Top Ad 728x90

10,000 kunjungi Karnival Kerjaya


SEREMBAN 30 Sept. - Kira-kira 10,000 orang tidak melepaskan peluang mengunjungi Karnival Kerjaya Pemuda BN (BN Youth Job Fair) di Dataran Senawang yang berakhir hari ini.

Pengarah Karnival, Mohd. Yassin Mohd. Ismail memberitahu, sambutan yang diterima tersebut mencapai sasaran yang ditetapkan pihaknya.

"Semalam, kebanyakan yang hadir di sini terdiri daripada graduan yang masih belum mendapat tawaran pekerjaan, manakala hari ini kebanyakannya yang hadir sudah bekerja.

"Sebanyak 42 majikan mengambil bahagian dalam karnival kerjaya yang menawarkan 5,620 jawatan kosong ini," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yassin, sebanyak tujuh agensi kerajaan mengambil bahagian antaranya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sementara itu, seorang pengunjung, Shamsudin Saari, 20, berkata, karnival tersebut sebagai satu platform untuk pencari kerja sepertinya.

"Saya sudah lama mencuba mencari pekerjaan yang sesuai dengan minat tetapi belum ada rezeki. Saya berharap dengan program seperti ini, peluang untuk mendapat pekerjaan adalah lebih cerah," katanya.

Katanya, dia berminat untuk bekerja di dalam bidang perindustrian, namun, tidak menolak peluang seandainya pekerjaan lain ditawarkan.

M. Devalai, 23, pula berkata, meskipun agak kecewa kerana sehingga kini masih belum mendapat sebarang pekerjaan, dia tetap optimis dengan program yang dianjurkan tersebut.

"Segulung ijazah bukanlah penentu untuk seseorang mendapat pekerjaan di zaman ini yang penting adalah keyakinan diri dan cara kita berkomunikasi.

"Karnival kerjaya seperti ini sedikit sebanyak dapat membuka peluang kepada siswazah yang masih mencari kerja seperti saya," katanya.

Sementara itu, Aznani Adnan, 23, yang memiliki ijazah dalam bidang perakaunan, nekad untuk mencari pekerjaan dalam bidang sama.

"Saya memang selalu mengunjungi karnival kerjaya yang pernah diadakan di beberapa tempat sebelum ini. Saya harap kali ini dapat pekerjaan yang diidamkan," katanya.

- UTUSAN

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90