Top Ad 728x90

Cerita hantu punca sakit jiwa kronik

Pelbagai cerita hantu, mistik dan seram yang berleluasa dikenal pasti antara punca banyak kes sakit mental yang sepatutnya boleh dirawat pada peringkat awal, gagal dirujuk ke pakar perubatan sehingga sukar diubati.

Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Rabaiah Mohd Salleh, berkata paparan cerita seumpama itu mempengaruhi fikiran masyarakat hinggakan tanda penyakit mental yang ditunjukkan seseorang dianggap gangguan makhluk halus dan mengutamakan khidmat dukun serta pengamal perubatan tradisional.

“Cerita sebegini yang sering ditayangkan di televisyen, filem dan bahan bacaan mewujudkan stigma masyarakat mengenai sakit disebabkan gangguan hantu hingga ada yang trauma dan hanya dirujuk ke hospital apabila penyakit menjadi kronik,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Kesihatan Mental Perak Kesembilan di sini, semalam.

Persidangan dua hari bermula semalam itu dirasmikan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Nordiyanah Hassan.

Tak nafi dunia jin

Dr Rabaiah berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menafikan kewujudan dunia jin dalam kepercayaan agama lantas membenarkan rawatan tradisional serta perubatan Islam dilakukan sebagai pelengkap rawatan.

Katanya, penyakit mental boleh diubati jika dirujuk ke hospital dari peringkat awal bagi membolehkan pesakit menerima rawatan sesuai dan dapat meneruskan kehidupan normal.

Beliau berkata, orang ramai yang mendapatkan rawatan penyakit mental kini meningkat kepada maksimum 10 kes baru didaftarkan sehari berbanding antara dua hingga tiga sehari pada 2007.

Sementara itu, Dr Nordiyanah berkata, banyak kajian menunjukkan pertalian rapat antara penyakit mental dan fizikal seperti kemurungan dengan penyakit berkaitan jantung dan angin ahmar, selain berisiko menghidap diabetes.

Serangan jantung

“Penyakit kerisauan mendedahkan individu kepada penyakit jantung koronari, angin ahmar, gangguan sistem pernafasan seperti asma serta berisiko mengidap penyakit kronik lain berkaitan sistem penghadaman,” katanya.

Katanya, stigma dan diskriminasi masyarakat menyebabkan ada pesakit jiwa enggan mendapatkan rawatan psikiatri kerana takut dicemuh tidak siuman terutama jika pernah mendapat rawatan di hospital mental.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90