Facebook mahu bina sistem untuk peranti mudah alih


SAN FRANCISCO - Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg kelmarin berkata, gergasi laman sosial itu sedang memberi fokus kepada sistem peranti mudah alih. Ia perlu dilihat sebagai satu langkah bijak walaupun kemunculannya dalam pasaran saham sebelum ini mengecewakan.

"Ia amat jelas daripada statistik dan gerak hati saya bahawa ekosistem menuju ke arah peranti mudah alih dan bukan komputer meja. Itulah masa hadapan. Kami akan menghasilkan produk terbaik," kata Zuckerberg ketika ditemu bual pada persidangan TechCrunch Disrupt di sini.

Zuckerberg menegaskan bahawa syarikat itu pernah dipandang rendah dan kini berada di landasan betul untuk menjana keuntungan menerusi peranti mudah alih berbanding komputer.

Ini merupakan penampilan pertama beliau sejak nilai tawaran awam (IPO) Facebook pada 18 Mei lalu yang sepatutnya mendapat sambutan tetapi gagal. Saham Facebook susut setengah daripada nilainya IPO asalnya iaitu AS$38 (RM116.8) sesaham.

Zuckerberg bagaimanapun menafikan pihaknya akan menghasilkan telefon pintarnya sendiri. "Apple, Google dan semua orang menghasilkan telefon. Kami menuju ke arah berlawanan. Kami mahu membina sistem yang boleh diintegrasi di antara semua peranti pintar," katanya.

- AFP

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.