Top Ad 728x90

,

Elaun Pelatih Kesihatan naik 80%

Kesemua 20,000 pelatih yang mengikuti kursus praperkhidmatan peringkat sijil dan diploma di 33 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) akan menikmati kenaikan elaun sara hidup bulanan antara 60 hingga 80 peratus mulai tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kenaikan itu menyaksikan pelatih peringkat sijil akan menerima peningkatan elaun sara hidup daripada RM517 kepada RM835 sebulan manakala pelatih diploma daripada RM621.21 kepada RM1,166.58 sebulan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pada pembentangan Bajet 2013 umumkan kenaikan elaun sara hidup pelatih di bawah Kementerian Kesihatan.

"Pertambahan elaun bulanan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap beban kos sara hidup yang dihadapi pelatih dan diharap ia dapat meningkatkan prestasi mereka untuk menjalankan tugas dengan lebih baik," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen ILKKM 2012 di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, dekat Ipoh.

Pada majlis konvokesyen yang berlangsung dari kelmarin hingga esok, seramai 9,361 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing.

Ketika membentangkan Bajet 2013 pada 28 September lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan elaun sara hidup bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus praperkhidmatan di peringkat ijazah, diploma dan sijil.

Pertambahan elaun sara hidup bulanan itu melibatkan seramai 31,135 pelatih dengan peruntukan tambahan oleh kerajaan sebanyak RM84.2 juta.

Dalam pada itu, Tiong Lai memberitahu, kerajaan akan menambah sebanyak 12,000 jawatan jururawat dalam tempoh empat tahun bermula dari tahun ini hingga 2015.

"Jawatan jururawat yang ada sekarang adalah kira-kira 60,000. Kita harap dengan penambahan sebanyak 12,000 jawatan lagi menjelang 2015 akan dapat terus meningkatkan perkhidmatan dalam sektor kesihatan.

"Kita membina lebih banyak hospital dan klinik. Kita juga perlukan lebih ramai jururawat," tambahnya.

Menurut beliau, nisbah seorang jururawat bagi setiap 300 penduduk pada masa ini adalah baik memandangkan nisbah yang ideal adalah seorang jururawat bagi setiap 200 penduduk.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90