malaysia yang mempunyai tahap kefasihan tinggi. Sehubungan ini, beberapa perbandingan lain ikut memperlihat hubung kait yang dicuba dilakukan itu salah. Adakah pendapatan negara kasar Poland, Portugal dan Perancis yang juga memperlihat tahap sederhana, lebih rendah daripada yang dicatatkan oleh Malaysia?

Sesungguhnya kemahiran bahasa Inggeris tidak boleh diambil kira, sama ada secara langsung mahupun sebaliknya, dalam hal ini. Sehubungan ini, banyak faktor lain yang lebih penting terbabit dalam penjanaan pendapatan negara kasar ini.

Pihak yang kemaruk dan taksub terhadap bahasa Inggeris ini akan selalu mencari pelbagai jalan bukan saja untuk memperkukuh bahasa Inggeris, tetapi kalau boleh untuk memartabatkannya semula di negara ini. Sehubungan ini, banyak usaha mereka ini didapati membelakangkan bahasa Melayu yang juga bahasa negara. Tindakan begini sudah tentu boleh disamakan dengan sikap tidak menghormati bahasa negara ini.

Antaranya adalah dengan mengadakan ruang khas dalam media misalnya untuk mempromosikan bahasa Inggeris, sama ada sebagai mata pelajaran penting mahupun bahasa global utama. Caranya sering kali boleh ditafsirkan sebagai gerakan halus untuk memperkecil peranan bahasa Melayu, khususnya sebagai alat kemajuan.

Bahasa Melayu lambang kedaulatan

Sehubungan ini, ke mana perginya semangat nasionalisme kita yang antaranya perlu selalu melindungi bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara kita. Dalam konteks ini, bahasa Melayu bukan saja lambang kedaulatan kita, malah ia asas sejati kemerdekaan kita sebagai bangsa dan negara yang merdeka!

Untuk ini, bahasa Melayu perlu selalu dimanifestasikan dalam bentuk kuasa dan bukan saja lambang semata-mata. Dengan ini, kuasanya perlu direalisasikan dalam semua bidang dan sistem negara ini, baik politik, ekonomi ataupun sosial dan budaya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90