Perhimpunan Arafah gambaran Mahsyar

Jutaan umat Islam seluruh dunia yang mengerjakan ibadat haji memenuhi setiap inci dan ruang di padang Arafah.

Selain sebagai memenuhi rukun haji, perhimpunan di Arafah juga adalah manifestasi kepada usaha taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah, Pencipta Yang Maha Agung.

Pertemuan umat Islam yang mengenakan pakaian ihram yang sama warna iaitu putih turut menzahirkan kesatuansebagai saudara seagama biarpun dibatasi oleh bahasa dan warna kulit yang berlainan.

Segala hal keduniaan seperti pangkat, kedudukan dan jawatan tinggi serta harta tidak lagi 'berguna'.

Sebaliknya, semua umat Islam merendah diri dan mengikhlaskan hati masing-masing dengan niat yang satu iaitu mendapatkan pengampunan Allah Rabbul Jalil.

Lebih daripada itu, perhimpunan setahun sekali ini adalah persis bagaimana manusia akan dibangkitkan semula dan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihitung amalan semasa hayat kita.

Ketua Pakar Rujuk Ibadat Haji 1433H, Datuk Seri Hassan Ahmad berkata, semasa wukuf akan kelihatan lautan manusia ibarat laut yang tidak bertepi.

Kata beliau, keadaan ketika itu agak membingungkan di mana manusia masing-masing memikirkan untung nasib di hadapan Allah berdasarkan amalan semasa hayat.

Menurutnya, apabila teringatkan hal itu, hati menjadi kecut dan takut. Ini menjadikan orang itu sentiasa merendah diri.

"Harapan kita adalah dihimpun bersama golongan yang bahagia dan mendapat rahmat ilahi.

"Bagi orang soleh yang hatinya murni dan sentiasa mentaati Allah, mereka amat berharap serta yakin akan dihimpunkan bersama golongan yang tunduk kepada Allah Yang Maha Esa," katanya dalam temu bual dengan Utusan Malaysia di Hotel Abraj Jandiriyyah, Mekah, baru-baru ini.

Hassan yang juga Mufti Pulau Pinang menjelaskan, berhimpun dengan memakai pakaian seragam (ihram) juga sebagai simbol Islam melihat manusia sebagai sama dan tiada perbezaan darjat.

"Berpakaian seragam ini dapat menginsafi semua golongan baik yang kaya, berpangkat atau tidak bahawa Islam tidak menilai seseorang berdasarkan darjat dan kedudukan.

"Sebaliknya apa yang menjadi kayu ukur dalam Islam adalah keimanan kita kepada Allah SWT. Secara tidak langsung ini dapat mengikis rasa sombong dan takbur dalam diri setiap kita," jelas beliau.

Semua itu kata Hassan, adalah gambaran bagaimana keadaan manusia apabila dibangkit dan dihimpunkan di Padang Mahsyar.

Katanya, ketika itu semuanya nafsi-nafsi (sendiri-sendiri) tidak teringatkan orang lain kerana bimbangkan nasib masing-masing.

"Sebab itu, semasa di Arafah, kita dianjurkan banyak berdoa memohon keampunan dan rahmat Allah," tambahnya.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik doa adalah yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan adalah ucapan Nabi-nabi sebelumku iaitu tiada tuhan yg berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu. (riwayat at Tirmizi)

Menurut Hassan lagi, semasa wukuf juga syaitan amat berasa dukacita dan terhina melihatkan banyaknya rahmat dan pengampunan Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Ini dijelaskan menerusi hadis daripada Talhah bin Ubaidillah bin Quraisy di mana Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Selain Perang Badar, tidak ada hari lain yang mana syaitan dilihat amat hina, dukacita dan marah iaitu pada Hari Arafah kerana melihatkan melimpah ruahnya rahmat yang turun hari itu dan rahmat Allah yang mengampunkan dosa para hamba-Nya."

Semasa wukuf juga Allah berada paling hampir dengan hamba-Nya dan berbangga atas kedatangan hamba-hamba-Nya yang datang dari pelbagai ceruk muka bumi ini.

Ini dijelaskan melalui hadis daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wukuf yang kamu lakukan pada hari Arafah, sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia (paling bawah) dan berbangga-bangga dengan kamu kepada malaikat dengan firman-Nya; "Hambaku datang dari segenap pelosok yang jauh dalam keadaan tidak terurus dan berdebu-debu tubuh mereka semata-mata mengharapkan syurga-Ku. Jika kamu datang dengan dosa sebanyak bilangan pasir, titisan hujan atau buih di laut nescaya Aku hapuskan semuanya. Allah SWT berfirman: "Keluarlah kamu dari Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu dan bagi sesiapa yg kamu minta ampun utk mereka". (riwayat al-Bazzar)

Hassan menambah, pada Hari Arafah juga, Allah meluaskan rahmat-Nya dengan membebaskan lebih ramai manusia daripada seksaan api neraka.

Ini berdasarkan hadis daripada Aishah, Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: "Tidak ada hari yang Allah membebaskan hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai selain hari Arafah." Allah SWT hampir dengan hamba-Nya dan berbangga dengan mereka kepada malaikat dengan berfirman: "Apa yang mereka mahu". (riwayat Muslim)

- UTUSAN
Perhimpunan Arafah gambaran Mahsyar

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran