Cuaca musim haji cecah suhu 45 darjah celsius

Musim haji pada tahun 2012 ini dijangka berlangsung dalam keadaan cuaca panas terik apabila suhu di tanah suci dijangka mencecah 45 darjah celsius.

Sehubungan itu, Ketua Rombongan Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman menasihatkan para jemaah menjaga kesihatan dengan minum air dalam kuantiti banyak dan mendapatkan khidmat perubatan di klinik yang disediakan oleh Tabung Haji jika menghadapi masalah kesihatan.

Menurut beliau, cuaca panas terik merupakan salah satu cabaran musim haji kali ini dan pihaknya telah membuat langkah awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal terjadi.

''Oleh yang demikian, bakal jemaah diminta untuk berehat sepenuhnya, menjaga kesihatan dan emosi serta membawa barang keperluan mencukupi sebelum berlepas ke tanah suci supaya mereka dapat membuat persediaan bagi memberi tumpuan terhadap ibadat haji.

''Selain itu, para jemaah diminta membetulkan niat kerana amalan haji bukan untuk melancong atau membeli-belah tetapi ia bertujuan melakukan ibadah seperti yang dituntut dalam Rukun Islam," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelepasan haji bagi 25 petugas media di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya dekat sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Rombongan, Abdul Halim Md. Jamil dan dan Ketua Penyelaras Operasi Tabung Haji, Ahmad Ruzman Ahmad Razali.

Pada majlis itu, Syed Saleh yang merupakan Pengurus Besar Kanan Tabung Haji berkata, seramai 25 petugas media akan membuat liputan sepanjang tempoh musim haji tahun ini bagi melaporkan segala perkembangan jemaah Malaysia di Tanah Suci.

Ujar beliau, mereka adalah sebahagian daripada 800 petugas Tabung Haji yang terdiri daripada pasukan kebajikan dan perubatan yang akan menggalas tanggungjawab untuk menjaga urusan 28,000 jemaah haji Malaysia.

''Tugas itu merupakan tanggungjawab berat memandangkan selain melakukan ibadah haji, mereka akan menumpukan terhadap segala soal kebajikan para jemaah haji tanah air. Kita berharap segala pergorbanan para petugas Tabung Haji termasuk pasukan media yang membuat liputan akan mendapat ganjaran daripada Allah," katanya.

Sementara itu, bagi Wartawan Bernama, Shahrullizam Rusli yang dipertanggungjawab membuat liputan di Tanah Suci bersyukur kerana terpilih untuk menunaikan ibadat haji dalam usia yang muda iaitu 37 tahun.

Ujar beliau, melaporkan segala perkembangan jemaah haji Malaysia adalah suatu tugas berat memandangkan ahli keluarga mereka sentiasa menanti khabar berita melalui liputan media.

''Saya berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar kami petugas media termasuk semua jemaah haji dapat melaksanakan ibadat itu dengan sempurna dan mendapat haji mabrur," katanya.

- UTUSAN Cuaca musim haji cecah suhu 45 darjah celsius

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran