Top Ad 728x90

,

Malaysia Perlukan Lebih 12,000 Jurutera Elektronik Menjelang 2020

Malaysia memerlukan 12,600 jurutera solar dalam bidang elektrik dan elektronik menjelang 2020, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada Khamis. Beliau berkata ini bagi memastikan hasrat negara untuk muncul sebagai pengeluar sel solar ketiga terbesar selepas China dan Jerman, dengan menyumbang 17 peratus kepada pengeluaran global, tercapai menjelang 2020. Dr Subramaniam berkata demikian selepas menutup Seminar Kebangsaan Teknologi Solar 2012 anjuran Jabatan Tenaga Manusia (JTM), agensi Kementerian Sumber Manusia di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Bukit Kemuning, di Shah Alam. Beliau berkata pembangunan industri solar dalam negara ini merupakan satu sektor ekonomi yang mendapat sokongan daripada kementeriannya dan agensi kerajaan yang mempunyai pusat latihan dan pendidikan. Oleh itu, beliau berharap para pelatih akan dapat memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan yang baik daripada bidang itu pada masa akan datang. Dr Subramaniam berkata kini terdapat syarikat asing yang melabur di Malaysia dalam bidang solar seperti AUO Sunpower Sdn Bhd di Melaka. JTM menawarkan kursus berkaitan tenaga yang boleh diperbaharui terutamanya dalam bidang solar menerusi modul pengajian dalam bidang elektrik dan elektronik di institusi latihannya. Antara institusi JTM yang menawarkan kursus tenaga yang boleh diperbaharui termasuk solar ialah ADTEC Shah Alam, Institut Latihan Perindustrian (ILP)Jitra, Mersing dan Sandakan, manakala pada masa akan datang kursus itu akan ditawarkan oleh ADTEC Kemaman dan Bintulu. Lebih 300 peserta menyertai seminar itu dengan empat kertas kerja dibentangkan masing-masing daripada wakil Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Sustainable Energy Development Authority (SEDA), Universiti Teknologi Mara dan AUO Sunpower. - BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90