Bajet 2013: Bantuan Pelajar RM100 dan Baucer Buku RM250 diteruskan

Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan persekolahan. Untuk ini, sebanyak 2.6 bilion ringgit diperuntukkan pada tahun 2013.

Pada pembentangan Bajet 2012, kerajaan telah mengumumkan bantuan persekolahan 100 ringgit kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah. Bagi meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, Kerajaan sekali lagi akan meneruskan pemberian bantuan persekolahan 100 ringgit kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai Januari 2013 dan bermanfaat kepada 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit.

Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa nilai baucar akan ditingkatkan daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit. Langkah ini melibatkan peruntukan 325 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.

Kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak. Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak sebanyak 4,000 ringgit seorang sekarang ini, dinaikkan kepada 6,000 ringgit mulai tahun taksiran 2013. Langkah ini menunjukkan komitmen dan tumpuan Kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.

- BERNAMA