Top Ad 728x90

,

Samsiah Awang wanita pertama terajui jabatan agama


KUALA TERENGGANU - Penstrukturan semula Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu menyaksikan Samsiah Awang, (gambar) dilantik sebagai pengarah pertama jabatan tersebut, sekali gus menjadikannya wanita pertama di negara ini menerajui jabatan agama.

Samsiah, 54, merupakan bekas Ketua Penolong Pesuruhjaya (Dakwah) dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa pada 26 Ogos lalu.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah ketika memaklumkan perkara tersebut berkata, pelantikan itu adalah sebahagian daripada proses penstrukturan semula membabitkan tiga jabatan berkaitan agama di negeri ini.

Pada masa sama, katanya, dua jabatan baru juga akan diwujudkan di bawah Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam (Terengganu) (Pindaan 2012).

"Jawatan pengarah diwujudkan bukan sahaja bagi diselaraskan dengan negeri-negeri lain tetapi memantapkan pentadbiran selain meringankan tugas Pesuruhjaya yang kekal disandang oleh Datuk Mohd. Rozali Saleh.

"Pindaan enakmen ini membolehkan Sultan Terengganu melantik pengarah di mana Terengganu merupakan satu-satunya jabatan agama yang dipimpin oleh pesuruhjaya sejak ia ditubuhkan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2012, Anugerah Pekerja Cemerlang (Dwi Bulanan), Persaraan, Pertukaran dan Jamuan Aidilfitri, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, penstrukturan semula turut membabitkan Jabatan Mufti dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) manakala dua jabatan baru yang akan diwujudkan ialah Baitulmal serta Penguatkuasaan dan Pendakwaan.

Beliau berharap dengan penstrukturan semula dan kewujudan jabatan baru itu dapat memantapkan lagi pengurusan hal ehwal agama Islam di negeri ini.

Sementara itu, Samsiah, ibu tunggal sembilan anak ketika ditemui mengucapkan syukur dengan kepercayaan yang diberikan dan akan berusaha memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Ini bukan tugas mudah dan saya harap lebih 500 kakitangan dapat memberi sepenuh kerjasama demi meningkatkan prestasi jabatan ini demi agama," jelasnya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90