Abu al-Quran dilupus ke laut

SEBAGAIMANA jasad manusia, kitab al-Quran yang merupakan mukjizat teragung daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW perlu diurus dan dikendalikan dengan sempurna.

Jika jasad manusia yang telah meninggal dunia perlu dimandikan sebelum dikebumi di kawasan perkuburan dengan baik, begitu juga dengan naskhah al-Quran yang mengandungi kalam Allah SWT itu.

Kitab al-Quran yang dijamin oleh Allah SWT akan berkekalan dan terpelihara sehingga hari kiamat perlu dilupuskan dengan kaedah khas bagi memuliakan kesuciannya daripada dicemari.

Proses pelupusan helaian al-Quran tidaklah semudah untuk melupuskan buku atau majalah ilmiah yang lain, tetapi harus melalui beberapa proses. Antaranya dibakar sehingga menjadi debu.

Pembakaran helaian dan ayat suci al-Quran pula perlu dilakukan dengan sempurna sehingga ayat dan kalimah tersebut tidak lagi kelihatan sebelum dihancurkan dan diproses menjadi debu dan dilupuskan ke dalam laut.

Oleh itu, salah faham sesetengah pihak yang mendakwa proses pembakaran al-Quran bagi tujuan pelupusan adalah seperti menghina dan menjatuhkan martabat kitab suci umat Islam itu adalah tidak benar.

Tanggapan tidak berasas itu perlu diperbetulkan bagi mengelak penyelewengan akidah dan berlakunya penyebaran fitnah terhadap umat Islam yang menjadikan kitab al-Quran sebagai panduan hidup.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, tidak wujud istilah berniat buruk seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak dalam proses pelupusan al-Quran.

Menurutnya, pelupusan al-Quran menggunakan kaedah pembakaran bukanlah perkara baru yang diamalkan di negara ini tetapi dilakukan sejak zaman pemerintahan khalifah Saidina Uthman Ibnu Affan.

"Sejarah pembakaran al-Quran bermula sejak daripada zaman Saidina Uthman, apabila Rasulullah meminta beliau mengumpulkan cebisan ayat-ayat al-Quran yang ditulis oleh para sahabat pada sesuatu objek seperti batu, kulit binatang dan kayu.

"Pengumpulan itu dibuat kerana didapati terdapat banyak kesalahan ayat al-Quran dalam tulisan yang pelbagai versi itu. Oleh itu, kesemua objek yang ada ada ayat al-Quran itu dikumpulkan dan dihapuskan dengan kaedah pembakaran.

"Saidina Uthman kemudian menyatukan ayat al-Quran dan membukukan dalam satu mashaf yang dikenali resm Uthmani.

"Ini membuktikan bahawa pembakaran al-Quran untuk dilupuskan bukanlah perkara baru dilaksanakan di negara ini atau mempunyai niat buruk untuk memperkecilkan al-Quran," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan program pelupusan abu al-Quran peringkat Negeri Pahang di Tambatan Pangkalan Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Mufti Negeri Pahang (JMNP) dan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Cawangan Negeri Pahang itu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesucian al-Quran.

Seramai 150 kakitangan yang terdiri daripada anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Jabatan Laut Wilayah Timur, Majlis Perbandaran Kuantan dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyertai program tersebut.

Hadir sama pada program itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan

Kira-kira tiga tan abu al-Quran dilupuskan pada program itu pada jarak kira-kira tujuh batu nautika dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tajung Gelang menggunakan kapal Peronda Generasi Baru milik TLDM, KD Pahang.

Program pelupusan abu al-Quran itu merupakan pelupusan pertama yang dilakukan di negeri itu.

Abu al-Quran tersebut dikumpulkan dari seluruh negara oleh Syarikat Percetakan Saufi yang beroperasi di Batu 10, Cheras, Kuala Lumpur.

Menurut Abdul Rahman, kriteria ayat al-Quran yang perlu dilupuskan adalah naskhah atau cebisan ayat al-Quran yang mempunyai kesalahan, sudah terlalu lama sehingga sukar untuk dibaca, dan potongan ayat al-Quran yang diselewengkan.

Ia sebagaimana yang telah digubal dalam Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 yang melindungi percetakan al-Quran daripada sebarang kesalahan, kesilapan serta ketidakpatuhan terhadap prosedur pelupusan sisa atau bahan yang mengandungi ayat al-Quran.

Pusat pelupusan

Dalam pada itu, Abdul Rahman menyarankan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) perlu memikirkan usaha menubuhkan pusat pelupusan al-Quran sendiri di peringkat negeri masing-masing.

Ini memandangkan pusat pelupusan yang sedia ada dilihat tidak mampu menampung keratan ayat al-Quran daripada seluruh negara yang ingin dilupuskan.

"Buat masa ini, Syarikat Percetakan Saufi merupakan satu-satunya syarikat yang mengusahakan proses pelupusan al-Quran yang mendapat kelulusan daripada kerajaan.

"Ini dijangkakan tidak akan mampu menampung keseluruhan naskhah al-Quran yang ingin dihapuskan jika dikumpul dan dihantar dari seluruh negara hanya kepada Syarikat Percetakan Saufi.

"Oleh itu, MAIN perlu memikirkan keadaan ini dan mempunyai usaha untuk menubuhkan pusat pelupusan al-Quran sendiri. Tidak dinafikan proses pelupusan ini memerlukan belanja yang besar, namun sekiranya bersesuaian kita perlu pertimbangkan untuk mewujudkan di setiap negeri," ujarnya.

Bagaimanapun beliau menasihatkan individu yang menjalankan perniagaan pusat pelupusan al-Quran sendiri hendaklah memohon kebenaran dari MAIN atau kerajaan agar diyakini dikendalikan mengikut kaedah yang sempurna.

- UTUSAN


Abu al-Quran dilupus ke laut

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.