Top Ad 728x90

,

Astro kembali ke Bursa Malaysia


KUALA LUMPUR 19 Okt. - Penyenaraian Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro) di Bursa Malaysia hari ini, meningkatkan modal pasaran bursa tempatan sebanyak RM15.6 bilion.

Jumlah itu adalah berdasarkan kepada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM3.00 sesaham syarikat pengendali siaran TV berbayar itu.

Pengerusinya, Tun Zaki Tun Azmi berkata, IPO Astro telah mendapat permintaan yang tinggi daripada pelabur tempatan dan antarabangsa.

"Kami menyaksikan minat yang tinggi terhadap saham-saham syarikat daripada pelabur-pelabur terpilih seperti Permodalan Nasional Bhd., Great Eastern, Nomura dan sebagainya.

"Ini mencerminkan keyakinan serta kepercayaan para pelabur terhadap Astro dan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan," katanya ketika berucap di majlis penyenaraian Astro di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, Timbalan Pengerusi Eksekutif Astro Malaysia, Ralph Marshall, Pengerusi Bursa Malaysia, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan.

Sementara itu, Rohana berkata, Astro akan terus melabur dalam teknologi terkini termasuk kandungan dan modal insan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Dalam usaha mengekalkan komitmen kami sebagai pemain utama utama dalam industri hiburan media, Astro akan menjadi lebih inovatif," jelasnya.

Terdahulu, ketika urus niaga pasaran saham dibuka, saham Astro diniagakan pada harga RM3.03 sesaham naik tiga sen berbanding harga tawaran sebanyak RM3.00. Lebih 20.19 juta saham bertukar tangan.

Saham Astro petang ini ditutup urus niaganya di paras harga RM3.00 sesaham.

Penyenaraian hari ini merupakan kali kedua oleh Astro memasuki pasaran saham tempatan selepas berbuat demikian pada tahun 2003, sebelum beralih menjadi syarikat persendirian pada tahun 2010 dengan harga sahamnya berada pada paras RM4.30 sesaham atau bernilai RM8.3 bilion.

Jumlah dana yang dikumpul daripada IPO adalah RM4.6 bilion.

IPO Astro merupakan terbitan ketujuh terbesar di dunia dan ketiga terbesar di Malaysia serta Asia Tenggara selepas Felda Global Ventures Holdings Bhd. dan IHH Healthcare Bhd.

CIMB Investment Bank Bhd. merupakan pengurus transaksi dan Maybank Investment Bank Bhd. serta RHB Investment Bank Bhd. penasihat prinsipal bersama kepada Astro untuk IPO itu.

- UTUSAN
 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90