Top Ad 728x90

Malindo Airways beroperasi Mei 2013


Syarikat tambang murah baru kukuh industri penerbangan negara

Datuk Seri Najib Razak melancarkan syarikat penerbangan tambang murah tempatan baru dikenali sebagai Malindo Airways yang akan beroperasi pada 1 Mei tahun depan.

Perkhidmatan berkenaan akan melengkapkan lagi ekosistem industri penerbangan tempatan di samping meraih potensi daripada kepesatan pertumbuhan pasaran Asia.

Usaha sama

Perdana Menteri berkata, Malindo Airways dikendalikan syarikat usaha sama antara kumpulan penerbangan swasta terbesar Indonesia, PT Lion Grup dan sebuah syarikat Bumiputera tempatan, National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (NADI).

“Hari ini, penyertaan syarikat penerbangan baru yang dibentuk NADI dan Lion Grup ini diharap akan mengukuhkan lagi industri penerbangan negara.

“Saya yakin usaha sama ini akan merealisasikan potensi besar industri penerbangan rantau ini sekali gus membawa manfaat kepada pengguna perkhidmatan penerbangan tambang murah di Malaysia dan Indonesia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Malindo Airways di sini, semalam.

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri menyaksikan upacara memeterai memorandum perjanjian antara NADI dan Lion Grup.
Presiden NADI, Tan Sri Ahmad Johan memeterai perjanjian itu bagi pihak syarikatnya, manakala Lion Grup diwakili Pengarah Presidennya, Rusdi Kirana.


Kongsi kepakaran


Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Pengerusi NADI, Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali.

Kerjasama itu menyaksikan kedua-dua syarikat berkongsi kepakaran dalam empat bidang iaitu operasi penerbangan; penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO); pengurusan rantaian bekalan serta pembangunan modal insan.

NADI, syarikat yang menerajui perkhidmatan MRO di Malaysia akan menguasai 51 peratus kepentingan dalam Malindo Airways, manakala PT Lion Grup memiliki bakinya.

Malindo Airways akan memulakan operasi penerbangan serantaunya pada 1 Mei tahun depan di terminal tambang murah baru, KLIA2 dengan menggunakan angkatan 12 pesawat Boeing 737.

Perdana Menteri berkata, usaha sama itu, bukan saja mencatatkan satu lagi sejarah penting dalam industri penerbangan negara tetapi juga mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia.

“Pada pendapat saya, akronim MALINDO - gabungan indah nama Malaysia dan Indonesia yang mempunyai nilai sejarah yang amat signifikan, malah memaparkan pertalian sejarah yang sekian lama terjalin antara rakyat kedua-dua negara.

“Dari segi untuk menjadi syarikat penerbangan terkenal, saya percaya nama ini akan menjadi jambatan bagi kedua-dua negara, menerusi rangkaian penerbangan yang luas yang akan menghubungkan banyak bandar raya dan bandar di rantau ini, membuka destinasi baru untuk pelawat di Nusantara ini dan sekitarnya,” katanya.

Pada sidang media berasingan, Rusdi berkata, Malindo Airways akan memulakan operasinya dengan mengendalikan penerbangan dua hala antara habnya di KLIA2 ke beberapa bandar raya utama Indonesia sebelum bercadang untuk berkembang ke bandar raya lain di sekitar Asia Tenggara.

Beliau berkata, syarikat penerbangan baru itu bercadang menambah 12 pesawat setiap tahun dengan sasaran mengendalikan sehingga 100 pesawat dalam tempoh 10 tahun lagi, termasuk rancangan menggunakan pesawat generasi baru Boeing 787 Dreamliner bermula 2015.

Tambahnya, harga tiket pula disasar berdaya saing iaitu dalam lingkungan sama seperti syarikat penerbangan tambang rendah sedia ada di pasaran, atau berkemungkinan lebih rendah daripada itu.

“Matlamat utama Malindo Airways ialah untuk mengukuhkan asas pertumbuhan penumpang dengan menawarkan harga bersesuaian namun dilengkapkan dengan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.

Rusdi berkata, pesawat Malindo Airways akan mempunyai kapasiti lebih kecil berbanding biasa iaitu 180 tempat duduk di samping dilengkapi dengan pakej hiburan dalam penerbangan serta hidangan ringan.

“Ia boleh mengimbangi pendapatan lebih rendah bagi setiap pesawat berikutan jumlah tempat duduk lebih kecil dengan mengendalikan kekerapan penerbangan yang lebih tinggi,” katanya.

Ahmad Johan pula berkata, kerjasama kedua-dua pihak itu bukan saja membantu syarikat mengembangkan tawaran perkhidmatannya malah menyediakan platform serta sumber untuk membangunkan modal insan bagi merangsang industri penerbangan di Malaysia dan rantau Asia.

Lion Air yang menguasai kira-kira 45 peratus rangkaian penerbangan di Indonesia memulakan operasinya pada 2000 dan kini mengendalikan penerbangan ke destinasi sekitar rantau Asia, termasuk Malaysia.

Syarikat itu disokong oleh 15,000 kakitangan dengan mengendalikan angkatan 100 pesawat, manakala 382 pesawat baru saja ditempah.

Selain Malindo Airways, Lion Grup juga baru menubuhkan sebuah syarikat penerbangan perkhidmatan penuh di Indonesia dikenali Batik Air, yang akan memulakan operasinya Mac tahun depan.



INFO

Malindo Air

- 51 peratus kepentingan milik NADI, 49 peratus milik PT Lion Grup
- Menjadikan KLIA2 sebagai hab operasi
- Menggunakan angkatan pesawat Boeing 737 dan 787 generasi baru
- Operasi bermula dengan penerbangan dua hala KL-Indonesia

- BERITA HARIAN

3 Comment:

  1. Assalamualaikum dan selamat sejahtera...
    saya MOHD MUQSIT BIN MOHD YASIN ingin bertaya, jawatan kosong sebagai security di MALINDO AIRLINES ada lagi atau tidak? misalnya ada bagaimana caranya untuk saya apply jawatan tersebut?

    email saya: yasinleman@gmail.com

    sekian terima kasih

    BalasPadam
  2. Nama saya nazirul ilya bin mahmod sabri. Saya mempunyai kelulusan sijil teknologi maklumat, sekiranya ada jawatan yang sesuai dengan kelulusan saya disini boleh emaikan pada saya.

    nazirul.ilya@yahoo.com

    sekian terima kasih.

    BalasPadam
  3. salam..nama saya asrul bin che ani
    bekas tudm dan juga bekas pekerja m.a.s kontrak dan juga mempunyai pengalaman kerja dgn pesawat boeing dan airbus...ada peluang tak saya bekerja dgn malindo air...sbg mekanik ataupun juruteknik......0124001287.tq

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90