Isu pelaburan emas: Penjelasan Bank Negara

Susulan pertanyaan mengenai serbuan ke atas syarikat terbabit

Bank Negara Malaysia (BNM) semalam membuat penjelasan berhubung serbuan pihak berkuasa terhadap beberapa syarikat disyaki menjalankan skim kewangan haram menggunakan emas.

Penjelasan itu dibuat berikutan banyak pertanyaan diterima mengenai tindakan yang diambil terhadap syarikat terbabit.

Skim kewangan haram

Susulan serbuan pihak berkuasa ke atas syarikat menjalankan skim kewangan haram menggunakan emas, baru-baru ini, banyak pertanyaan dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia.

Berikut adalah soalan lazim diterima dan jawapan agensi terbabit.

S: Mengapakah pihak berkuasa membuat serbuan ke atas syarikat itu?
J: Serbuan dibuat bagi melindungi kepentingan pelabur daripada melaburkan lebih banyak wang dalam skim berisiko selain melindungi kepentingan orang ramai. 
Syarikat terbabit sedang disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan termasuk mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan maklumat palsu termasuk pernyataan yang salah, melantik ejen tanpa lesen dan gagal mengemukakan dokumen berkanun.

S: Mengapakah timbul kebimbangan terhadap model perniagaan syarikat terbabit?
J: Kebimbangan timbul berikutan syarikat terbabit dipercayai menjalankan skim yang tidak dapat bertahan lama. Mereka menjanjikan pelabur pulangan bulanan lumayan dan jaminan belian balik emas. Skim itu bukan dibiayai oleh jual beli emas yang sebenar, sebaliknya dibiayai dengan menggunakan wang baru dilaburkan dalam skim berkenaan.

Jumlah aset dan wang yang ada pada syarikat itu biasanya tidak sepadan dengan jumlah dikumpulkan daripada pelabur.

S: Mengapakah pihak berkuasa hanya mengambil tindakan sekarang?
J: Sebarang tindakan penguatkuasaan hanya diambil selepas ada sebab yang boleh dipercayai bahawa sesuatu kesalahan sudah dibuat. Ini bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan terburu-buru atau melulu yang mungkin boleh menjejaskan perniagaan sah.

S: Apakah status tindakan diambil pihak berkuasa?
J: Siasatan masih berjalan. Orang ramai akan dimaklumkan mengenai status terkini siasatan dari semasa ke semasa. Orang ramai dinasihatkan merujuk kepada kenyaataan rasmi dikeluarkan agensi penguat kuasa undang-undang saja untuk sebarang maklumat terkini.

S: Berapa lamakah tempoh siasatan?
J: Tempoh siasatan bergantung pada tahap kompleksiti dan keseriusan kes. Tahap kompleksiti meningkat disebabkan dimensi antarabangsa kes itu.

Siasatan ini diberi keutamaan yang tinggi dan semua sumber perlu digembleng oleh agensi penguat kuasa untuk mempercepat siasatan.

S: Mengapakah aset dibekukan dan dirampas?
J: Bagi skim kewangan haram disyaki, pihak berkuasa boleh menjalankan operasi mencari dan merampas bagi mendapatkan bukti dan untuk mengelakkan syarikat daripada menyembunyikan atau memusnahkan bahan bukti. Ini juga menghalang aset daripada lesap kerana ia akan memberikan kesan buruk kepada pelabur.

Agensi penguatkuasaan diberikan kuasa mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), untuk membekukan aset apabila disyaki bahawa suatu kesalahan pengubahan wang haram dilakukan.

S: Apakah akan terjadi kepada aset dan emas yang dirampas?
J: Aset yang dirampas akan didokumenkan dengan teliti dan diambilkira serta disimpan di tempat selamat. Sekiranya ada prosiding jenayah, aset itu hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah.

S: Bolehkah pelabur menuntut kembali wang atau emas mereka daripada aset yang dirampas?
J: Aset yang dirampas ketika siasatan hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah. Pelabur boleh memfailkan kepada mahkamah tuntutan pihak ketiga bagi pemulangan wang atau emas mereka. Maklumat mengenai sama ada dan bagaimana untuk memfailkan sesuatu tuntutan akan diberitahu apabila prosiding mahkamah selesai.

S: Apakah nasihat kepada orang ramai yang ingin melabur?
J: Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati terhadap skim pelaburan menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah selain memberikan jaminan bahawa jumlah pokok dilaburkan akan dipulangkan. Orang ramai juga dinasihatkan merujuk kepada agensi berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa.

Sebagai panduan, orang ramai digalakkan mengambil perhatian perkara berikut apabila menilai sesuatu skim pelaburan:

  • Sekiranya skim itu indah khabar dari rupa, berkemungkinan besar ia skim palsu.

  • Berwaspada dengan skim Ponzi, ia adalah skim pelaburan berunsur penipuan apabila pengendalinya mengambil wang daripada pelabur baru untuk membayar kepada pelabur awal. Akhirnya, akan sampai satu peringkat apabila jumlah pelabur baru tidak mencukupi untuk menyokong skim ini dan seterusnya keseluruhan skim mengalami kegagalan.

  • Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga yang sah

  • Rujuk kepada pihak berkuasa sebelum melabur/mendeposit wang

  • Jangan terpengaruh atau terburu-buru untuk melabur

  • Berhati-hati dengan pelaburan melalui Internet

  • Berwaspada dengan peluang pelaburan yang tidak bertulis

  • Jika pelaburan sudah dibuat, simpan salinan semua dokumen pelaburan

  • Rujuk laman sesawang amaran penipuan kewangan berikut:
    http://www.bnm.gov.my/microsites/fraudalert/index.htm
Isu pelaburan emas: Penjelasan Bank Negara

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.