Top Ad 728x90

,

duniaenglish.com - Belajar bahasa Inggeris guna telefon


SEGALA-GALANYA bermula di meja makan rumahnya yang terletak di SS3, Petaling Jaya, Selangor. Ketika itu, Rani Wemel, 50, sedang melayari internet bagi mengisi masa lapang selepas anak-anaknya ke tempat belajar.

Daripada situ, dia dapat mengesan betapa besarnya pengaruh telefon bimbit dalam kehidupan manusia walaupun pada waktu itu telefon bimbit sangat ringkas dan bersifat asas iaitu hanya boleh membuat panggilan serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

Kemudian, atas inisiatif membantu orang ramai dalam perbualan bahasa Inggeris, Rani dan suaminya, Wemel C.V., 60, yang merupakan seorang usahawan mengadakan pembelajaran mobil yang dikenali sebagai SMS-Me-English pada tahun 2004.

“Kaedah yang digunakan ketika itu sangat asas iaitu dengan menggunakan platform SMS, pengguna menerima satu SMS yang mengandungi perkataan Inggeris setiap hari,” kata Rani yang bertugas sebagai Pengarah Eksekutif LTT Global Communications.

Kongsi suaminya yang bertindak sebagai Sekretariat Ahli Bersekutu Persatuan Untuk Pembelajaran Dalam Talian Dunia (WAOE), secara teori seseorang itu mampu berbual dalam bahasa Inggeris dengan hanya memahami dan tahu menggunakan 200 patah perkataan.

Seiring dengan perkembangan teknologi mobil, teknik pembelajaran dalam talian, SMS-Me-English turut membangun dengan memperkenalkan program Mobile English.

Kini, evolusi pembelajaran bahasa Inggeris tersebut dikenali sebagai DuniaEnglish pula dengan memberi penekanan pembelajaran melalui tiga kaedah berbeza.

Kaedah pertama adalah setiap pelajar akan mendapat satu SMS dalam sehari, sama seperti kaedah awal. Sekurang-kurangnya, para pelajar mampu mempelajari 250 perbendaharaan kata baharu dalam tempoh setahun.

Setiap perkataan baharu akan disertakan dengan maksud dan cara untuk mengaplikasikan satu set aksara dalam perbualan seharian.

Terdapat tiga tahap pengiriman perkataan berdasarkan kesukaran iaitu asas, pertengahan dan maju. Tahap maju, tiada perkataan bahasa Melayu digunakan bagi menerangkan kata yang dikirim.

“Kami menasihatkan setiap pelajar supaya menulis kembali perkataan yang dikirim supaya pembelajaran bawah sedar boleh berlaku melalui pergerakan tangan dan pandangan mata,” kata Rani ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya.

SMS atau portal

Kaedah pembelajaran kedua Dunia English pula adalah melalui laman web yang beroperasi selama 24 jam sehari.

Dengan portal www.duniaenglish.com, para pelajar dapat mempraktikkan perkataan Inggeris yang dipelajari mengikut minat masing-masing.

Dengan menggunakan medium yang diminati seperti radio, surat khabar, sukan atau permainan video, pelajar dapat mempraktikkan sebutan, mendengar dan mengeja bahasa Inggeris.

Kata Rani, terdapat lebih kurang 11 cara yang berbeza untuk mempraktikkannya. Amat penting apabila belajar dengan menggunakan kaedah yang diminati sekali gus pembelajaran secara tidak langsung boleh berlaku.

Sebaik-baiknya, setiap pelajar disarankan supaya menggunakan bantuan laman portal itu antara 30 hingga 45 minit sehari bagi memaksimumkan pembelajaran.

Bukan sahaja ditujukan kepada para pelajar pada peringkat sekolah dan universiti, Dunia English turut menyasarkan kelompok para pekerja tanpa mengira tingkat pekerjaan.

Pembelajaran dua hala dan interaktif amat penting dalam menguasai bahasa Inggeris, malah bagi memastikan tiada orang mengalami keciciran, Dunia English mengadakan kelas tutorial secara langsung kepada pelajar setiap minggu.

Kelas yang diadakan sekali seminggu membolehkan setiap pelajar bertanyakan soalan yang tidak boleh dilakukan pada portal web kepada tutor yang bertugas.

Diadakan pada hari Rabu pada pukul 8.30 malam, ia boleh diakses dengan mudah menggunakan komputer yang mempunyai sambungan internet selain aksesori seperti fon kepala dan mikrofon.

Kelas tutorial yang diadakan itu membolehkan pelajar berinteraksi dan bertanyakan soalan secara terus kepada tutor yang diajar sendiri oleh Rani.

“Setiap kelas tutorial akan diberi tajuk perbincangan yang seronok dan terkini bagi memastikan ia menarik perhatian semua pelajar untuk berinteraksi,” kata Rani yang memiliki tiga orang anak.

Sebagai contoh, topik sukan Olimpik London 2012 dipilih kerana ia mampu menarik perhatian ramai walaupun seseorang itu kurang berminat dengan sukan. Statusnya sebagai sukan Olimpik pertama yang dikuasai teknologi mobil menarik perhatian.

“Olimpik London 2012 membuktikan bahawa teknologi mobil boleh pergi lebih jauh berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Sijil pembelajaran

Kepada pelajar yang terlepas kelas tutorial tersebut mereka boleh mengikuti semula kerana semua pembelajaran langsung yang disimpan dalam arkib dan boleh dilayari semula pada bila-bila masa.

Barangkali ada beberapa individu yang bersifat sinikal mengatakan teknologi yang digunakan pada Dunia English agak ketinggalan.

Namun, matlamat untuk memberikan kaedah pembelajaran mampu milik dan berpatutan menjadi pegangan Rani dan Wemel.

“Mungkin kaedah yang sama sudah ada empat tahun dahulu, tetapi ketika itu sangat mahal dan tidak mungkin yuran berpatutan boleh dikenakan,” terang Rani lagi.

Setakat ini, kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya, Maktab Koperasi Malaysia, Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) Melaka dan Pusat Pengurusan Maklumat Bank Negara Malaysia sudah menyertai program tersebut.

Kata Wemel, Dunia English membolehkan para pelajar belajar bahasa Inggeris tanpa perlu meninggalkan tempat bekerja dan amat berpatutan.

Program Dunia English berharga RM20 sebulan dan berlangsung selama setahun. Selalunya, yuran dibayar secara kumulatif untuk setahun iaitu sebanyak RM240.

Secara kasarnya, program tersebut memaksimumkan fleksibiliti para pelajar, mengurangkan rasa malu dan mereka boleh mempelajari sesuatu bergantung kepada tahap kemampuan.

Sebaik tamat pembelajaran melalui program yang berlangsung selama setahun itu, para pelajar diberi pilihan untuk menduduki sebuah peperiksaan khas bagi mendapatkan sijil untuk Kemahiran bahasa Inggeris.

Sijil dianugerahkan oleh Sekolah Pembelajaran Sepanjang Hayat, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang bekerjasama dengan LTT Global Communication.

- KOSMO!
 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90