Ilmu Pelaburan Emas

SEJAK kebelakangan ini, cerita mengenai pelaburan emas semakin mendapat perhatian dan lebih banyak individu mula memilihnya sebagai medium pelaburan jangka panjang.

Bagaimanapun, tidak ramai mengetahui cara betul untuk melabur dalam komoditi itu, malah lebih membimbangkan apabila semakin banyak syarikat menawarkan skim pelaburan di laman sosial dan memaparkan longgokan emas untuk menarik pelabur.

Ikuti temu bual wartawan Bisnes Metro, Syarifah Dayana Syed Bakri dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Hijjaz Gold Sdn Bhd, Md Zamri Mohamad Nazir mengenai pelaburan emas dan tip memaksimumkan pelaburan.

ADAKAH pelaburan emas boleh memberi banyak keuntungan kepada pelabur? Pelaburan emas boleh mendatangkan keuntungan, namun bergantung kepada harga emas ketika dibeli kerana tidak semua tempat menawarkan harga sama.

Terdapat dua cara untuk membeli emas iaitu melalui ejen yang mendapatkan bekalan emas dari kilang atau membeli emas terpakai. Kedua-dua cara ini boleh menguntungkan pelabur, namun memerlukan masa dan tidak boleh memberi keuntungan serta-merta.

Cara terbaik untuk mengoptimumkan keuntungan ialah dengan mendapatkan emas pada harga paling rendah iaitu melalui pembelian emas terpakai kerana ia tetap dikira sebagai emas walaupun patah atau rosak berikutan masih boleh dijual mengikut harga pasaran jika dileburkan.

Apakah langkah yang perlu diambil jika seseorang berminat membuat pelaburan emas? Sebelum membuat pelaburan dengan jumlah wang yang banyak, lebih baik sekiranya pelabur mendapatkan ilmu berkaitan emas.

Ini bagi membolehkan pelaburan yang dibuat tidak merugikan. Jika mengikut cara salah, pelaburan itu menjadi sia-sia dan pelabur mungkin menanggung kerugian walaupun ia berkaitan pelaburan emas.

Pastikan jenis pelaburan ingin dibuat, sama ada untuk simpanan sendiri bagi jangka panjang atau melabur bagi mendapat keuntungan kerana ia membabitkan konsep dan sistem berbeza.

Selain itu, mereka yang berminat boleh mula memantau sendiri harga emas dunia di www.goldprice.org atau www.kitco.com untuk menilai sendiri turun naik harga emas dalam tempoh tertentu.

Jika seseorang berminat membuat pelaburan emas, yang mana harus dipilih sama ada melabur emas secara fizikal atau pelaburan berdasarkan harga emas semasa? Pelaburan emas fizikal adalah yang terbaik kerana pemilik emas boleh menilai dan memiliki emas dibeli. Malah, jika bukan untuk tujuan dijual, barangan berkenaan boleh dipakai atau disimpan neberikutan harganya terus meningkat serta dianggap aset.

Malah, ia boleh dijual atau digadai untuk mendapatkan wang tunai. Pelaburan emas berdasarkan harga emas tanpa mendapat produk emas dikategorikan haram kerana hanya membabitkan permainan harga tanpa memiliki emas sebenar.

Ia turut berisiko menyebabkan pelabur tertipu kerana tidak dapat menilai emas mengikut harga pasaran berikutan hanya bergantung kepada harga ditetapkan institusi kewangan yang kemungkinan bergantung kepada spekulasi pasaran.

Bagaimana jika seseorang individu merancang membuat simpanan emas sebagai pelaburan jangka panjang? Menabung emas lebih baik daripada wang kerana harga emas boleh meningkat walaupun mengambil masa lama berbanding simpanan wang tunai yang boleh dikeluarkan bila-bila masa.

Langkah untuk menjadikan emas sebagai medium simpanan adalah tindakan baik, namun perlu bergantung kepada harga emas ketika dibeli.

Bagi memastikan simpanan emas memberi pulangan tinggi, pelabur perlu mendapatkan emas pada harga paling rendah sama ada melalui harga kilang atau membeli emas terpakai.

Apakah cara terbaik untuk mengelak terperangkap skim emas berunsur penipuan? Apa-apa bentuk perniagaan atau pelaburan yang ingin dilakukan perlu dilengkapkan dengan pengetahuan dan maklumat untuk mengelak pelabur tertipu.

Bagi melabur dalam emas, pelabur perlu mempunyai pengetahuan indeks harga emas, trend turun dan naik harga emas, cara mengenal pasti emas tulen dan tiruan serta yang paling utama teknik mendapatkan emas paling murah.

Jika memiliki ilmu berkaitan emas, pelabur emas boleh mendapat keuntungan serta-merta sekiranya tahu cara yang betul.

- HARIAN METRO Ilmu Pelaburan Emas

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran