Kes bunuh Sosilawati: Dibaring sebelum tengkuk ditikam

Shah Alam: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dibaringkan sebelum tengkuknya ditikam tertuduh kedua, T Thilaiyalagan dengan disaksikan peguam yang juga tertuduh pertama, N Pathmanabhan.

Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu, Pathmanabhan juga mengarahkan Thilaiyalagan membunuh Sosilawati di hadapannya kerana dia mahu menyaksikannya sendiri, selain turut arahkan pembunuhan tiga lelaki yang datang bersamanya.
Sosilawati menjerit kuat meminta tolong, manakala tiga lelaki itu juga dibunuh menggunakan cara sama iaitu menelentangkan mereka, menutup muka dengan tuala dan menikam tengkuk mereka.

Selepas membunuh semua mangsa, Thilaiyalagan mengarahkan tertuduh ketiga, R Matan dan saksi pendakwa, K Sarawanan, mengambil minyak diesel dari rumah ladang.

Mereka kemudian mengangkat mayat semua mangsa dan meletakkannya di atas kayu yang sudah disusun serta meletakkan kayu di atas mayat, manakala zink digunakan untuk melapik mangsa ketika pembakaran.

Thilaiyalagan dan Matan mencurahkan minyak ke atas mangsa dan bersama Saravanan, mereka membakar mayat semua mangsa. Pada 31 Ogos 2010, Thilaiyalagan bersama Matan memungut abu mayat dan dimasukkan ke dalam tong sebelum dibuang ke laut.

Perbuatan itu disaksikan seorang lagi saksi pendakwa, U Suresh. Apabila dia menyoal mengenainya, Thilaiyalagan menjawab ia abu mayat mangsa.
Demikian antara persoalan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dalam soal balas terhadap Thilaiyalagan.

Bagaimanapun, Thilaiyalagan menafikannya dan tidak setuju dengan Ishak.

Thilaiyalagan tidak setuju Pathmanabhan berada di tempat kejadian di Ladang Gadong ketika pembunuhan itu dikatakan berlaku antara jam 8.30 dan 9.30 malam, 30 Ogos 2010.

Ishak: Setuju Pathmanabhan tiada di ladang kerana dia sudah meninggalkan ladang itu?

Thilaiyalagan: Pada hari itu Pathmanabhan tidak datang ke ladang.
Ishak: Pada sebelah malam 30 Ogos 2010, Pathmanabhan berada di Subang Jaya?
Thilaiyalagan: Saya tidak tahu di mana dia berada.

Thilaiyalagan turut menafikan dia bersama Pathmanabhan, Matan dan K Kathavarayan atau dikenali sebagai Ravi, merancang membunuh semua mangsa sejak 29 Oktober 2010.

Disoal Ishak, Thilaiyalagan mengakui ada duduk bersama dengan Pathmanabhan, Matan dan Ravi sepanjang perbicaraan kes itu berjalan, namun dia menafikan pernah berbincang keterangan pembelaannya bersama tiga lagi tertuduh itu.

Sarawanan, 20, yang juga pekerja bengkel dan Suresh, 27, pekerja ladang, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, atas tuduhan melupuskan bukti dengan membakar mayat dan membuang abu mayat semua mangsa.

Pathmanabhan, 42, bersama pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20; Matan, 21 dan Kathavarayan, 31, dituduh membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32 dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung 6 November ini.

- BERITA HARIAN Kes bunuh Sosilawati: Dibaring sebelum tengkuk ditikam

1 comment... add one now

eddy ipoh eddy ipoh 27 October, 2012
Semoga perkara ini akan selesai dengan secepat mungkin... Orang yang bersalah akan dihukum

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran