Rahsia warga Hong Kong panjang umur

LELAKI Hong Kong sudah memegang gelaran warga tertua dunia lebih sedekad. Data terbaharu pula menunjukkan wanita di kosmopolitan itu juga telah berjaya menyaingi rakan seangkatan mereka di Jepun buat pertama kali.

Bancian butiran data itu mendedahkan bahawa jangka hayat wanita Hong Kong meningkat daripada purata 86 tahun pada tahun 2010 ke 86.7 tahun pada tahun 2011.

Umur panjang wanita Jepun pula mengalami penurunan akibat gempa bumi dan tsunami pada tahun lalu iaitu sekitar 85.9 tahun.

Jadi, apakah rahsia penduduk Hong Kong berusia panjang?

Para pakar berpendapat, tiada sejenis ubat pun mampu memanjangkan usia tetapi beberapa faktor dapat menyumbang ke arah itu.

Kemudahan mengakses penjagaan kesihatan moden, sentiasa sibuk, makanan tradisional Kantonis dan permainan mahjong dikatakan dapat menambah hayat penduduknya.

Gaya hidup

"Batu-batu bergerak tidak mengumpul lumut (individu yang bergerak tidak akan hilang idea atau kreativiti).

"Saya suka mengembara, saya suka melihat sesuatu yang baharu dan berjumpa kawan-kawan untuk yum cha (minum teh) setiap hari," kata Mak Yin yang berusia 80 tahun.

Nenek kepada enam orang cucu itu mengamalkan seni pergerakan badan, tai chi, di padang berdekatan rumahnya pada setiap pagi Ahad.

Amalan minum teh juga dikesan dapat memberikan dos antioksida yang sihat ketika menikmati makanan.

"Kawan-kawan saya berusia sekitar 60-an, mereka fikir saya dalam lingkungan usia mereka juga walaupun sebenarnya saya lebih tua daripada mereka," kata Mak yang disambut dengan hilai tawa.

Makanan kegemaran Mak ialah sayur-sayuran, nasi dan buah yang dikukus. Makanan Kantonis terkenal dengan ikan dan sayur kukus yang menggunakan sedikit atau langsung tidak menggunakan minyak masak.

Minyak masak sememangnya dipersalahkan sebagai makanan yang menyebabkan penyakit jantung, obesiti dan berkolesterol tinggi.

Sebuah kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine pada Februari lalu mendapati tai chi mampu mengurangkan kelemahan dan kemerosotan keseimbangan kepada orang yang mengalami penyakit Parkinson pada tahap ringan hingga sederhana.

Tambah pakar, faktor lain yang menyumbangkan usia yang panjang adalah dengan bekerja. Ketika penduduk di negara lain seusia mereka mengambil keputusan untuk berehat selepas bersara, masih ramai lagi penduduk Hong Kong memilih untuk bekerja pada umur 70-an dan 80-an.

Hong Kong tidak mempunyai umur persaraan dan adalah suatu pemandangan yang biasa apabila warga emas bekerja di kedai-kedai, pasar dan restoran bersama-sama dengan kakitangan muda.

"Ramai orang tua di bandar kami masih lagi bekerja dan itu menyumbang kepada kesihatan mental serta psikologi yang lebih baik," kata presiden Persatuan Gerentologi Hong Kong, Edward Leung.

"Bagi orang tua, ramai yang mengalami tekanan kerana mereka tidak ada apa-apa untuk dibuat dan telah meningkatkan sindrom kekosongan. Ia mengakibatkan tekanan mental," kata penjual ikan, Lee Woo-hing, 67.

Dia tidak betah duduk di rumah tanpa melakukan sesuatu. Inspirasinya ialah seorang taikun tempatan, Li Ka-shing yang merupakan lelaki terkaya di Asia dan masih lagi menguruskan empayar perniagaannya yang besar walaupun sudah berusia 80-an.

"Jika Li Ka-shing masih lagi terus bekerja pada usia 84 tahun, mengapa saya mesti bersara?" kata Woo-hing.

Mahjung perangsang

Situasi kehidupan yang sesak di Hong Kong membawa kesan tidak sihat, dipenuhi dengan penyakit dan virus termasuklah selesema burung dan sindrom pernafasan akut teruk yang telah membunuh berdozen-dozen penduduknya.

Namun, dengan tabiat seharian penduduk biasa di Hong Kong, ramai pakar berkata, bandar itu merupakan tempat yang paling baik untuk menjalani usia tua.

Menurut pakar penuaan daripada Universiti Lingnan, Hong Kong, Alfred Chan, budaya sentiasa sibuk yang popular dalam kalangan penduduk tempatan, bermain mahjung bersama rakan-rakan dapat membantu melambatkan demensia (nyanyuk).

"Ia merangsang bahagian yang mengawal memori dan keupayaan kognitif. Tabiat itu membantu warga emas mengekalkan memori," katanya.

Peraturan yang rumit dan pengiraan markah membuatkan mahjung yang juga dikenali sebagai domino Cina memerlukan kekuatan mental yang tinggi. Selain itu, aspek sosial juga penting.

"Dalam mahjung, kamu perlu bermain dengan tiga orang lain. Ia sangat baik untuk bersosial kerana kamu perlu berinteraksi secara berterusan," terangnya.

"Saya separa bersara. saya bekerja pada waktu pagi dan berkumpul dengan rakan-rakan sambil bermain mahjung pada waktu petang," kata tukang jahit berusia 67 tahun, Yeung Fook ketika ditemui sedang bermain permainan itu di sebuah kedai pakaian.

"Saya lebih gembira ketika bekerja. Sangat bosan apabila hanya duduk di rumah," ungkapnya.

- AFP Rahsia warga Hong Kong panjang umur

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.